Dengan kemudahan menggunakan platform digital yang semakin berleluasa di Singapura, kes penipuan yang dirakamkan juga terus meningkat, mencetuskan satu masalah mencabar yang perlu ditangani pihak berkuasa.
Pada separuh pertama 2024, 86 peratus kes penipuan yang dilaporkan adalah daripada pemindahan wang yang dilakukan mangsa sendiri secara sukarela.
Si penipu tiada kawalan langsung ke atas akaun mangsa, namun telah memanipulasi mangsa untuk memindahkan wang kepada mereka.
Bahkan dalam beberapa kes, walaupun mangsa diberitahu polis, bank atau ahli keluarga bahawa mereka telah ditipu, mereka tetap memindahkan wang, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu laporan sebelum ini.
MHA berkata mangsa lazimnya terjebak dalam kes seperti penipuan pelaburan, penipuan cinta dan penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah.
Ini sesuatu yang membimbangkan, memandangkan mangsa boleh kehilangan ratusan, bahkan ribuan dolar wang simpanan yang telah terkumpul bertahun-tahun lamanya.
Bukan itu sahaja, mangsa penipuan juga boleh mengalami tekanan dan kemurungan, dan boleh menyebabkan berlaku keretakan hubungan dalam keluarga.
Oleh itu, Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Penipuan yang diluluskan Parlimen pada 7 Januari memainkan peranan penting dalam melindungi mangsa.
Ia, antara lain, memberi kuasa lebih luas kepada polis untuk melindungi mangsa penipuan, walaupun mereka tidak percaya mereka menjadi sasaran.
Di bawah rang undang-undang itu, polis boleh mengarahkan bank untuk menyekat urus niaga perbankan individu, jika terdapat bukti munasabah individu tersebut akan membuat pemindahan wang kepada penipu – sesuatu yang tidak boleh dilakukan polis sebelum rang undang-undang itu diluluskan.
Kes penipuan di Singapura mencecah rekod tinggi pada separuh pertama 2024, dengan lebih $385.6 juta hilang dalam 26,587 kes yang dilaporkan.
Kerugian yang dicatatkan itu adalah 24.6 peratus lebih tinggi berbanding $309.4 juta yang dirakamkan dalam tempoh yang sama pada 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg