Pemilik kenderaan berat bakal mempunyai lebih banyak pilihan untuk meletak kenderaan semalaman mulai 15 September, berikutan permintaan agar kelonggaran diberikan bagi memudahkan operasi mereka.

Dalam satu kenyataan pada 14 September, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memaklumkan bahawa pemilik kenderaan berat boleh meletak kenderaan semalaman di premis swasta dan bukan kediaman, seperti di kemudahan perindustrian, tapak kerja berdaftar dan hartanah komersial, dengan syarat mereka mendapat kebenaran pemilik kemudahan berkenaan.

Di bawah aturan baharu ini, pemilik kenderaan harus memastikan aturan meletak kenderaan mereka mematuhi peraturan, tidak mengganggu orang ramai atau menimbulkan bahaya keselamatan kepada pihak lain, jelas LTA.

Skim baharu itu khusus bagi kenderaan barangan atau lori penggaul konkrit dengan berat muatan maksimum melebihi 5,000 kilogram; serta bas dengan kapasiti tempat duduk melebihi 15 orang, tidak termasuk pemandu.

Langkah iru merupakan peluasan kepada skim Sijil Meletak Kenderaan (VPC) sedia ada, dengan pemilik wajib mendapatkan lot meletak kenderaan di tapak yang diluluskan antara 12 tengah malam dengan 6 pagi, sebelum mereka boleh mendaftarkan kenderaan baharu, memindahkan hak milik, atau memperbaharui cukai jalan.

VPC diperkenalkan pada 1994 untuk memastikan kenderaan berat diletakkan secara bertanggungjawab dan bukan di tempat sembarangan.

Skim VPC bagi treler telah digantung di bawah projek perintis selama dua tahun bermula 6 Februari lalu, berikutan maklum balas industri serta sesi perundingan bersama Persatuan Pengangkutan Singapura.

Menerusi satu hantaran video di Facebook pada 14 September, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, berkata beliau sedia maklum ramai pengendali dan pemandu kenderaan berat menghadapi kesukaran untuk mendapatkan VPC.

Ini kerana VPC bergantung pada ketersediaan lot meletak kenderaan.

“Langkah ini akan dilaksanakan sementara Kementerian Pembangunan Negara, Kementerian Pengangkutan serta agensi pemerintah lain bekerjasama untuk menyediakan lebih banyak lot meletak kenderaan berat,” kata Cik Sun.

Di bawah aturan meletak kenderaan baharu ini, pemilik mesti menandakan lokasi meletak kenderaan berat mereka di premis pilihan menerusi Perkhidmatan Digital OneMotoring, berserta bukti kebenaran meletak kenderaan daripada pemilik premis.

Setiap aturan baharu adalah sah sehingga tempoh dua tahun tanpa sebarang bayaran dikenakan.

Pemohon yang berjaya akan menerima surat pengesahan daripada LTA.

Namun begitu, meletak kenderaan berat di jalan raya awam atau di estet perumahan masih tidak dibenarkan.

LTA menambah pihaknya bersama pihak berkuasa akan meningkatkan usaha penguatkuasaan terhadap tindakan meletakkan kenderaan berat secara sembarangan di jalan raya awam.