Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keppel, Huawei kerjasama dalam teknologi solar, bateri bagi grid kuasa Asean

May 13, 2025 | 6:30 PM
Huawei, Keppel, tenaga suria
Penyimpanan tenaga adalah “penting” untuk mengatasi ketidaktentuan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bahagian infrastruktur Keppel, Cik Cindy Lim. - Foto PIXABAY

Bahagian infrastruktur Keppel akan bekerjasama dengan syarikat gergasi teknologi China, Huawei International, untuk mereka bentuk dan membangunkan sistem fotovolta suria (PV) dan teknologi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bagi grid kuasa yang saling berhubung di seluruh Asia Tenggara.

Kededua syarikat juga akan bekerjasama dalam penyelesaian PV dan BESS untuk pusat data rendah karbon dan taman perindustrian, serta pengurusan tenaga digital bagi sistem tenaga hibrid, di bawah memorandum persefahaman (MOU) yang dimeterai pada 13 Mei.

Matlamatnya adalah untuk mengurangkan intensiti karbon, meningkatkan kestabilan operasi dan mengoptimumkan kos kitaran hayat serta prestasi ekonomi, menurut kenyataan Keppel dan Huawei, lapor The Business Times (BT).

Apabila beroperasi kelak, projek tersebut akan disambungkan ke Pusat Saraf Operasi Keppel di Changi untuk pemantauan dan kawalan jauh masa nyata, serta pengoptimuman prestasi.

Kededua syarikat juga bekerjasama dalam program tindak balas permintaan – satu sistem yang membantu mengimbangi permintaan tenaga dengan bekalan – menggunakan BESS yang dibangunkan di premis Keppel Infrastructure di Changi.

“Sistem BESS akan membolehkan Huawei dan Keppel meneroka penyelesaian pintar baru dalam operasi dan penyelenggaraan bagi meningkatkan kebolehpercayaan, prestasi dan kecekapan aset tenaga boleh diperbaharui,” kata kededua syarikat sambil menambah bahawa mereka akan membangunkan bersama strategi pemasaran melepasi pasaran Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bahagian infrastruktur Keppel, Cik Cindy Lim, menyatakan bahawa penyimpanan tenaga adalah “penting” untuk mengatasi ketidaktentuan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga suria.

“Menerusi kerjasama ini, kami akan memanfaatkan teknologi kuasa digital Huawei dan kepakaran mendalam Keppel dalam infrastruktur tenaga,” tambahnya. 

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg