Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rang undang-undang kawal akaun bank mangsa penipuan diluluskan

Perintah Sekatan untuk beri lebih banyak masa kepada polis yakinkan individu bahawa beliau ditipu
Jan 7, 2025 | 6:54 PM
Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Penipuan yang memberi kuasa kepada pegawai tertentu, termasuk pegawai polis dan pegawai ehwal komersial, untuk mengeluarkan Perintah Sekatan (RO) kepada bank untuk sekat transaksi perbankan seseorang individu telah diluluskan di Parlimen pada 7 Januari.
Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Penipuan yang memberi kuasa kepada pegawai tertentu, termasuk pegawai polis dan pegawai ehwal komersial, untuk mengeluarkan Perintah Sekatan (RO) kepada bank untuk sekat transaksi perbankan seseorang individu telah diluluskan di Parlimen pada 7 Januari. - Foto fail

Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Penipuan yang memberi kuasa kepada pegawai tertentu, termasuk pegawai polis dan pegawai ehwal komersial, untuk mengeluarkan Perintah Sekatan (RO) kepada bank untuk menyekat transaksi perbankan seseorang individu telah diluluskan di Parlimen pada 7 Januari.

Ia membenarkan RO dikeluarkan jika ada sebab untuk mempercayai bahawa individu itu akan membuat pemindahan wang kepada penipu, mengeluarkan wang dan memberinya kepada penipu, atau memohon atau mengeluarkan daripada mana-mana kemudahan kredit dengan niat untuk memberi manfaat kepada penipu.

Tujuannya adalah untuk memberi lebih banyak masa kepada polis untuk melibatkan diri dan meyakinkan individu itu bahawa beliau ditipu, termasuk dengan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarganya, kata Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Cik Sun Xueling.

Dalam tempoh ini, polis boleh bekerjasama dengan rakan atau ahli keluarga individu tersebut dan mengumpul bukti lanjut.

Individu tersebut juga boleh dirujuk kepada kaunselor atau agensi perkhidmatan sosial untuk mendapatkan sokongan.

RO hanya akan dikeluarkan sebagai pilihan terakhir, jika semua usaha lain untuk meyakinkan individu tersebut telah gagal.

Apabila dikeluarkan, RO akan mengarahkan bank untuk tidak melaksanakan sebarang transaksi perbankan daripada akaun bank individu, dan tidak membenarkan sebarang pengeluaran kemudahan kredit. 

Akaun bank, kemudahan ATM dan kemudahan kredit individu yang tertakluk kepada RO akan digantung. 

Bagaimanapun, individu tersebut akan diberi akses kepada wangnya untuk perbelanjaan hidup seharian, membayar bil perubatan atau membayar premium insurans.

“Pegawai tertentu hanya akan mengeluarkan RO dalam kes luar biasa apabila terdapat bukti yang jelas dan tidak boleh dipertikaikan bahawa kesalahan yang berkaitan didedahkan.

“Pegawai yang ditentukan mesti menentukan bahawa RO adalah perlu untuk melindungi individu.

“Keputusan untuk mengeluarkan RO akan dibuat semata-mata oleh polis, berdasarkan penilaian holistik terhadap fakta dan keadaan setiap kes.

“Walaupun kehendak individu dan ahli keluarganya boleh diambil kira, polis akan membuat keputusan muktamad,” kata Cik Sun.

Namun, individu boleh membuat rayuan terhadap pengeluaran RO kepada Pesuruhjaya Polis, dengan keputusannya adalah muktamad.

Oleh kerana RO akan kekal dikuatkuasakan sementara menunggu penilaian rayuan, MHA akan pastikan proses rayuan adalah pantas.

Secara operasi, RO akan dikeluarkan kepada tujuh Bank Penting Sistemik Domestik (atau DSIB), yang merangkumi sebahagian besar akaun bank pengguna di Singapura, iaitu bank OCBC, DBS, UOB, Maybank, Standard Chartered, Citibank dan HSBC.

RO juga akan dikeluarkan kepada bank bukan DSIB, jika disyaki bahawa mangsa akan melakukan pemindahan kepada penipu daripada akaun bukan DSIB atau mengeluarkan wang daripadanya untuk diberikan kepada penipu.

Seramai 11 Anggota Parlimen (AP) telah membangkitkan kebimbangan mereka mengenai peningkatan dalam kes penipuan.

Encik Gan Thiam Poh (GRC Ang Mo Kio) menyoal sama ada pemerintah akan mempertimbangkan untuk menurunkan ambang bagi pengeluaran RO, untuk mengurangkan kerugian penipuan, dan jika pihak ketiga akan tertakluk kepada RO, jika mereka membantu individu yang dikenakan RO untuk memindahkan wang kepada penipu.

Cik Ng Ling Ling (GRC Ang Mo Kio) pula bertanya sama ada tanggungjawab harus diberikan kepada mangsa jika polis tidak dapat meyakinkan mangsa akan penipuan yang berlaku.

AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Cik Hazel Poa, juga menyarankan agar individu dibenarkan memilih keluar daripada rejim perintah sekatan memandangkan mereka mempunyai hak menentukan penggunaan wang mereka.

Menjawab pertanyaan dan saranan tersebut, Cik Sun berkata:

“Dasar kami berhasrat mengimbangi antara melindungi individu daripada bahaya dan menghormati autonomi dan tanggungjawab peribadi mereka.

“Ia adalah sebab mengapa RO dikerahkan sebagai langkah terakhir dan hanya dikeluarkan buat sementara waktu untuk maksimum 30 hari pada peringkat awal dan diperbaharui sehingga lima kali jika perlu.

“RO tidak akan lagi berkuatkuasa selepas bilangan maksimum pembaharuan walaupun individu itu tetap bersedia untuk memindahkan wang kepada penipu.”

Cik Sun berkata kos penipuan bukan sahaja menjejas mangsa, dan memerangi penipuan adalah tanggungjawab semua.

“Memerangi penipuan memerlukan seluruh masyarakat, dan kita semua mesti terus bekerjasama untuk melindungi diri kita dan orang tersayang daripada penipuan,” tambahnya.

“Bank mesti bertindak pantas apabila diberitahu tentang penipuan dan perlu bertanggungjawab jika tidak mematuhi arahan. Selain itu, pengadil bebas perlu mengawasi siasatan bank terhadap kes penipuan supaya dapat memberi keadilan kepada mangsa.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.

“Menentukan sama ada, dan apabila pelanggan ingin membuat transaksi yang mungkin berkaitan dengan penipuan atau tidak, demi kepentingan terbaik pelanggan, bukanlah mudah. Mungkin garis panduan perlu dibangunkan oleh pihak bank untuk memastikan konsistensi dalam proses rujukan pelanggan mereka.”
Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum Abdul Rahim.

“Terdapat banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk melindungi pengguna. Seseorang mungkin rasa kurang selesa, khususnya, dengan cara rang undang-undang ini memberikan penguatkuasaan undang-undang yang besar untuk campur tangan dan menyekat, pada penghujungnya, satu transaksi peribadi.”
Anggota Parlimen Parti Pekerja, Encik Jamus Lim (GRC Sengkang).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg