Singtel memohon maaf selepas gangguan rangkaian yang menjejas anak syarikatnya, Optus, mengakibatkan tiga kematian di Australia.
Dalam kenyataan yang diterbitkan di Bursa Singapura pada 24 September, Ketua Eksekutif Kumpulan Singtel, Encik Yuen Kuan Moon, berkata syarikat telekomunikasi itu sedang bekerjasama dengan lembaga pengarah dan pihak pengurusan Optus untuk menyiasat kejadian itu secara menyeluruh dan “mengelakkan sebarang kejadian berulang pada masa depan”.
Beliau menambah Kumpulan Singtel juga “amat kesal” dengan kejadian tersebut yang berlaku ketika kerja menaik taraf rangkaian pada 18 September lalu sehingga menjejas perkhidmatan panggilan kecemasan.
“Hati kami bersama keluarga dan sahabat mereka yang terkorban, dan kami yakin Optus akan menyelesaikan perkara ini,” kata Encik Yuen.
Gangguan rangkaian itu menjejas sekitar 600 pelanggan di Australia Selatan, Australia Barat dan Wilayah Utara.
Dalam sidang media pada 19 September, Ketua Eksekutif Optus, Encik Stephen Rue, berkata tiga individu ditemui mati selepas pemeriksaan kebajikan dijalankan di beberapa rumah yang cuba membuat panggilan kecemasan melalui talian 000 – nombor yang digunakan untuk menghubungi polis, bomba atau ambulans di Australia.
Secara keseluruhan, tiga kematian dikaitkan dengan gangguan selama 13 jam itu.
Polis Australia Selatan pula berkata salah seorang mangsa ialah seorang wanita berusia 68 tahun. Dua lagi ialah lelaki berusia 74 dan 49 tahun, menurut polis di Australia Barat.
Terdahulu, terdapat laporan bahawa kematian seorang bayi lelaki berusia lapan minggu turut dikaitkan dengan gangguan tersebut.
Namun polis kemudian menyatakan kematian itu tidak mungkin mempunyai kaitan kerana panggilan kecemasan berjaya dibuat sejurus selepas kejadian.
Siasatan awal Optus mendapati terdapat proses yang tidak dipatuhi ketika kerja menaik taraf rangkaian dijalankan, kata Encik Rue pada 21 September.
Lima pelanggan telah membuat aduan melalui pusat panggilan Optus, namun aduan mereka tidak dibawa ke peringkat selanjutnya.
Menteri Komunikasi Australia, Cik Anika Wells, berkata pada 22 September, beliau akan mempertimbangkan langkah peraturan atau undang-undang baru selepas siasatan terhadap usaha menaik taraf rangkaian Optus selesai, sambil menambah bahawa beliau telah menyuarakan “kekecewaan luar biasa” kepada Encik Rue.
Pada 24 September, Optus mengumumkan pelantikan Cik Kerry Schott, p\Pengerusi Institut Pasaran Karbon dan Panel Semakan Persaingan bagi kerajaan Australia, untuk mengetuai proses semakan bebas.
Semakan itu dijangka siap menjelang akhir 2025 dengan hasilnya akan dibentangkan kepada lembaga pengarah Optus sebelum diumumkan kepada orang ramai.
Encik Yuen dijadual melawat Australia pada 29 September untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah dan menjawab soalan sama ada Kumpulan Singtel kurang membiayai Optus, lapor Australian Financial Review pada 23 September.
Dalam kenyataannya, Encik Yuen berkata Kumpulan Singtel telah melabur lebih A$9.3 bilion ($7.9 bilion) dalam Optus, syarikat telekomunikasi kedua terbesar di Australia, sepanjang lima tahun lalu.
Sebahagian besar pelaburan itu digunakan untuk membangunkan prasarana rangkaian di seluruh Australia.
Beliau turut memberi jaminan Kumpulan Singtel akan terus melabur bagi memastikan Optus “menyediakan perkhidmatan komunikasi yang boleh dipercayai kepada semua rakyat Australia”.
Menurut laporan kewangan Singtel, syarikat itu telah melabur A$850 juta dalam rangkaian mudah alih Optus bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2024.
Pada tahun kewangan berikutnya, yang berakhir pada 31 Mac 2025, ia melabur A$613 juta lagi dalam rangkaian mudah alih syarikat telekomunikasi itu.
Sebelum krisis terkini, Optus turut mengalami gangguan rangkaian telefon dan Internet di seluruh negara pada November 2023.
Gangguan itu menjejas perkhidmatan kritikal kepada pengguna, perniagaan, serta prasarana kerajaan, kesihatan awam dan keselamatan.
Akibatnya, ketua eksekutif ketika itu, Cik Kelly Bayer Rosmarin, meletakkan jawatan pada 20 November 2023.
Penguasa Komunikasi dan Media Australia (ACMA) turut mengenakan denda A$12 juta ke atas Optus pada 2024 berhubung gangguan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg