Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemudahan rendah karbon pertama dunia berkonsep ‘ladang-kilang-pengguna’

Kemudahan dijangka siap 2024; sumbang pada ekosistem makanan mampan S’pura
Dec 21, 2023 | 4:18 PM
PECAH TANAH: (Dari kiri) Pengarah Inovasi Kecerdasan Buatan (AI), AI Singapura, Encik Laurence Liew; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Life3 Biotech, Encik Ricky Lin; Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling; Pengerusi Union Energy Group, Encik Teo Kiang Ang; dan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Cik Low Khah Gek; semasa majlis pecah tanah bagi kemudahan Hab Kemampanan Bandar Life3 (LUSH) di Sims Avenue pada 21 Disember 2023.
PECAH TANAH: (Dari kiri) Pengarah Inovasi Kecerdasan Buatan (AI), AI Singapura, Encik Laurence Liew; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Life3 Biotech, Encik Ricky Lin; Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling; Pengerusi Union Energy Group, Encik Teo Kiang Ang; dan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Cik Low Khah Gek; semasa majlis pecah tanah bagi kemudahan Hab Kemampanan Bandar Life3 (LUSH) di Sims Avenue pada 21 Disember 2023. - Foto LIFE3 BIOTECH

Kemudahan rendah karbon pertama di dunia yang mengintegrasikan konsep ‘Ladang ke Kilang ke Pengguna’ tidak lama lagi akan menjadi kenyataan di sini selepas syarikat Life3 Biotech dan Union Solar mengadakan majlis pecah tanah bagi Hab Kemampanan Bandar Life3 (LUSH).

Life3 merupakan syarikat pemula atau start-up teknologi makanan Singapura sementara Union Solar merupakan pembangun sistem tenaga suria.

Terletak di Sims Avenue, LUSH dijangka siap jelang suku kedua 2024.

Kemudahan baru itu akan mempunyai Sistem Tenaga Suria dan Hidroponik yang Mengintegrasikan MikroAlga (HIMASS).

HIMASS merupakan penyelesaian dua-dalam-satu yang memanfaatkan tenaga suria dan mengitar semula air untuk menghasilkan protein tumbuhan dan sayur-sayuran berdaun secara mampan.

Kemudahan itu juga akan menempatkan kawasan pemprosesan dan inovasi makanan di mana biojisim MikroAlga pasca-tuai boleh diproses menjadi ‘Algoprotein’ yang boleh ditambah ke dalam produk makanan.

LUSH juga akan mempunyai kawasan pengalaman teknologi bagi orang awam semasa lawatan kemudahan itu, bengkel dan kursus untuk mempelajari tentang kemampanan dan kehidupan yang sihat.

Hadir semasa majlis pecah tanah kemudahan itu pada 21 Disember, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Cik Low Yen Ling, berkata adalah amat penting bagi industri agri-makanan di Singapura memanfaatkan teknologi dan menggunapakai kaedah pengeluaran makanan yang inovatif dan mampan.

Permintaan global bagi makanan tidak dapat tidak akan meningkat dengan jumlah penduduk dunia dijangka meningkat kepada sekitar 10 bilion pada 2050.

Pada masa yang sama, industri agri-makanan di serata dunia bergelut dengan kejutan dan ketidakpastian yang menjejaskan bekalan makanan.

Ini dirumitkan lagi oleh faktor seperti perubahan iklim dan pandemik serta ketegangan geo-politik yang menjejas rantaian bekalan makanan, jelas Cik Low.

“Memandangkan hal ini, adalah penting untuk mempunyai rantaian bekalan makanan yang pelbagai dan berdaya tahan serta ekosistem makanan yang mampan.

“Singapura amat terdedah. Kita lebih terdedah kepada gangguan bekalan makanan kerana kita mengimport kebanyakan makanan kita.

“Disebabkan saiz kecil kita dan kekangan semula jadi, kita terpaksa berusaha dalam keadaan air dan tanah yang terhad, (faktor) yang penting untuk pengeluaran makanan,” kata beliau.

Semasa majlis pecah tanah itu, empat memorandum persefahaman (MOU) turut ditandatangani antara Life3 dengan Union Solar, AI Singapore, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan Politeknik Nanyang (NYP).

Cik Low memuji MOU antara Life3 dengan ITE dan NYP yang katanya mencerminkan komitmen dan usaha untuk membangunkan bakat muda dalam agri-makanan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Life3 Biotech, Encik Ricky Lin berkata LUSH akan digunakan untuk melibatkan dan memperkasakan masyarakat setempat termasuk kanak-kanak, belia dan warga emas melalui kelas peningkatan kemahiran, lawatan ke kemudahan itu dan bengkel bagi penduduk menerima gaya hidup yang lebih mampan dan sihat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg