Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Program bimbingan baru galak lebih ramai pelajar ITE sertai diploma kerja-belajar

Inisiatif ‘Jumpstart’ selama enam bulan dibiayai Yayasan Quantedge Singapura
Aug 12, 2025 | 8:32 PM
Dr Janil Puthucheary, ITE
Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, berucap di pelancaran inisiatif bimbingan untuk program Diploma Kerja-Belajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur pada 12 Ogos. - Foto ZAOBAO

Pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) kini berpeluang mendapatkan bimbingan daripada mentor dalam usaha menggalak lebih ramai pelajar Nitec Lanjutan mengikuti Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) selepas tamat pengajian.

JumpStart, inisiatif bimbingan pertama ITE untuk program WSDip, akan dibiayai oleh Yayasan Quantedge Singapura, sebuah badan bukan mencari untung, selama lima tahun.

Program itu akan dijalankan dengan kerjasama pertubuhan belia, The Astronauts Collective.

Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Dr Janil Puthucheary, berkata bimbingan kerjaya tersebut diperkenalkan pada saat genting dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu.

“Ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dan perubahan teknologi sedang mengubah pekerjaan, industri dan cara kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada 300 pelajar ITE semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara ITE dengan dua pertubuhan rakan kongsi di acara WorldX – festival penerokaan kerjaya tahunan untuk pelajar ITE – di ITE Kolej Timur pada 12 Ogos.

Pelajar mempunyai tiga pilihan tempoh bila mereka mahu menyertai program bimbingan selama enam bulan itu – semasa latihan industri pada tahun akhir kursus Nitec Lanjutan mereka; semasa tempoh permohonan untuk program WSDip; atau pada tahun pertama kursus WSDip mereka.

Mentor sukarela, terdiri daripada karyawan industri dan bekas pelajar ITE, akan memberi sokongan berterusan serta bimbingan kerjaya kepada pelajar sedang mereka beralih ke program WSDip dan mula bekerja, lapor The Straits Times (ST).

Terdapat sekurang-kurangnya enam sesi bimbingan sepanjang program ini.

Jurucakap ITE berkata, program itu telah menyokong lebih 150 pelajar di tiga kolej ITE sejak dimulakan pada Mac, dan bertujuan menyokong 100 pelajar lagi menjelang akhir 2025.

Ketua Eksekutif ITE, Cik Low Khah Gek, berkata ITE berharap dapat memperluaskan bilangan pelajar yang dibimbing setiap tahun demi menyokong sasarannya menerima 2,000 pelajar WSDip menjelang 2030.

Jurucakap ITE berkata program bimbingan pertamanya itu bertujuan membantu pelatih WSDip memulakan perjalanan mereka ke arah mendapatkan pekerjaan bermakna dan peningkatan kemahiran. Dengan hasil pekerjaan yang positif, ITE berharap lebih ramai lulusan ITE akan memilih laluan kemajuan itu.

Dr Janil berkata dengan gaji permulaan median bagi lulusan WSDip ITE yang setanding dengan lulusan diploma politeknik sepenuh masa, lebih ramai pelajar seharusnya mendapat akses kepada program WSDip itu.

“Mempunyai seseorang yang boleh berkongsi pengalaman, memberi nasihat praktikal, dan menawarkan dorongan, boleh membantu belia membuat keputusan bijak tentang pendidikan dan laluan kerjaya mereka,” tambahnya.

Encik Muhammad Zulfaqar Muhammad Rizal, 21 tahun, menyertai program bimbingan itu pada hari pertama kursus WSDip beliau dalam pengurusan kemudahan di ITE Kolej Barat pada April.

Encik Muhammad Zulfaqar Muhammad Rizal, 21 tahun, di ITE Kolej Timur pada 12 Ogos. Beliau telah bertemu dengan mentornya sekurang-kurangnya lima kali untuk membincangkan cabaran yang dihadapi.
Encik Muhammad Zulfaqar Muhammad Rizal, 21 tahun, di ITE Kolej Timur pada 12 Ogos. Beliau telah bertemu dengan mentornya sekurang-kurangnya lima kali untuk membincangkan cabaran yang dihadapi. - Foto ZAOBAO

Sejak itu, beliau telah bertemu mentornya, Cik Goh Ying Xuan, 28 tahun, sekurang-kurangnya lima kali untuk membincangkan cabaran dalam program ini. 

Encik Zulfaqar berkata, Cik Goh menggunakan pengalamannya untuk memberi nasihat tentang cara mengatasi cabaran di tempat kerja dan mengajarnya berinteraksi dengan lebih yakin. 

Selain itu, Cik Goh juga memeriksa kesejahteraan beliau dan mengajarnya kemahiran seperti pengurusan masa.

Encik Zulfaqar berkata mempunyai seorang mentor amat bermanfaat dalam membina keyakinannya untuk memasuki alam pekerjaan, kerana beliau tidak pernah mengalami bagaimana rasanya bekerja sebelum memulakan program WSDip.

“Seorang mentor boleh membantu daripada segi emosi dan dalam masa-masa sukar... terutama untuk mengajar bagaimana menangani perkara yang kita tidak biasa alami ketika kita di sekolah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg