Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Xpeng: Kebanyakan pembuat kereta China tidak dapat bertahan 10 tahun akan datang

Nov 18, 2024 | 12:33 PM
Encik He Xiaopeng, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pembuat kereta elekrik China, Xpeng, berkata syarikatnya menyasarkan  mengimbangi keuntungan dengan kejayaan jangka panjang.
Encik He Xiaopeng, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pembuat kereta elekrik China, Xpeng, berkata syarikatnya menyasarkan mengimbangi keuntungan dengan kejayaan jangka panjang. - Foto ST

Kebanyakan pembuat kereta China hari ini tidak akan dapat bertahan dalam dekad akan datang, dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi salah satu kunci kejayaan bagi mereka yang masih kekal.

Itu adalah pendapat yang dikemukakan Encik He Xiaopeng, pengerusi merangkap ketua eksekutif pembuat kenderaan elektrik (EV) China, Xpeng, dalam satu temu bual eksklusif bersama The Straits Times (ST) semasa lawatannya ke Singapura pada Oktober.

“Daripada 300 syarikat pemula, hanya 100 bertahan. Hari ini, kurang 50 masih wujud, dan hanya 40 benar-benar menjual kereta setiap tahun,” kata Encik He, yang syarikatnya beribu pejabat di Guangzhou.

“Saya fikir hanya tujuh syarikat kereta utama akan wujud dalam 10 tahun akan datang.”  

Namun, beliau tidak menyebut nama syarikat yang dimaksudkannya.

Ramalan suram beliau itu dibuat sedang jenama EV China berkembang di Singapura. Jenama China membentuk 52.1 peratus daripada keseluruhan pendaftaran EV di sini dalam 10 bulan pertama 2024, naik daripada 30.3 peratus pada 2023.

Jumlah jenama kereta China di Singapura kian meningkat, daripada dua pada 2018 kepada sembilan pada November.

Xpeng membuat kemunculan sulungnya di sini pada Julai. Sejak pelancarannya di Singapura, Xpeng telah mendaftar 212 buah kereta.

Ini meletakkan Xpeng di hadapan tiga jenama EV China yang lain yang membuat kemunculan di sini pada 2024 – Zeekr (65 kereta), Chery (48) dan Seres (satu). GAC Aion, yang dilancarkan pada April, telah menjual 262 kereta.

Sebagai perbandingan, jenama EV China terlaris, BYD, yang berada di Singapura sejak 2017, jauh mendahului dengan 4,560 buah keretanya didaftarkan antara Januari hingga Oktober.

Xpeng, yang berada di pasaran lebih 30 negara, belum menguntungkan.

Pada suku kedua 2024, syarikat itu melaporkan kerugian bersih 1.28 bilion yuan ($237.7 juta), berbanding kerugian bersih 2.8 bilion yuan pada tempoh sama pada 2023.  

Encik He berkata syarikatnya ingin mengimbangi keuntungan dengan kejayaan jangka panjang.

Dalam satu temu bual di bilik pameran syarikatnya di Leng Kee Road, Encik He membincangkan kenderaan autonomi (tanpa pemandu) dan projek kereta terbang syarikatnya.  

Xpeng menggunakan teknologi AI bagi sistem pemanduan autonomi, yang mula diuji pada kereta di Guangzhou pada 2022 dan diperluas ke bandar China yang lain pada 2023.

Ia syarikat pertama di China yang memperkenalkan sistem bantuan pemandu lebih maju. Sistem itu membolehkan kereta mengendalikan keadaan bandar seperti menukar lorong, respons kepada lampu isyarat, dan mengelak pejalan kaki serta penunggang basikal.

Encik He percaya ciri-ciri itu mudah dilancarkan di Singapura kerana persekitaran pemanduan teratur dan pemandu mematuhi peraturan. 

Terdapat enam tahap automasi pemanduan, daripada Tahap 0 hingga 5.

Teknologi Xpeng adalah pada Tahap 3, iaitu kenderaan boleh mengesan persekitaran dan mengendalikan pemanduan. Kenderaan Tahap 5 boleh bergerak tanpa campur tangan manusia dalam semua keadaan.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memberitahu ST setakat ini, kenderaan yang diluluskan dan dibenarkan di Singapura mempunyai automasi hanya hingga Tahap 2, tetapi ia akan menilai permohonan bagi Tahap 3.

Kenderaan Tahap 2 boleh mengawal stereng dan kelajuan, tetapi pemandu perlu memantau dan boleh mengambil alih pada bila-bila masa.

Pemerintah juga sedang meneliti penggunaan bas mini tanpa pemandu di laluan kurang mencabar, dengan trafik dan jumlah penumpang rendah.

Pemandu keselamatan akan berada di dalam bas mini pada peringkat awal sebelum pengendali keselamatan dibenarkan mengawalnya dari jarak jauh.  

Kenderaan logistik tanpa pemandu akan juga menjadi fokus bagi Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg