Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Kepimpinan berwawasan, keberanian nilai penting bagi S’pura terus maju

Kejayaan S’pura tidak pernah dijamin, malah sukar dicapai
Dec 10, 2025 | 6:14 PM
Lawrence Wong, Josephine Teo, Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), dan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, meninjau artifak yang dipamerkan di pameran percuma yang dibuka kepada umum, ‘Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia’. - Foto MDDI

Kepimpinan berwawasan, keberanian dan tumpuan terhadap kepentingan negara harus menjadi nilai yang terus membimbing Singapura agar negara ini dapat terus berkembang maju, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Dalam hantaran di Facebook pada 10 Disember mengenai pameran tetap, Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia, beliau berkata:

“Hari ini, dalam kita memperingati SG60, kita dapat berbangga (dengan pencapaian kita).

“Namun, kita harus ingat betapa mudahnya keadaan boleh berubah menjadi sangat berbeza dengan sekelip mata.

“Semua ini mengesahkan semula kebenaran lebih mendalam: Kelangsungan dan kejayaan Singapura tidak pernah dijamin.

“Ia diraih dengan jerih payah – melalui kepimpinan berwawasan, keberanian dan tumpuan teguh terhadap kepentingan negara kita.”

Beliau berkata demikian selepas dilihat meninjau pameran tersebut melalui gambar yang mengiringi catatannya.

Turut dilihat bersama beliau dalam kunjungan itu ialah Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, dan Pengarah Kreatif Eksekutif pameran tersebut, Encik Gene Tan.

Pameran percuma yang dibuka kepada awam sejak 8 Disember itu berlangsung di aras 10, Bangunan Perpustakaan Negara, dan ia berdasarkan buku, Fail Albatross: Di Sebalik Perpisahan, setebal 488 halaman.

Ia menampilkan anekdot lisan, kertas Kabinet rahsia dari 1964 hingga 1965, nota bertulis dan artifak asal daripada antara lain, mantan Timbalan Perdana Menteri, mendiang Dr Goh Keng Swee, serta mantan Perdana Menteri, mendiang Lee Kuan Yew.

Ia termasuk nota bertulis mengenai rundingan dengan pemimpin Persekutuan Malaysia terkait dengan perpisahan antara kedua-dua negara.

Berkenaan perpisahan antara Singapura dengan Malaysia, Encik Wong berkata selepas rusuhan kaum 1964, amat jelas penggabungan Malaysia dan Singapura tidak mencapai kejayaan – Singapura merupakan salah satu negeri Malaysia pada September 1963 sebelum ia mencapai kemerdekaan pada Ogos 1965.

“Begitu luar biasa, perpisahan (Singapura dan Malaysia) dicapai secara aman, walaupun di tengah-tengah percanggahan persetujuan yang mendalam pada masa itu,” katanya.

Beliau mempelawa rakyat Singapura agar mengunjungi pameran itu, dengan tempahan tiket dan maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web, https://thealbatrossfile.nlb.gov.sg/.

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dalam satu kenyataan bersama menyatakan pameran itu disyorkan bagi pengunjung berusia 10 tahun dan ke atas, dengan setiap lawatan dijangka mengambil masa sekitar sejam.

Pameran itu dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 9 malam, kecuali cuti umum – waktu operasi disesuaikan pada hari sebelum Cuti Krismas, Tahun Baru dan Tahun Baru Cina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg