Topik diikuti
Pergi ke BHkuKenderaan asing perlu ada VEP sah untuk penumpang serah Kad Ketibaan SG mulai 6 Okt
Kenderaan asing perlu ada VEP sah untuk penumpang serah Kad Ketibaan SG mulai 6 Okt
Mulai 6 Oktober, mereka yang memasuki Singapura menggunakan kereta berdaftar di luar negara hanya boleh menyerahkan Kad Ketibaan Singapura (SGAC) sekiranya kenderaan tersebut mempunyai Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang sah.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 22 September, Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan bahawa pelawat tidak akan dapat menyerahkan kad ketibaan mereka dengan jayanya jika mereka ingin memasuki Singapura menggunakan kereta tanpa VEP yang sah.
Ini kerana sistem SGAC akan mengesahkan status VEP kenderaan berkenaan terlebih dahulu.
Pelawat berkenaan akan diminta memohon permit tersebut sebelum melakukan perjalanan ke Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands atau Tuas.
“Pengesahan awal ini akan memberi peringatan kepada pelawat, termasuk penumpang, sekiranya kenderaan tersebut tidak mempunyai VEP yang sah.
“Ini memberi peluang kepada pemandu untuk menyelesaikan isu tersebut sebelum membuat perjalanan ke Singapura dan mengelakkan kesulitan diarah berpatah balik di pusat pemeriksaan darat,” kata ICA.
Syarat VEP ini akan dilanjutkan secara berperingkat kepada jenis kenderaan lain di pusat pemeriksaan darat, tambah ICA.
SGAC, yang disediakan di aplikasi MyICA mulai 30 September, merupakan pengisytiharan pra-ketibaan mandatori yang perlu diserahkan oleh semua pelawat – termasuk warga Singapura, penduduk tetap (PR) dan pemegang pas jangka panjang – sebelum tiba di Singapura.
Semua kenderaan berdaftar di luar negara wajib mempunyai VEP yang sah untuk memasuki Singapura, dan kenderaan tanpa permit akan diarah berpatah balik ke Malaysia.
“VEP yang sah juga memberi jaminan bahawa kenderaan tersebut mempunyai insurans motor yang diperlukan di Singapura, ini kerana insurans motor yang sah bagi keseluruhan tempoh penggunaan kenderaan (di negara ini) merupakan syarat untuk mendapatkan VEP,” kata ICA, sambil menambah bahawa permit tidak boleh dikeluarkan tanpa insurans motor.
Kenderaan berdaftar di luar negara yang didapati berada di Singapura tanpa VEP yang sah boleh dirampas, menurut laman web OneMotoring milik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Maklumat mengenai permohonan dan pelanjutan VEP boleh didapati di laman web LTA OneMotoring.
Pada Mei 2026, LTA dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan bersama memaklumkan bahawa permohonan atau pembaharuan VEP bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mempunyai saman tertunggak akan ditolak mulai 2 November.
Pemandu dan penunggang kenderaan dinasihatkan untuk melunaskan semua saman sebelum memohon atau memperbaharui VEP mereka di laman web LTA OneMotoring, kata pihak berkuasa.