Keputusan GCE ‘A’ pada 27 Feb
Keputusan juga akan diumum dalam talian menerusi portal calon SEAB
Pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ pada 2025 akan menerima keputusan daripada sekolah masing-masing pada 2.30 petang, 27 Februari.
Pihak sekolah akan memaklumkan para pelajar mengenai aturan pengambilan keputusan, kata Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada 20 Februari.
Keputusan tersebut juga akan diumumkan secara dalam talian menerusi portal calon SEAB di seab.gov.sg dari 3.15 petang, 27 Februari hingga 11 malam, 13 Mac.
Pelajar boleh mengakses portal tersebut menggunakan akaun Singpass mereka.
Pelajar antarabangsa akan menerima nama pengguna yang dijana sistem tersebut melalui e-mel mulai 25 Februari.
Calon sekolah juga boleh melantik wakil untuk mengambil salinan fizikal keputusan mereka.
Wakil tersebut perlu mengemukakan dokumen yang berkaitan bagi tujuan pengesahan.
Mereka yang tidak dapat melantik wakil boleh menghubungi sekolah untuk mendapatkan bantuan.
Calon persendirian yang mempunyai akaun Singpass boleh mengakses keputusan melalui portal calon mulai 3.15 petang pada 27 Februari.
Manakala, calon yang tidak mempunyai akaun Singpass, boleh log masuk ke portal tersebut menggunakan akaun yang digunakan semasa pendaftaran peperiksaan.
Pelajar yang ingin memohon kemasukan ke universiti berautonomi (AU) perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui laman web universiti berkenaan.
Proses tersebut tidak memerlukan salinan fizikal sijil GCE peringkat ‘A’.
Maklumat mengenai syarat kemasukan bagi setiap AU boleh didapati di laman web setiap universiti dan pelajar digalakkan untuk menghubungi pihak universiti secara langsung sekiranya memerlukan butiran lanjut.
Pelajar yang memerlukan panduan mengenai laluan pendidikan seterusnya boleh merujuk kepada laman web CourseFinder MOE di moe.gov.sg/coursefinder, dan portal pelajar MySkillsFuture di go.gov.sg/mysfpreu.
Mereka juga boleh mendapatkan bimbingan daripada guru atau kaunselor Pendidikan dan Bimbingan Kerjaya (ECG) di sekolah masing-masing, atau membuat janji temu kaunseling di Pusat ECG @ MOE melalui laman web go.gov.sg/moe-ecg-centre.
Pusat tersebut akan menawarkan perkhidmatan kaunseling secara dalam talian atau melalui telefon mulai 23 Februari hingga 19 Mac, dari 9 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja dan dari 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu.

