Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenali 10 haiwan paling comel di Singapura

Nov 1, 2024 | 5:30 AM
Empat taman hidupan liar utama Singapura adalah rumah kepada beberapa haiwan paling comel.
Empat taman hidupan liar utama Singapura adalah rumah kepada beberapa haiwan paling comel. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Badak air kerdil Thai yang popular di media sosial, Moo Deng, bukan satu-satunya haiwan yang boleh mencairkan hati kita dengan kecomelannya.

Empat taman hidupan liar utama Singapura – Taman Haiwan Singapura, River Wonders, Night Safari dan Bird Paradise – menjadi rumah bagi beberapa haiwan paling comel dan paling sesuai dimuat naik gambarnya di Instagram yang ada di pulau ini.

Berikut ialah 10 haiwan paling comel – tidak mengikut darjah kecomelan – yang akan memukau anda dengan pelbagai tingkah laku lucu mereka.

1. Bintang, si tapir Malaya

Bintang adalah tapir Malaya yang terancam dan mempunyai pendengaran yang sensitif.
Bintang adalah tapir Malaya yang terancam dan mempunyai pendengaran yang sensitif. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Ini adalah Bintang, seekor tapir Malaya yang tinggal di Night Safari.

Haiwan terancam berusia empat tahun ini sangat penyayang dan gemar jika perutnya dibelai, dan sering mendekati penjaganya untuk mendapatkan makanan, kata penolong kurator, Cik Sarah Goh.

Bintang mempunyai pendengaran yang sensitif, dan tidak suka bunyi kuat seperti bunyi rumput dipotong, tambah Cik Goh.

Tapir Malaya mempunyai daya penglihatan yang lemah dan bergantung pada kekuatan deria bau dan pendengaran untuk mengemudi perjalanan mereka, lapor The Straits Times.


2. Pierre, si penguin rockhopper utara

Penguin rockhopper utara Bird Paradise, Pierre dengan gaya rambutnya yang paling menawan.
Penguin rockhopper utara Bird Paradise, Pierre dengan gaya rambutnya yang paling menawan. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Seterusnya ialah Pierre, penguin rockhopper utara dengan gaya rambut yang paling menawan.

“Bagi seekor penguin yang kacak, kadangkala rambutnya tidak menjadi… apabila jambulnya tercacak ke arah yang berbeza-beza,” kata penjaga kanan, Cik Benazir Begum.

Haiwan terancam berusia lima tahun ini kadang-kadang mendapat “zoomies”, iaitu tempoh haiwan mengalami letusan tenaga secara rawak.

Ketika itu, Pierre akan menjadi sangat lantang dan gemar mempamerkan kepingan ais dan kerikil yang dibawanya kepada orang ramai.

Sangat mudah untuk mengecam Pierre di Bird Paradise, kerana ia adalah satu-satunya penguin jenis rockhopper utara di sana.


3. Moe, si capybara

Moe, si capybara, akan memberi jelingan sebelah mata kepada orang yang tidak dikenalinya.
Moe, si capybara, akan memberi jelingan sebelah mata kepada orang yang tidak dikenalinya. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Anda mungkin pernah melihat spesies tikus berwajah tampan ini di River Wonders.

Sebagai duta hidupan liar, Moe, si capybara, kerap membuat penampilan melalui persembahan ‘Once Upon a River’ yang menampilkan haiwan yang tinggal di dalam dan berhampiran sungai.

Haiwan berusia lapan tahun ini sering “mengasingkan diri” jika digaru-garu penjaga, malah berehat daripada mengunyah jika ia sedang mengunyah makanan kegemarannya, kata Cik Illysha Natasha, seorang penyelia di jabatan Tingkah Laku dan Program Haiwan, Mandai Wildlife Group.

Tikus gendut ini mempunyai personaliti yang ‘sassy’. 

“(Ia) kadangkala akan memberi jelingan sebelah mata kepada orang yang ia tidak kenali,” kata Cik Illysha.

4. Radin, si tenggiling Sunda

Radin, si tenggiling Sunda, gemar duduk di dalam mangkuk airnya.
Radin, si tenggiling Sunda, gemar duduk di dalam mangkuk airnya. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Radin ialah seekor tenggiling Sunda dengan personaliti pemalu dan gaya berjalan yang kekok.

Haiwan berusia 10 tahun ini akan menyapa penjaganya setiap pagi dan berjalan mengikuti mereka apabila mereka melawat kandang pamerannya di Night Safari.

Pegawai penjagaan haiwan, Encik Ade Kurniawan, berkata Radin pernah tertidur di dalam mangkuk airnya sejurus selepas memanjat ke dalamnya dan menumpahkan kesemua air di dalamnya.

Tenggiling Sunda adalah haiwan yang berasal dari Singapura.

Ia juga merupakan haiwan paling banyak diperdagangkan secara haram di dunia kerana permintaan yang tinggi untuk sisik dan daging mereka.

5. Miata, si badak air kerdil

Miata, si badak air kerdil, suka berlari sekeliling kawasan pamerannya di Taman Haiwan Singapura apabila hujan.
Miata, si badak air kerdil, suka berlari sekeliling kawasan pamerannya di Taman Haiwan Singapura apabila hujan. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Dengan personaliti yang mempesona, Miata, seekor badak air kerdil, atau ‘pygmy hippo’, berusia tiga tahun ini adalah daripada spesies terancam yang sama seperti badak air kerdil terkenal dunia, Moo Deng.

Ketika hujan, haiwan berkilat ini gemar berlari sekeliling kawasan pamerannya di Taman Haiwan Singapura.

Apabila parit dalam kawasan pameran Miata bertukar menjadi taman permainan berlumpur semasa hujan lebat, ia akan “berdiam diri hingga menyerupai batang pokok yang tumbang dari jauh”, kata penjaganya, Cik Shasthi Shamanan.

6. Susu, si kanggaru pokok Goodfellow

Susu, kanggaru pokok Goodfellow berusia 18 bulan ini suka bertenggek di dahan tertinggi dalam kawasan pamerannya.
Susu, kanggaru pokok Goodfellow berusia 18 bulan ini suka bertenggek di dahan tertinggi dalam kawasan pamerannya. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Susu mungkin kelihatan seperti beruang mainan, tetapi haiwan yang gemar dipeluk ini adalah kanggaru pokok jenis Goodfellow, yang merupakan spesies terancam.

Haiwan berusia 18 bulan yang berperwatakan tenang dan lembut itu boleh ditemui bertenggek di salah satu tempat kegemarannya – dahan pohon tertinggi dalam kawasan pamerannya di Taman Haiwan Singapura.

Walaupun namanya Susu, ia lebih gemar makan jagung, ubi keledek dan ubi kayu, kata penjaganya, Cik Linda Gui.

7. Katak berlumut Vietnam

Apabila menghadapi sebarang ancaman, katak berlumut Vietnam ini akan pura-pura mati.
Apabila menghadapi sebarang ancaman, katak berlumut Vietnam ini akan pura-pura mati. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Kecantikan dan kecomelan adalah perkara yang subjektif. 

Amfibia yang mempunyai duri halus di seluruh badannya ini dikenali sebagai katak lumut Vietnam.

Pelawat Taman Haiwan Singapura yang tidak menggemari katak mungkin akan merasa jijik atau geli dengannya, tetapi penampilan berlumutnya menambahkan pesona spesies katak ini.

Apabila menghadapi sebarang ancaman, katak-katak ini akan menggulung diri mereka menjadi bola dan berpura-pura mati.

8. Penyu leher ular Rote

Penyu leher ular Rote ini merupakan salah satu daripada 25 spesies penyu air tawar yang paling terancam di dunia.
Penyu leher ular Rote ini merupakan salah satu daripada 25 spesies penyu air tawar yang paling terancam di dunia. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Reptilia bermata lebar ini boleh ditemui di Taman Haiwan Singapura, dan telah menetaskan telur pertamanya di taman haiwan itu pada Julai 2023.

Penyu ini mempunyai leher panjang yang bagus untuk menyerang hendap mangsa, namun tidak boleh disimpan balik ke dalam cengkerangnya. 

Ketika diancam, ia akan mengeluarkan bau busuk untuk menghalau haiwan pemangsa.

Ia adalah salah satu daripada 25 spesies penyu air tawar yang paling terancam di dunia.

9. Burung turako biru besar

Turako biru besar ini burung yang paling pemalu dan suka bersembunyi.
Turako biru besar ini burung yang paling pemalu dan suka bersembunyi. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Burung turako biru besar, atau ‘great blue turaco’, ini mungkin salah satu burung tercantik dalam kalangan haiwan, dengan bulu berwarna biru terang dan dihiasi paruh berwarna kuning dan merah.

Tetapi ia juga merupakan salah satu burung yang paling pemalu dan suka bersembunyi, justeru sukar untuk menemuinya di Bird Paradise.

Burung turako biru tidak mahir terbang, tetapi ligat memanjat dan meluncur di antara pokok, dan membuat bunyi yang kuat dan riuh selama beberapa minit.

10. Burung bulbul berkepala jerami

Burung bulbul berkepala jerami ini pandai menyanyi serta bersiul umpama seruling.
Burung bulbul berkepala jerami ini pandai menyanyi serta bersiul umpama seruling. - Foto MANDAI WILDLIFE GROUP

Burung bulbul berkepala jerami, atau ‘straw-headed bubul’, ini pandai menyanyi serta bersiul umpama seruling.

Walaupun burung-burung ini mungkin kelihatan serupa, penjaga mereka di Bird Paradise boleh membezakan mereka melalui duet yang mereka nyanyikan, kata kurator, Encik Elden Gabayoyo.

Bulbul berkepala jerami ialah spesies burung yang sangat terancam, dan paling sering ditangkap dalam perdagangan burung Asia Tenggara kerana siulannya yang merdu.

Pada 2017, Mandai Wildlife Group berjaya membiak spesies ini di bawah jagaan manusia, buat pertama kali dalam sedekad.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg