Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeandalan MRT S’pura capai tahap tertinggi dalam sejarah pada Ogos
Laluan Downtown catat lonjakan 99.3 peratus berbanding Jul
Keandalan MRT S’pura capai tahap tertinggi dalam sejarah pada Ogos
Rangkaian MRT di Singapura mencatat tahap keandalan tertinggi dalam sejarah, dengan empat daripada lima laluan yang telah lama beroperasi menunjukkan peningkatan pada Ogos.
Secara purata, tren MRT mencatat 2.88 juta (kilometer) km-tren bagi setiap kelewatan melebihi lima minit dari September 2025 hingga Ogos 2026.
Demikian menurut laporan keandalan rel terkini Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 11 September.
Angka itu hampir tiga kali sasaran keandalan keseluruhan rangkaian MRT Singapura, iaitu sejuta km-tren bagi setiap kelewatan, atau sejuta kilometer ukuran purata kilometer antara kegagalan (MKBF).
MKBF ialah ukuran kejuruteraan yang digunakan secara meluas bagi keandalan rel, menunjukkan jarak perjalanan tren sebelum berlaku kelewatan yang melebihi lima minit.
Semakin tinggi angka MKBF, semakin tinggi keandalan rel.
Angka LTA berdasarkan purata pergerakan sepanjang 12 bulan.
Pada Ogos, tiada kelewatan besar melebihi 30 minit di lima laluan MRT yang telah lama beroperasi dan rangkaian LRT, tambah laporan itu.
Ini tempoh terpanjang tanpa kejadian kelewatan di laluan berkenaan sejak peristiwa terakhir di Laluan Timur-Barat (EWL) pada November 2025.
Laluan Downtown (DTL), kendalian SBS Transit (SBST), melonjak menjadi laluan MRT paling andal, dengan purata 8.37 juta km-tren antara kelewatan pada Ogos, hampir dua kali 4.2 juta km-tren pada Julai.
Di tempat kedua, Laluan Timur Laut (NEL), juga kendalian SBST, mencatat 4.48 juta km-tren bagi setiap kelewatan pada Ogos, naik daripada 4.47 juta pada Julai.
Sebelum ini, NEL adalah laluan paling andal.
LTA berkata DTL dan NEL masing-masing mencatat MKBF pada tahap tertinggi yang boleh dicapai sepanjang tahun lalu.
Seterusnya, EWL mencatat keandalan ketiga tertinggi dengan 2.52 juta km-tren antara kelewatan, naik daripada 2.02 juta pada Julai.
Keandalan Laluan Circle (CCL) turut meningkat kepada 2.51 juta km-tren antara kelewatan pada Ogos, daripada 2.45 juta pada Julai.
Keandalan Laluan Utara-Selatan (NSL) kekal pada 1.65 juta km-tren.
SMRT mengendalikan NSL dan EWL, dua laluan MRT tertua di Singapura, serta CCL.
Dalam satu kenyataan, LTA berkata keandalan lebih baik itu hasil usaha dan dedikasi pekerja pengangkutan serta pengendali rel untuk meningkatkan usaha dalam keandalan dan tindak balas terhadap kerosakan.
LTA berkata pencapaian ini turut menunjukkan kesan saranan pasukan petugas keandalan rel pada Februari yang dilaksanakan LTA, SMRT dan SBST.
Namun, kadar perkhidmatan tren mengikut jadual dan ketepatan masa tren masing-masing susut sedikit.
Bagi semua laluan, 99.62 peratus perkhidmatan tren beroperasi mengikut jadual pada Ogos, turun daripada 99.71 peratus pada Julai, tambah laporan itu.
Ketepatan masa tren di lima laluan turut susut kepada 99.03 peratus pada Ogos, daripada 99.29 peratus.
DTL mencatat angka lebih rendah bagi ketepatan masa tren dan peratusan perkhidmatan mengikut jadual susulan ujian sistem yang dirancang.
Angka bagi laluan MRT terbaharu, Laluan Thomson-East Coast (TEL) kendalian SMRT, tidak disertakan dalam laporan keseluruhan.
Keandalannya meningkat pada Ogos, dengan purata 415,000 km-tren antara kelewatan, berbanding 373,000 pada Julai.
