Jenama kenderaan elektrik (EV) China, Skyworth, telah memulakan penjualan kereta di Singapura, dengan pembukaan bilik pamerannya di kawasan Ubi pada 7 Januari.
Bilik pameran seluas 2,000 kaki persegi yang terletak di 20 Ubi Road 4 itu boleh mempamerkan sehingga empat kenderaan.
Sebuah bengkel yang mengendalikan persediaan, pembaikan, dan penyelenggaraan kenderaan Skyworth juga terletak dalam kawasan yang sama.
Pembukaan bilik pameran Skyworth menandakan langkah pertama jenama EV China itu memasuki pasaran tempatan, dengan jualan kereta bermula pada hari yang sama.
K, sebuah kereta sport EV, adalah model pertama Skyworth yang disediakan di sini.
Saiz EV itu lebih kurang sama dengan Toyota Harrier, dan dilengkapi dengan motor tunggal dengan kuasa 150 kilowatt (kW) dan kapasiti bateri 86 kilowatt-jam (kWj).
Ia dikatakan mampu bertahan sehingga 489 kilometer sebelum memerlukan pengecasan.
Semasa pelancaran, harga K adalah $183,888, termasuk Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) Kategori B dan diskaun, lapor The Straits Times (ST).
Sebagai perbandingan, harga Toyota Harrier Hibrid, yang tidak layak untuk menerima insentif cukai yang diberikan kepada EV, bermula pada $248,888 dengan COE – namun harga itu mungkin berubah selepas proses tender COE ditutup pada 8 Januari.
Pengedar Opel, Alpine Group, telah dilantik sebagai ejen jualan Skyworth di Singapura pada Julai 2024.
Setakat ini, Alpine Group telah melabur sekitar $500,000 dalam jenama Skyworth, kata pengarah kumpulan tersebut, Encik Keith Pang, kepada ST pada 6 Januari.
Menurut Encik Pang, mereka tidak ada rancangan untuk memperkenalkan K dengan versi kuasa lebih rendah agar kereta tersebut layak mendapat COE Kategori A.
Di bawah peraturan COE semasa, kereta bukan elektrik sepenuhnya yang mempunyai kuasa kuda (hp) sehingga 130hp dan EV dengan kuasa sehingga 110kW berada di bawah Kategori A, yang mempunyai premium lebih rendah berbanding Kategori B.
Pada Jun, Skyworth bakal memperkenalkan kereta jenis crossover elektrik yang saiznya lebih kurang sama dengan Volkswagen Golf di Singapura.
Pada suku terakhir 2025, Skyworth juga bakal memulakan penjualan van elektrik, yang akan bersaing dengan model keluaran China lain seperti BYD dan Maxus, tambah Encik Pang.
Pada Julai 2024, dilaporkan bahawa bilik pameran Skyworth di Singapura sepatutnya terletak di Alpine Centre, 7 Ubi Close, sebumbung dengan Opel.
Namun, rancangan berubah pada Oktober 2024 apabila dua tingkat di Alpine Centre diambil alih oleh Harmony Auto, pengedar bagi jenama EV BYD dan Denza.
Lokasi bilik pameran Skyworth di 20 Ubi Road 4 sebelum ini digunakan oleh Think One, pengedar kenderaan komersial dan kenderaan import selari (parallel-import).
Encik Pang berkata Think One sedang dalam perbincangan untuk terlibat dalam pengedaran Skyworth, namun perkara itu belum lagi dimuktamadkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg