Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Pelan bertindak pastikan burung bulbul berkepala jerami terus ‘bersiul’ di alam liar

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pelan bertindak pastikan burung bulbul berkepala jerami terus ‘bersiul’ di alam liar

Dec 29, 2023 | 06:43 PM



Terdapat kurang daripada 1,700 burung bulbul berkepala jerami yang masih hidup di alam liar di seluruh dunia.

Satu pertiga daripada spesies burung itu berada di Singapura – menjadikan negara ini benteng utama di dunia untuk burung bersiul popular itu.

Burung itu juga terdapat di beberapa negara Asia Tenggara lain termasuk Indonesia, Thailand dan Myanmar. 

Siulan burung yang amat merdu dan ceria itu menjadikannya popular dalam perdagangan burung sangkar pandai nyanyi di Asia Tenggara, menyebabkan jumlah burung itu semakin berkurang. 

Untuk memastikan burung bulbul terus hidup di Singapura, sebuah kumpulan kerja telah menubuhkan Pelan Tindakan Spesies Kebangsaan.

Rancangan itu bertujuan mengemudi usaha pemuliharaan populasi bulbul tempatan selama lima tahun akan datang.

Kumpulan itu diketuai oleh Lembaga Taman Negara (NParks) dan Persatuan Alam Semula Jadi (Singapura) atau NSS.

Anggota kumpulan itu termasuk Universiti Nasional Singapura, Kumpulan Hidupan Liar Mandai, Mandai Nature dan BirdLife International.

Rancangan lima tahun itu termasuk pemantauan populasi. Ia juga melibatkan penyelidikan dan pendekatan masyarakat. Semuanya berdasarkan bukti saintifik terkini.

“Sedang masalah terbesar di luar negara adalah memerangkap burung untuk perdagangan burung sangkar, cabaran kami termasuk usaha meningkatkan hubungan antara populasinya di Pulau Ubin dengan tanah besar,” kata pengurus kanan kepelbagaian biologi di NParks, Encik Low Bing Wen.

Terdapat tiga kubu utama burung bulbul berkepala jerami di Singapura. Ini termasuk Ubin-Khatib, Kranji-Mandai serta kawasan hutan tengah yang merangkumi Bukit Timah dan kawasan simpanan tengah.  

Salah satu sebab burung itu bertahan dengan baik di Singapura adalah kerana ia tidak lagi ditangkap untuk perdagangan burung siulan.

Ini berbeza dengan negara lain seperti Indonesia.

Kehilangan habitat adalah salah satu sebab utama lain yang mempengaruhi jumlah spesies tersebut.

“Dahulu, pemeliharaan burung siulan amat popular di Singapura. Kini, popularitinya semakin berkurang.

“Ini disebabkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan penduduk tempatan mengenai kepentingan burung yang masih hidup di alam liar.

“Burung harus berkicauan di taman dan kebun kita. Burung bulbul berkepala jerami ini masih boleh didengar atau dilihat di ruang hijau kita,” kata Encik Low.

“Di negara-negara (serantau), anda mungkin hanya dapat melihat satu atau dua burung ini apabila anda menjelajah jauh dari laluan biasa.”

Pemerhati burung veteran dan penasihat kepada kumpulan burung NSS, Encik Alfred Chia, menambah:

“Di tempat seperti Thailand dan Myanmar, spesies ini hampir pupus, sementara di bahagian Indonesia seperti Jawa dan Sumatera, ia hampir punah, kecuali di bahagian terpencil Kalimantan.” 

Penghakisan spesies itu bermakna ia tidak lagi ditemui di kawasan tertentu tetapi tidak semestinya ia pupus.

Untuk melindungi benteng terakhir burung bulbul berkepala jerami di dunia, Rancangan Tindakan Spesies Kebangsaan menetapkan apa yang diperlukan di Singapura sepanjang tempoh lima tahun untuk memantau dan menjalankan penyelidikan serta pendekatan berdasarkan bukti saintifik.

Presiden NSS, Encik Yeo Seng Beng, menulis dalam pengenalan rancangan itu bahawa berbanding dengan peningkatan kehilangan habitat di Asia Tenggara, “usaha pemuliharaan Singapura dan tindakan penguatkuasaan yang berkesan, bersama dengan toleransi burung bulbul berkepala jerami terhadap habitat hutan sekunder dan habitat pinggir hutan, telah memastikan spesies ini terus hidup dan berada dalam keadaan baik”. 

Salah satu daripada empat bidang tindakan utama ialah pemantauan. Ini untuk mengenal pasti habitat kegemaran burung bulbul berkepala jerami itu.

Data yang dikumpulkan oleh penyelidik digunakan untuk memodelkan persekitaran semula jadinya dengan struktur tumbuh-tumbuhan seperti pelindung kanopi dan kepadatan.

Tindakan lain melibatkan penilaian tahap pembiakan dan kepelbagaian genetik dalam populasi liar dan yang dibiak untuk tujuan pemuliharaan, melalui penyusunan genetik burung liar dan burung dari koleksi zoologi tawanan dan spesimen muzium.

“Pembiakan dalam tawanan membentuk populasi perlindungan sekiranya apa-apa berlaku kepada burung tersebut, sama ada di Singapura mahupun di tempat lain,” kata Encik Low.

“Sayangnya, burung bulbul berkepala jerami sangat sukar dibiak dalam kurungan.

“Kumpulan Hidupan Liar Mandai adalah salah satu daripada beberapa tempat di dunia yang telah berjaya membiak burung ini dalam kurungan.

“Walaupun begitu, hanya sembilan anak burung baru yang berjaya dibesarkan.”

Encik Chia menyatakan bahawa burung liar akan dipasang cincin khas pada kaki mereka untuk membolehkan pemantauan pergerakan dan pertumbuhan mereka. Pemantauan genetik akan dilakukan menggunakan bahan seperti bulu dan najis. 

Di Facebook, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, menyatakan bahawa Rancangan Tindakan Spesies Kebangsaan mengambil langkah lebih lanjut daripada usaha terdahulu.

Ini khusus untuk menaikkan status burung bulbul berkepala jerami itu dalam Konvensyen bagi Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Flora dan Fauna Liar yang Terancam (Cities) dan melibatkan masyarakat dalam tindakan pemuliharaan. 

Burung bulbul berkepala jerami sebelum ini tercatat dalam Senarai Lampiran II Cites sejak 1997. Ini bermakna perdagangan burung itu dikawal untuk mengelakkan ancaman terhadap kelangsungan hidup spesies tersebut.

Namun, ia baru-baru ini dinaikkan status ke Senarai Lampiran I Cites. Ini menandakan spesies tersebut menghadapi risiko tinggi pupus, sekali gus melarang perdagangannya untuk tujuan komersial.

Singapura, Malaysia dan Amerika Syarikat menyarankan peningkatan status itu pada persidangan iklim COP27 pada 2022, dan ia berkuat kuasa pada 25 November 2023.

Singapura telah menjadi anggota Cites sejak November 1986.


Perjanjian antarabangsa itu memastikan spesies liar tidak terancam dengan kepupusan oleh kegiatan perdagangan. 

Burung bulbul berkepala jerami adalah spesies yang dilindungi di Singapura di bawah Akta Hidupan Liar yang melarang pembunuhan, memerangkap, tawaran untuk dijual, atau import serta eksport burung tersebut.

“Salah satu keutamaan daripada rancangan tindakan ini adalah menjalankan pemantauan kerap di kedai-kedai burung tempatan untuk menghalang pemburuan burung bulbul daripada alam liar,” kata Encik Low.

“Satu lagi pendekatan penting adalah meningkatkan kesedaran masyarakat tentang burung bulbul berkepala jerami, memupuk penghargaan yang lebih besar terhadap spesies tersebut dan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam usaha pemuliharaannya,” tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >