Kenaikan usia persaraan dalam Perkhidmatan Berseragam Ehwal Dalam Negeri (HUS) penting supaya pengalaman dan kepakaran pegawainya dapat dimanfaatkan, sedang ramai warga Singapura kini hidup lebih lama dan menjalani kehidupan yang lebih sihat, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Mulai 1 Januari 2025, usia persaraan bagi pegawai dalam Biro Narkotik Pusat, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Perkhidmatan Penjara Singapura akan dinaikkan selama setahun ke 57 tahun.
Ini bermakna mereka yang berumur 56 tahun pada atau selepas 1 Januari 2025, boleh berkhidmat untuk setahun lagi.
Langkah itu diambil untuk menangani keadaan tenaga kerja Home Team yang ketat.
Encik Shanmugam, ketika berucap dalam majlis kenaikan pangkat Home Team di Hotel Orchard pada 24 Mei, berkata bahawa terdapat keperluan untuk mempunyai aliran tenaga kerja yang masuk dan keluar yang stabil setiap tahun.
Ini supaya permintaan operasi dan pembentukan barisan pemimpin dan pakar yang mampan dapat dipenuhi.
“Menaikkan usia persaraan secara progresif membolehkan kami menguruskan perubahan pada aliran tenaga kerja dengan lancar, dan untuk mengelakkan kegenjotan dalam pelantikan yang lebih tinggi,” jelas Encik Shanmugam.
“Kenaikan usia persaraan akan membolehkan kami memanfaatkan pengalaman dan kepakaran pegawai kita, seperti kebanyakan rakyat Singapura, yang hidup lebih lama, dan mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang baik.”
Usia persaraan untuk pegawai junior HUS dinaikkan daripada 50 tahun ke 55 tahun pada 2013, supaya selaras dengan pegawai kanan.
Pada 2021, usia persaraan untuk semua pegawai HUS dinaikkan ke 56 tahun.
Kenaikan baru itu, bagaimanapun, di bawah usia persaraan nasional buat masa ini, yang ditetapkan pada 63 tahun. Ia akan dinaikkan ke 64 tahun pada 2026.
Encik Shanmugam juga berkongsi bahawa pegawai HUS yang telah bersara daripada Home Team berjaya mendapat pekerjaan baru, dengan lebih banyak sokongan akan diberikan untuk golongan itu.
Secara purata, seramai 135 pegawai HUS secara purata bersara setiap tahun dalam lima tahun lalu. 36 peratus daripada mereka diambil semula untuk bekerja bersama Home Team, manakala lagi 40 peratus telah dibantu membuat peralihan ke kerjaya baru, menurut Encik Shanmugam.
Bagi membantu peralihan pegawai yang bersara ini, lebih banyak laluan kerjaya akan dibangunkan di bawah program penempatan kerja dan latihan SkillsFuture, tambah beliau.
Mereka juga akan disediakan dengan panduan kerjaya peribadi, yang mengandungi cadangan tentang kursus dan program pensijilan yang sepadan dengan minat dan kemahiran mereka.
Lebih banyak sesi penglibatan bersama alumni dan rangkaian majikan dijangka diadakan untuk merujuk dan memperkenalkan pegawai kepada peluang pekerjaan, kata Encik Shanmugam.
Antara inisiatif lain, satu biasiswa berasaskan kemahiran turut akan diperkenalkan untuk menyokong pegawai yang mempunyai kebolehan dan minat melanjutkan pengajian dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti kecerdasan buatan dan analisis data.
Butiran lanjut mengenai biasiswa itu akan diumumkan lewat 2024, tambah beliau.
Encik Shanmugam berkata lagi bahawa orang awam mempunyai keyakinan tinggi terhadap Home Team.
Menurut satu tinjauan persepi awam yang dijalankan pada lewat 2023 hingga awal 2024, 92 peratus responden yakin pada Home Team, manakala 93 peratus berkata mereka yakin dengan keupayaan Home Team untuk memastikan Singapura selamat.
Dalam majlis pada 24 Mei itu, seramai 332 pegawai dinaikkan pangkat ke Leftenan Kolonel atau Superintenden dan ke atas, dan gred yang setara dalam Konstabel Khas Sukarela (VSC) dan Unit Relawan Pertahanan Awam (CDAU).
Seramai 6,402 pegawai daripada Home Team dinaikkan pangkat pada 2024. Mereka terdiri daripada 3,755 pegawai tetap daripada jabatan Home Team dan lembaga berkanun, dan 2,529 anggota Perkhidmatan Negara yang sedia beroperasi daripada SPF dan SCDF, serta 118 anggota daripada VSC dan CDAU.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg