Sebuah kemudahan baru di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur akan melatih pelajar dalam kursus seni bina, kejuruteraan dan pembinaan dengan mensimulasikan persekitaran kerja yang mereka akan alami di dunia nyata.
Dengan keluasan lebih 2,000 meter persegi, Hab Persekitaran Binaan Mampan adalah yang pertama seumpamanya dan akan membantu pelajar mengasah kemahiran digital dan teknikal mereka, kata ITE pada 19 Ogos.
Industri persekitaran binaan telah bergerak ke arah penerapan amalan mampan dan teknologi untuk meminimumkan impak alam sekitar semasa pembinaan, lapor The Straits Times (ST).
Sebagai contoh, model rumah di kemudahan itu dilengkapi modul dapur dan tandas pasang siap untuk mengajar pelajar reka bentuk pembuatan dan pemasangan.
Reka bentuk untuk pembuatan dan pemasangan adalah kaedah membuat struktur di kemudahan kawasan luar sebelum dipasang di tapak sebenar bak ‘Lego’, lantas menjimatkan masa dan tenaga kerja.
Kaedah itu, yang digunakan untuk membina flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), lebih mampan kerana ia mengurangkan penggunaan sumber dan pembaziran.
Kemudahan itu juga mempunyai sistem lif dan eskalator yang disimulasikan bagi membolehkan pelajar mempelajari cara menyelesaikan masalah dan berlatih menggunakan model dalam persekitaran yang selamat.
ITE berkata lebih 1,500 pelajar daripada kursus persekitaran binaan akan dilatih di kemudahan itu setiap tahun sebagai sebahagian daripada kurikulum dan projek mereka.
Antara kursus yang ditawarkan termasuk diploma kerja-belajar dalam pengawasan perkhidmatan mekanikal dan elektrik, diploma jurutera teknikal dalam kejuruteraan awam dan struktur, serta Nitec Lanjutan dalam pengurusan dan kejuruteraan fasiliti.
Ketua Eksekutif ITE, Cik Low Khah Gek, berkata pihaknya ingin membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan dalam sektor persekitaran binaan, serta memacu inovasi dan kemampanan.
“Dengan mengintegrasikan teknologi terkini, kami mempersiapkan pelajar untuk memenuhi tuntutan sektor yang pesat berubah dan menyumbang kepada persekitaran binaan yang lebih hijau dan bijak,” kata Cik Low.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), Encik Kelvin Wong, yang hadir pada pelancaran kemudahan ini pada 19 Ogos, berkata hab tersebut akan menjadi pusat latihan utama bagi kemahiran berkaitan kemampanan.
Singapura telah membuat kemajuan yang baik dalam mencapai sasaran di bawah Pelan Induk Bangunan Hijau Singapura, katanya.
Sasaran 80 peratus bangunan hijau menjelang 2030 semakin hampir dicapai, dengan 61 peratus bangunan hijau setakat 2024.
“Namun, untuk mencapai sasaran ini, karyawan pembinaan kita perlu dilengkapi dengan kemahiran dan alat yang tepat,” tambah Encik Wong.
Kemudahan baru ITE itu akan memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman praktikal dalam menguruskan operasi bangunan dan prestasi kemampanan, katanya.
Dalam ucapannya, Encik Wong juga berkata sektor persekitaran binaan telah membuat kemajuan besar dalam penerapan teknologi baru dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Lebih banyak pembangunan baru kini menggunakan pelaksanaan digital bersepadu (IDD), meningkat kepada hampir 70 peratus kini, berbanding 45 peratus pada 2022.
IDD ialah penggunaan alat digital untuk menggabungkan proses kerja dan menghubungkan pihak berkepentingan sepanjang pembinaan, membolehkan penyelesaian konflik reka bentuk lebih awal.
Menurut Encik Wong lagi, pelajar dan pengamal harus menguasai penyelesaian perisian IDD terkini kerana ia semakin diterima secara meluas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg