Pihak berkuasa perumahan awam Singapura telah menganugerahkan syarikat Keppel kontrak bahagian infrastruktur bagi bekalan air sejuk untuk reka bentuk, bina dan kendalikan sistem pendingin berpusat (CCS) bagi tiga projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang akan datang.
Kontrak itu adalah bagi tempoh 20 tahun dan dianggarkan memberi khidmat kepada 3,500 isi rumah di seluruh Brickland Weave, Plantation Edge I & II, dan Plantation Verge, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Keppel dalam satu kenyataan bersama pada 30 September.
Kumpulan itu akan bekerjasama dengan HDB untuk menyediakan CCS ke setiap rumah sambil menguruskan pendaftaran dan menyediakan pengurusan projek pemasangan, operasi dan kerja-kerja penyenggaraan bagi sistem tersebut, lapor The Business Times (BT).
Skop kontrak itu termasuk pemasaran dan pengendalian kontrak dengan penduduk, yang berkaitan dengan keutamaan individu untuk mendinginkan unit mereka.
HDB juga akan bekerjasama dengan Keppel untuk reka bentuk dan sediakan infrastruktur seperti bumbung yang diperkukuh dan peruntukan elektrik bagi CCS, serta riser, atau tetingkat, dan kawasan umum untuk paip air sejuk.
Pihak berkuasa perumahan juga menyediakan belebas alat hawa dingin di semua flat di Tengah bagi penduduk yang tidak memilih perkhidmatan CCS.
HDB menyatakan ia akan menyokong Keppel untuk memastikan pelancaran CCS dalam ketiga-tiga projek BTO di Tengah akan diteruskan “selancar mungkin”.
Apabila siap, CCS bersama projek BTO akan disambungkan ke pusat operasi Keppel untuk pengawalan dan pemantauan prestasi.
Pembeli flat BTO Tengah mempunyai pilihan untuk melanggan CCS, yang termasuk paip air sejuk ke rumah daripada alat pendingin berpusat yang dipasang di atas bumbung blok HDB terpilih.
Kaedah ini dilihat sebagai penyelesaian pendingin yang lebih cekap tenaga berbanding sistem alat hawa dingin konvensional.
Mulai Isnin, pemilik rumah boleh mengunjungi Pusat Pengalaman Tenaga Keppel di Hab HDB Toa Payoh untuk mengetahui lebih lanjut tentang kejuruteraan Keppel dan reka bentuk yang dibina khas dalam sebuah rumah.
Ketua HDB, Encik Tan Meng Dui, berkata:
“Dengan lebih ramai peserta pasaran mengambil bahagian dalam penyediaan perkhidmatan CCS dalam persekitaran perumahan awam, kami harap dapat mengukuhkan lagi keupayaan industri dan mendalami ekosistem CCS, untuk menjadikan kehidupan HDB lebih sesuai didiami dan mampan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg