Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keputusan GCE ‘N’ pada 18 Dis

Dec 11, 2025 | 5:00 PM
GCE N level, N level results, keputusan, 18 December
Keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N akan diumumkan mulai 2 petang pada 18 Disember. - Foto ST

Keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’ akan diumumkan mulai 2 petang pada 18 Disember.

Demikian dimaklumkan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (Seab) pada 11 Disember.

Calon sekolah akan menerima keputusan mereka di sekolah menengah masing-masing, yang akan memaklumkan pelajar mengenai pengaturan hari tersebut.

Pelajar yang tidak dapat hadir boleh melantik wakil untuk mengambil keputusan bagi pihak mereka. 

Mereka boleh menghubungi pihak sekolah untuk mendapatkan panduan melantik wakil, yang perlu menunjukkan dokumen berkaitan bagi tujuan pengesahan.

Calon persendirian pula boleh mendapat keputusan melalui portal calon Seab dari 2.45 petang pada 18 Disember hingga 11 malam pada 2 Januari 2026.

Pelajar yang ingin memohon kursus di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) boleh berbuat demikian melalui portal ITE antara 2.30 petang pada 18 Disember dengan 5 petang pada 22 Disember.

Mereka juga boleh memohon menggunakan borang fizikal yang boleh didapati di pusat pelanggan dan pelawat di ketiga-tiga kolej ITE.

Pelajar perlu membuat janji temu sebelum mengambil borang tersebut.

Keputusan penempatan ITE akan diumumkan pada 9 pagi pada 26 Disember melalui portalnya. 

Mereka yang menerima tawaran ke ITE perlu memberi maklum balas selewat-lewatnya 11.59 malam pada 2 Januari 2026.

Calon yang ingin memohon Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik (DPP) boleh melakukannya melalui portal ITE dalam tempoh permohonan dari 2.30 petang pada 18 Disember hingga 5 petang pada 22 Disember.

Program tersebut menyediakan laluan bagi kursus diploma politeknik terpilih selepas dua tahun mengikuti kursus Nitec Lanjutan di ITE.

Keputusan penempatan DPP akan dikeluarkan pada 9 pagi pada 26 Disember. 

Mereka yang menerima tawaran mesti memberi maklum balas antara 9 pagi dengan 11.59 malam pada 2 Januari 2026. 

Calon sekolah yang tidak mendapat tempat perlu kembali ke sekolah menengah mereka pada 2025 untuk menyambung ke Menengah 5.

Sementara itu, permohonan ke Program Asas Politeknik (PFP) akan dibuka pada Januari, pada hari keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ diumumkan. 

Program ini ditawarkan kepada pelajar Menengah 4 Normal (Akademik) yang layak. Pelajar akan menerima borang jemputan untuk memohon.

Mereka yang ingin memohon perlu melapor diri ke sekolah pada 2026 untuk memulakan Menengah 5, sementara menunggu pengesahan kelayakan atau tawaran.

Pelajar boleh mendapatkan bimbingan daripada guru, kaunselor sekolah atau membuat janji temu dengan Pusat Pendidikan dan Bimbingan Kerjaya (CECG) di MOE antara 11 dengan 26 Disember. 

Pusat itu dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja; dan 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu serta sehari sebelum cuti umum.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg