Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keprihatinan pengurus jururawat pada masalah dihadapi kakitangan diiktiraf

Penerima Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja Untuk Penyelia terbuka dengar masalah anggota pasukan
Sep 24, 2025 | 10:30 PM
Sadiah Othman, Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja, pengurus jururawat
Cik Sadiah Othman diiktiraf dengan Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja (WSH) Untuk Penyelia pada 24 September 2025, semasa majlis penyampaian Anugerah WSH 2025 yang telah diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Bagi pengurus jururawat di Hospital Gleneagles, Cik Sadiah Othman, memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja menjadi keutamaan kerana ia menjamin kesejahteraan seumur hidup kakitangannya.

Dengan penuh belas ihsan dan keprihatinan untuk mendengar dengan teliti setiap masalah pekerjanya, Cik Sadiah, 40 tahun, terbuka bagi anggota pasukannya itu datang mendapatkan pandangan atau mengutarakan kesulitan yang dihadapi, walau dianggap seremeh mana pun.

Hasil dedikasinya dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pasukannya di tempat kerja terjaga dengan baik, beliau telah disampaikan dengan Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Di Tempat Kerja (WSH) Untuk Penyelia di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 24 September.

Anugerah tersebut, yang diberikan kepada 12 penyelia yang berjasa meningkatkan kesejahteraan pekerja mereka, adalah sebahagian pengiktirafan majlis Anugerah WSH 2025, yang disampaikan kepada 301 syarikat dan individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Sadiah yang sudah lima tahun bergelar pengurus jururawat, akur perlunya seorang penyelia memiliki sikap mendengar yang baik di samping peka dengan masalah pekerjanya, sebab perkara kecil boleh terkumpul menjadi besar dan menjejas kesihatan fizikal mereka dalam jangka masa panjang.

Antara perkara yang beliau pentingkan di Hospital Gleneagles termasuk melengkapi anggota pasukannya dengan latihan mengangkat peralatan berat di hospital secara selamat.

Mereka juga digalakkan menggunakan pendakap belakang secara proaktif, dengan usaha ini berjaya mengurangkan jumlah kes sakit belakang dan cuti sakit dalam kalangan anggota pasukannya, sekali gus mewujudkan tenaga kerja lebih sihat.

“Saya mempunyai hubungan peribadi yang baik dengan anggota pasukan saya dan saya cuba sedaya upaya untuk mendengar apa yang terbuku di hati mereka.

“Dengan menjadi pendengar yang baik, kita dapat memahami dan membantu mereka. Mereka tahu mereka sentiasa boleh datang kepada saya bila-bila masa untuk berbincang tentang kerisauan mereka.

“Dari situlah saya mendapat tahu tentang isu tugas mengangkat peralatan berat hingga menimbulkan sakit belakang bagi mereka, yang turut menjejas kesejahteraan mereka.

“Sakit belakang mungkin kelihatan seperti masalah kecil, tetapi sebenarnya tidak, kerana ia menjejas mutu hidup seseorang dalam jangka masa panjang.

“Hal kecil yang dialami setiap hari boleh memberi kesan besar terhadap kesihatan mereka,” jelasnya yang menyertai bidang kejururawatan pada 2006 di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) hingga 2019.

Selain itu, Cik Sadiah, yang memiliki ijazah Sarjana dalam Kejururawatan Klinikal daripada Universiti Curtin Singapore, juga mengetuai Projek Penambahbaikan Mutu yang berjaya mencapai sifar peratus bagi masalah kegatalan kulit dalam kalangan pesakit ortopedik yang menggunakan balutan pada anggota tubuh yang sakit.

Menerusi proses campur tangan rapi, pendidikan pesakit dan penjagaan jururawat yang proaktif, inisiatif yang dilaksanakan itu turut mendapat tiga pencalonan berprestij, antaranya Anugerah Mutu Klinikal (penyedia jagaan kesihatan) IHH Healthcare, Anugerah Inovasi dan Daya Penghasilan Kebangsaan (Pingat Amalan Terbaik) serta Anugerah Jurnal Perubatan Britain.

Anugerah Jurnal Perubatan Britain ini merupakan majlis penyampaian Anugerah Jagaan Kesihatan Britain, yang mengiktiraf kerja pencetus inspirasi golongan doktor dan pasukan mereka.

Dalam pada itu, Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) Encik Dinesh Vasu Dash, yang hadir sebagai tetamu terhormat, berkata dalam ucapannya:

“Pada separuh pertama 2025, Singapura mencatat 17 kematian di tempat kerja, dengan kadar kecederaan yang membawa maut secara tahunan berada pada kadar 0.92 bagi setiap 100,000 pekerja.

“Ini adalah satu petanda yang menggalakkan, dan kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran WSH2028 iaitu mengekalkan kadar di bawah 1.0.

“Prestasi mengikut sektor juga bertambah baik. Sebagai contoh, industri kerja logam dalam sektor pengeluaran, yang dahulunya merupakan antara penyumbang tertinggi kepada kecederaan serius yang membawa maut, kini telah mencatat penurunan berterusan sepanjang tiga tahun lalu.

“Peningkatan ini mencerminkan usaha gigih rakan kongsi tiga pihak – syarikat, para karyawan WSH, serta pekerja. Ia menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila pihak syarikat mengambil mempunyai daya memiliki dan membentuk budaya keselamatan yang positif.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg