KEMUDAHAN penjagaan masyarakat (CCF) dengan khidmat dipertingkat yang pertama di Singapura telah mula beroperasi dan menerima pesakit semalam.

CCF itu, yang terletak di tapak rumah penjagaan warga emas NTUC Health di Tampines, telah dilengkapi dengan 250 katil bagi pesakit Covid-19 yang umumnya berada dalam keadaan baik, tetapi mempunyai penyakit lain yang perlu dipantau rapat.

Pesakit itu termasuk warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung, berkaitan saraf atau penafasan.

Penghuni rumah penjagaan warga emas yang dijangkiti akan diberi keutamaan untuk dimasukkan ke kemudahan itu bagi mencegah penularan lanjut di rumah penjagaan tersebut.

Kementerian Kesihatan berkata penduduk sedia ada di rumah penjagaan NTUC Health itu telah dialihkan ke cawangan lain.

CCF dengan khidmat dipertingkat itu akan memastikan bahawa kapasiti terbatas di hospital dikhususkan untuk pesakit Covid-19 yang memerlukan perhatian khas seperti tambahan oksigen atau jagaan rapi.

Semalam, beberapa pesakit Covid-19 dilihat keluar dari kenderaan yang ditempah khas untuk memasuki kemudahan di Tampines Street 22 itu.

Kakitangan yang memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) mengeluarkan kerusi roda untuk menyambut pesakit.

Pemandu kenderaan yang membawa pesakit itu juga kelihatan memakai PPE, lapor The Straits Times.