Di luar dugaannya sendiri, pastri pencuci mulut ala makanan Arab bergelar kunafa, yang mula dijual Encik Mohamad Hussin Said di Bazar Raya Geylang Serai pada Mac lalu, bukan sahaja mendorong orang ramai beratur berjam-jam untuk membelinya, malah mencetus trend makanan berperisa kunafa di sini.
Sebenarnya, pastri digelar crispy kunafa, atau kunafa rangup, dan dijualnya menggunakan jenama Mangobossku itu hanya diilhamkan untuk dijual di bazar secara kebetulan, menurut beliau.
Encik Hussin, yang turut dikenal di media sosial sebagai Mangobossku, pada mulanya hendak menjual kuetiau goreng di bazar, tetapi bertukar fikiran selepas mencuba manisan serupa di pesta makanan di Kuala Lumpur pada Mac lalu.
“Bila isteri saya nampak kunafa di KL, beliau beritahu saya bahawa produk itu boleh laris,” kata Encik Hussin, 38 tahun.
“Memang kami ada jangkakan produk itu boleh jadi popular, tapi sekarang trend ini dah jadi kegilaan ramai,” tambahnya ketika ditemui Berita Minggu (BM) di rumahnya, di sebuah kondominum di utara Singapura, baru-baru ini.
Ternyata, ‘kesan’ kunafa rangup yang dipadankan dengan sos ‘banjir’ berperisa coklat, red velvet dan kacang pistasio itu berlarutan sejak ia mengundang orang ramai untuk berjam-jam di bazar Geylang Serai hingga ke hari ini.
Beberapa peniaga yang sedar potensi pengaruh kunafa rangup ini juga mula mengorak langkah untuk merasai ‘tempiasnya’ dan kini menjual produk seperti kek, pastri dan kudapan lain berperisa kunafa.
Malah, sebuah kedai menjual ramuan membuat kek dan pastri di bahagian timur Singapura berkata bekalan ramuan untuk membuat kunafa ada kalanya kehabisan.
Sekitar dua minggu lalu, video yang menunjukkan orang ramai beratur untuk membeli kunafa di bazar di Kallang rancak disebarkan dalam talian. Ada juga yang membeli hingga ratusan kotak.
Berdasarkan tinjauan BM, sebahagian orang yang sanggup beratur berjam-jam lama itu adalah peniaga kecil-kecilan yang bertujuan membeli pastri itu untuk dijual semula.
Namun, beberapa pembeli yang dihubungi BM berkata mereka sanggup beratur berjam-jam kerana begitu tertarik untuk mencuba kunafa rangup itu kerana terpaut dengan video di media sosial yang dikongsi Encik Hussin sendiri, pempengaruh dan pelanggan lain.
Video yang diterbitkan Encik Hussin kerap menunjukkan beliau memuji pelanggan dan penyokongnya, selain menyampaikan mesej berterus-terang kepada pengkiritik yang mempersendakannya. Beliau juga pernah menitis air mata dan berkongsi sejarah peribadi di media sosial.
Malah, Encik Hussin memberitahu BM, beliau membayar beberapa ribu dolar kepada selebriti Roslan Shah untuk ‘bergaduh’ dengannya pada minggu pembukaan bazar Geylang Serai demi menarik perhatian pelanggan di media sosial.
Video yang dimuat naik ke TikTok itu mencatat lebih 6.2 juta tontonan sehingga artikel ini ditulis.
Beberapa pakar yang dihubungi BM berkata, gaya pemasaran sedemikian boleh membuat pelanggan berasa dihargai dan mencetus perasaan enggan terkilan dan terlepas menyertai trend makanan tersebut.
Ketua Program Pemasaran Sekolah Perniagaan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Lau Kong Cheen berkata video yang memuji pelanggan memupuk sifat kesetiaan dalam kalangan mereka.
Serupa dengan trend patung Hello Kitty di McDonald’s dan pelancaran iPhone yang selalu mengundang orang untuk beratur, video pelanggan beratur di media sosial juga mengundang lebih ramai orang untuk membeli sesebuah produk, kata beliau.
Selain menggunakan video di media sosial untuk menarik perhatian pelanggan, Encik Hussin juga kerap mengadakan cabutan bertuah. Beliau pernah menawarkan wang tunai dan motosikal kepada pelanggan yang berbelanja jumlah tertentu di gerainya.
“Sejujurnya, saya tahu kunafa tetap laris jika saya jual begitu saja,” ujar Encik Hussin.
“Tapi gaya pemasaran saya yang lebih ganas, menjadikannya lebih power!”
Encik Hussin membangunkan jenama Mangobossku pada 2019 dan membina nama itu menerusi dua sajian terkenalnya iaitu minuman, Mango Float, dan gorengan keju ala Korea, Famous Korean Cheese Stick di bazar dan pesta makanan tempatan.
Apabila Covid-19 menjejas teruk pasaran, beliau beralih ke perniagaan dalam talian, dengan mengadakan lelongan pelbagai produk secara langsung di media sosial.
Encik Hussin yang memanfaatkan bilangan pengikutnya yang ramai, turut aktif memasarkan perniagaan tempatan menggunakan nama, Mangobossku.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg