Cik Amiera Ismail adalah antara mereka yang datang awal pada 18 Ogos.
Sewaktu beliau tiba pada 9.30 pagi, reruai kunafa tular – Ojenn Aiwahhh – yang ingin dikunjunginya itu belum pun dibuka.
Dua barisan disediakan untuk orang ramai beratur – satu bagi pembelian sebanyak satu hingga lima kotak manakala satu lagi untuk pembelian sehingga 100 kotak.
Cik Amiera, 31 tahun, memilih untuk beratur di barisan kedua, sesuai dengan pesanan yang bakal dibelinya, dan sudah ada 15 orang di hadapannya sewaktu beliau mula beratur.
Seperti Cik Amiera, ramai yang telah mengambil kesempatan untuk menambah pendapatan dengan mengambil pesanan untuk Kunafa Aiwahhh yang pasti akan laris sebagai penjual semula.
Beliau mendakwa dirinya tidak mengambil keuntungan besar – sekadar bayaran perkhidmatan $4 bagi setiap pesanan dan $10 untuk penghantaran.
Beliau menambah bahawa ia juga dilakukan sekadar untuk ‘suka-suka’.
“Saya datang seorang diri pada hari itu. Saya bawa troli untuk mudahkan pengangkutan.
“Saya ingin membeli 60 kotak kunafa dan akan menghantarnya sendiri kepada pembeli pada hari yang sama,” kata Cik Amiera, antara ratusan pembeli yang beratur di acara Absolut Food Fest di Kallang pada 18 Ogos.
“Jadi terpaksalah tahan lapar, dahaga dan panas terik. Ramai yang bawa kerusi sendiri dan kami yang beratur sempat berkenalan antara satu sama lain.
“Ada di antara mereka yang sumbangkan makanan atau minuman, atau tolong jagakan barisan satu sama lain apabila perlu ke tandas.”
Tidak disangkanya, walaupun datang awal, Cik Amiera terpaksa beratur lama dan rasa pelik apabila pagi bertukar menjadi petang, dan barisan mereka yang beratur seakan tidak bergerak.
“Sudah 6 petang, saya hairan kenapa barisan saya tidak bergerak.
“Barisan sebelah walaupun lebih panjang bergerak tetapi barisan kami seakan tidak berganjak… kemudian saya dapat tahu orang di depan telah meletak pesanan sampai 1,000 kotak. Dan orang kedua di belakangnya memesan 700 kotak… patutlah.
“Rasanya tidak adil bagi kami yang ikut peraturan dan ingin membeli kurang 100 kotak tetapi terpaksa tunggu begitu lama.
“Saya terus ambil keputusan untuk bertukar barisan dan tidak lama kemudian, saya dapat beli apa yang saya inginkan,” ujar ibu seorang anak itu.
Ditanya sekiranya pengalaman beratur lama itu berbaloi baginya, Cik Amiera, yang bekerja dalam sektor minyak dan gas, menjawab:
“Saya mempunyai pekerjaan tetap dan sejujurnya saya agak serik buat kerja ini. Mungkin kalau saya tidak bekerja, ia boleh menjadi pendapatan sampingan yang lumayan tapi buat masa sekarang tidak lagi.”
Seorang lagi yang tiba beratur pada hari yang sama ialah Cik Aidah Idris, 50 tahun, seorang peniaga dari rumah. Beliau mendapat tahu tentang kunafa tular Ojenn Aiwahhh melalui TikTok dan teruja untuk merasanya.
“Walaupun terpaksa beratur lama dan harganya pun agak mahal, saya anggap ia macam membeli durian ‘premium’... mahal tetapi sedap dan memuaskan. Bukan untuk makan hari-hari tapi sekali-sekala, jadi apa salahnya?
“Saya kagum dengan cara mereka menguruskan pesanan walaupun ramai yang beratur... boleh dikatakan semuanya berjalan lancar,” kata Cik Aidah yang menambah beliau telah beratur selama empat jam sebelum dapat membeli kunafa tular itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg