Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemudahan dipertingkat bagi penghuni RKM di premis baru

Presiden Halimah: Penempatan semula beri penghuni sekitaran aman, kondusif untuk pulih daripada trauma
Nov 14, 2022 | 5:30 AM
RASMIKAN PREMIS BARU: Presiden Halimah Yacob (tengah) bersama Pengerusi RKM, Ustaz Muhammad Azri Azman, dan Ketua RKM, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, merasmikan bangunan baru rumah itu di 101 Pasir Ris Road semalam. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA
RASMIKAN PREMIS BARU: Presiden Halimah Yacob (tengah) bersama Pengerusi RKM, Ustaz Muhammad Azri Azman, dan Ketua RKM, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed, merasmikan bangunan baru rumah itu di 101 Pasir Ris Road semalam. - Foto-foto BH oleh NUR DIYANA TAHA -

RUMAH Kebajikan Muhammadiyah (RKM) merasmikan premis barunya di 101 Pasir Ris Road semalam, yang kemudahannya telah dipertingkat untuk menyokong pembangunan peribadi penghuni serta proses peralihan mereka apabila dikembalikan ke pangkuan keluarga atau masyarakat.

Antara perubahan di premis baru itu ialah struktur kediaman baru dalam kumpulan lebih kecil di mana hingga enam penghuni tinggal dalam sebuah unit yang serupa dengan rumah HDB. Ini berbeza daripada premis lama di Bedok di mana kira-kira 16 penghuni tinggal dalam sebuah unit.

Presiden Halimah Yacob, tetamu terhormat di perasmian bangunan baru rumah itu, berkata penempatan semula RKM adalah satu pencapaian ke arah menyediakan penghuni dengan sekitaran kehidupan aman dan kondusif untuk pulih daripada trauma mereka.

"Ia dibina atas tiga pertimbangan utama - memastikan keselamatan penghuni dan kakitangan, mendakap teknologi dalam operasinya, dan menggunakan model penjagaan yang dibeza-bezakan untuk memenuhi keperluan individu setiap penghuni.

"Saya yakin premis baru ini akan menyediakan sekitaran yang mengasuh untuk penghuni membesar dan mencapai potensi mereka bagi masa depan yang lebih cerah," kata beliau.

Premis baru itu terletak di sebelah Taman Pasir Ris dan mempunyai pemandangan laut.

Antara kemudahan barunya ialah bilik terapi bermain yang menggalak penghuni meluahkan emosi mereka menerusi aksi bermain, bilik interaktif yang mengandungi permainan realiti maya (VR), studio memasak bagi penghuni menjalani program 'Masterchef', serta Edu Hub yang membolehkan penghuni mengakses komputer bagi pembelajaran dan menyertai Skim Tuisyen Mendaki.

Selain itu, RKM memanfaatkan teknologi baru untuk menjalankan penyeliaan secara berkesan.

Atas sokongan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), kamera litar tertutup (CCTV) di RKM mempunyai keupayaan seperti analisis tingkah laku, pengesanan wajah dan pengawal maya.

Salah seorang penghuni RKM, Encik Zai (bukan nama sebenar), yang sudah lapan tahun menetap di situ, berkata premis baru tersebut menyajikan pemandangan cantik dan sekitaran lebih luas dan santai.

"Saya harap penghuni RKM akan berasa lebih bermotivasi. Sekiranya kami berkelakuan baik, ada banyak perkara yang boleh kami lakukan," ujar pemuda berusia 20 tahun itu.

Melebihi tempat tinggal, RKM menyokong penghuni seperti Encik Zai dalam proses peralihan mereka untuk kembali kepada masyarakat.

Rumah tersebut telah membantunya bersiap sedia untuk hidup berdikari, termasuk menyewa bilik, mempelajari kemahiran kehidupan dan kecelikan kewangan.

RKM akan terus menyokong beliau sepanjang enam bulan setelah beliau meninggalkan RKM tidak lama lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg