Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

PENULIS TAMU

Kerja keras, tanpa lelah pegawai Home Team sokong bekas pesalah

May 12, 2024 | 05:30 AM



Dalam tempoh tiga tahun lalu, saya telah berkongsi dengan anda usaha-usaha Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk mencegah kesalahan dan berulangnya kesalahan.

Saya telah menulis tentang kepentingan menyokong dan melibatkan belia kita untuk membimbing mereka ke jalan yang betul.

Saya juga telah menyentuh pelbagai usaha masyarakat untuk membantu bekas pesalah kita dan keluarga mereka dalam menjalani usaha pemulihan.

Dalam ruangan kali ini, saya akan memberi tumpuan kepada Pegawai Home Team, lelaki dan wanita, yang telah bekerja keras untuk membantu usaha-usaha pemulihan bekas pesalah dan membawa mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

Baru-baru ini, saya telah bertemu dengan tiga pegawai Home Team – Encik Che Yahya dari Biro Narkotik Pusat (CNB); Encik Muhd Ali dari Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS); dan Cik Low Pei Yin dari Reben Kuning Singapura (YRSG) untuk mendengar lebih lanjut tentang kerja mereka. Cerita mereka telah benar-benar memberi inspirasi kepada saya.

Encik Yahya menyertai CNB pada 1987. Ini adalah pekerjaan pertama dan satu-satunya bagi beliau, sehingga beliau bersara pada 2022.

Beliau baru-baru ini diambil bekerja semula oleh CNB untuk terus membantu Kempen Dadah Itu Haram (DIH).

Encik Ali pula telah menyertai SPS pada 2012 dan telah memegang pelbagai jawatan sepanjang 12 tahun lalu. Beliau kini merupakan pengurus di Komand Pemulihan Masyarakat, dengan tanggungjawab menyelia pesalah-pesalah yang diletakkan di bawah Program Berasaskan Masyarakat.

Sementara Cik Pei Yin pula menyertai YRSG pada 2023 sebagai jurulatih kerjaya yang menyediakan bantuan pekerjaan kepada bekas pesalah.

Sebelum menyertai YRSG, beliau telah berkhidmat dengan Persatuan Penjagaan Lanjut Singapura (Singapore After-Care Association) dan di Rumah Tumpangan Peralihan Selarang sebagai pekerja kes.

Dalam perbualan saya dengan mereka, terdapat satu perkara yang sangat menonjol – iaitu semangat dan dedikasi mereka terhadap tujuan kerja mereka.

Encik Yahya percaya dalam melabur masa untuk melibatkan sukarelawan yang beliau temui dalam menjalankan tugas bersama DIH.

Kebanyakan penglibatan beliau dengan sukarelawan diadakan selepas waktu bekerja, kadangkala sampai larut malam, pada hujung minggu dan juga pada cuti umum.

Apabila ditanya mengapa beliau melakukan ini, beliau berkata ini adalah satu amanah bagi beliau dan beliau mahu memainkan peranannya, tidak kira besar atau pun kecil, untuk menyumbang kepada masyarakat.

Encik Ali dan Cik Pei Yin juga berkongsi dengan saya bagaimana mereka sering melibatkan bekas pesalah dalam masyarakat di luar waktu kerja mereka. Sebagai contoh, adalah perkara biasa untuk mereka menerima panggilan telefon daripada bekas pesalah di bawah jagaan mereka pada masa tidak menentu sampai lewat malam, untuk mendengar keluhan mereka.

Daripada meminta orang tersebut menghubungi mereka pada hari berikutnya, mereka memilih untuk terus melayani dan kadangkala juga bertemu mereka secara peribadi.

Apabila saya bertanya kepada mereka mengapa mereka berbuat demikian, saya tersentuh dengan respons ikhlas mereka – mereka berkata hadiah terbaik yang boleh mereka berikan kepada sesiapa sahaja ialah masa mereka. Ini hanyalah sebahagian daripada banyak contoh bagaimana Pegawai Home Team kami melangkaui panggilan tugas mereka, untuk berkhidmat dalam misi kita.

Saya juga berminat untuk mendengar bagaimana mereka berasakan kerja dalam Home Team telah berubah sejak beberapa tahun ini. Mereka berkata bahawa mereka telah menemui lebih banyak makna dalam kerja mereka.

Encik Ali menyerlahkan banyak perkongsian dan kerjasama dengan rakan masyarakat telah dibina oleh SPS selama ini, untuk membantu pesalah, bekas pesalah dan keluarga mereka.

Secara peribadi, beliau berasa amat bersemangat kerana penglibatan rakan masyarakat bukan sahaja memberi jaminan kepada pesalah dan bekas pesalah bahawa mereka akan mendapat sokongan, malah ia juga memberi jaminan kepada pegawai bahawa mereka tidak bersendirian dalam usaha ini.

Seluruh masyarakat, daripada agensi perkhidmatan sosial, kumpulan bantu diri kepada institusi keagamaan, dan juga kumpulan sokongan untuk bekas pesalah, berganding bahu bersama SPS untuk melengkapkan kerja yang mereka lakukan.

Encik Yahya berkata beliau berasa sangat terinspirasi apabila semua masjid di Singapura membuat komitmen untuk menyokong kempen DIH pada tahun 2021.

Ini tidak pernah berlaku sebelumnya. Hari ini, setiap kali beliau pergi ke mana-mana masjid untuk menunaikan solat, beliau berasa bersemangat apabila melihat kain rentang DIH dipamerkan di premis masjid, dan ini membakar semangatnya untuk terus memperkasakan kempen DIH.

Cik Pei Yin juga memberitahu saya bahawa beliau telah melihat kesedaran yang semakin meningkat dalam masyarakat untuk memberi peluang kedua kepada pesalah.

Contoh yang Cik Pei Yin kongsi ialah peningkatan bilangan majikan yang sanggup bekerjasama dengan YRSG untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada banduan dan bekas pesalah.

Kerja mereka pastinya tidak selalu berjalan dengan lancar. Sebagai contoh, pesalah di bawah jagaan mereka kadangkala menunjukkan sikap memberontak dan mereka terpaksa bertindak untuk meredakan dan menyelesaikan keadaan.

Terdapat juga kekecewaan yang perlu dihadapi, apabila kes-kes bekas pesalah yang menunjukkan harapan kembali ke pangkal jalan terjerumus semula.

Namun mereka tabah, kerana perjuangan mereka lebih besar daripada diri mereka sendiri.

Saya berterima kasih kepada para pegawai berkenaan atas kerja-kerja yang mereka lakukan, dan dalam mengendalikan cabaran secara profesional.

Apa yang saya dapat daripada maklum balas mereka ialah kita perlu melibatkan diri dan meyakinkan para pesalah di bawah jagaan kita bahawa kita berada di sini untuk membantu mereka. Kita mungkin tidak dapat menyelesaikan semua isu dan masalah mereka, tetapi kita ingin meyakinkan mereka bahawa mereka tidak bersendirian.

Kita sentiasa sedia membantu mereka serta memberi inspirasi kepada mereka bahawa mereka boleh berubah untuk menjadi individu yang lebih baik.

Saya mengambil sedikit masa untuk merenung perbualan-perbualan tersebut.

Sesi itu telah menambah keyakinan saya, terutamanya melihat pegawai-pegawai ini yang terus memberikan yang terbaik. Terdapat ramai lagi pegawai seperti mereka dalam Home Team.

Kami bertuah kerana mempunyai pegawai yang begitu berdedikasi dalam memastikan negara kita selamat dan terlindung. Kerja yang dilakukan oleh para pegawai Home Team itu bukanlah mudah, tetapi mereka terus memberikan yang terbaik untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

Marilah kita sama-sama meluangkan sedikit masa hari ini untuk menghargai para Pegawai Home Team kita. Jika anda mengenali mereka secara peribadi, atau jika anda bertemu dengan mereka semasa anda keluar dan sebagainya, luangkanlah sedikit masa untuk berterima kasih kepada mereka kerana memastikan Singapura selamat dan terlindung. Penghargaan anda akan membuat mereka lebih bersemangat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >