Keputusan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) telah diumumkan dan cuti sekolah sudah bermula.
Ibu bapa kini sibuk mempertimbangkan pilihan sekolah bagi anak yang akan melangkah ke peringkat seterusnya, serta bagaimana mereka akan menempuh fasa baru dalam perjalanan pendidikan dan kehidupan.
Namun, di sebalik kesibukan membuat keputusan, inilah masa yang tepat untuk berhenti sejenak dan merenung apa yang telah dimiliki.
Langkah itu bukan untuk membandingkan nasib dengan orang lain.
Ia khusus untuk memahami keputusan bukan sekadar angka pada slip peperiksaan, malah mampu membentuk hati dan perwatakan anak dengan cara lebih mendalam.
Sebagaimana kemenangan terbesar dalam sejarah Islam, iaitu pembukaan kota Makkah, disambut bukan dengan kesombongan tetapi dengan kesyukuran, tahmid dan istighfar kepada Allah swt, begitulah seharusnya kita menyambut kejayaan anak.
Jika anak cemerlang dalam pelajaran atau pencapaian lain, itu adalah nikmat yang patut dihargai, namun tidak wajar menjadi alasan untuk bersikap sombong.
Seperti yang diperintahkan Allah swt kepada Nabi saw dalam Surah An-Nasr, ketika Baginda menakluk kota Makkah, Baginda menzahirkan tasbih, tahmid dan istighfar selepas kejayaan itu.
Kita juga digalak merendahkan hati dan memohon keampunan, kerana kejayaan bukan semata-mata hasil usaha sendiri.
Ia merupakan taufik (panduan dan pertolongan) dan kemudahan yang Allah swt tetapkan.
Anak tidak berdiri di atas kejayaan itu seorang diri, begitu juga ibu bapa bukan penentu sepenuhnya atas setiap pencapaian.
Setiap kejayaan lahir daripada gabungan usaha, doa dan takdir Allah yang Maha Menentukan.
Dengan bersyukur atas nikmat yang diberikan, terserlah iman yang sebenar.
Sikap itu bukan sahaja melindungi hati mereka yang mungkin berasa terluka, malah menjaga hati daripada penyakit riyak dan ujub yang boleh merosakkan keberkatan kejayaan.
Namun, tidak semua keputusan membawa senyuman.
Ada anak yang cuba kelihatan tabah, padahal hatinya sedang bersedih.
Ada ibu bapa yang menahan sebak kerana tidak tahu bagaimana menenangkan anak yang keliru dengan arah perjalanan seterusnya.
Di saat begini, penting diingat jalan seorang Mukmin sentiasa dikelilingi kebaikan.
Rasulullah saw bersabda setiap yang berlaku kepada orang beriman adalah baik, sama ada ia nikmat atau ujian – suatu keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain.
Keputusan yang tidak seperti diharapkan bukan petanda masa depan gelap, sebaliknya ia hanyalah simpang baru yang dibuka oleh Allah swt.
Kadangkala, Allah swt menutup pintu yang didambakan supaya kita menempuh pintu yang sebenarnya lebih baik untuk kehidupan dan perkembangan diri.
Semua itu hanyalah susunan takdir Allah swt yang membawa kepada sesuatu yang lebih besar atau lebih baik.
Bagi ibu bapa, keputusan anak bukan cermin nilai diri mereka.
Bahkan ketika Rasulullah saw menghadapi kekalahan di Uhud akibat kesilapan sahabat, Allah swt memerintahkan Baginda memaafkan mereka dan bermesyuarat dalam urusan seterusnya.
Jika Nabi memaafkan kesalahan yang mengubah arah peperangan, mengapa kita tidak boleh memeluk anak ketika mereka jatuh dan menyokong perkembangan mereka dengan penuh kasih sayang?
Fasa selepas menerima keputusan sering kali lebih mencabar kerana ia menimbulkan persoalan baru: “Sekolah manakah yang patut dipilih?”
Ini terutama bagi anak yang beralih dari sekolah rendah ke menengah, atau bagi mereka yang akan memasuki pengajian tinggi dan perlu menentukan jurusan selaras minat, kemampuan dan masa depan.
Ibu bapa perlu memahami sekolah bukan sekadar institusi pendidikan, malah persekitaran yang membentuk identiti anak, serta secara perlahan mencorak tabiat dan akhlak harian mereka.
Ada sekolah yang cemerlang dari segi pencapaian akademik, namun kurang dalam pembinaan nilai, manakala ada yang memerlukan pertimbangan lebih teliti.
Pilihlah tempat yang bukan sahaja memperkukuh prestasi akademik, bahkan memelihara keimanan dan akhlak anak.
Nabi saw mengingatkan seseorang dipengaruhi agama dan akhlak rakan sekelilingnya.
Justeru, ibu bapa perlu bijak menilai pengaruh rakan dan persekitaran yang membentuk hati dan jiwa anak.
Dalam proses membuat keputusan itu, jangan lupa Allah swt sentiasa membimbing hamba-Nya.
Solat istikharah adalah cara mendekatkan diri kepada Allah swt ketika membuat pilihan, sambil menyerahkan sepenuhnya kepada Allah yang lebih mengetahui apakah yang terbaik.
Mendirikan istikharah bukan kerana ragu dengan pilihan sendiri, tetapi kerana yakin hikmah dan keberkatan terletak pada ketetapan Allah swt, sama ada hasilnya tampak baik atau sebaliknya.
Apabila seseorang beristikharah, berfikir dan membuat keputusan, beliau menyerahkan natijahnya kepada Allah yang Maha Mengetahui, mengingatkan kita betapa manusia tidak akan pernah cukup bijaksana untuk memilih tanpa bimbingan Tuhannya.
Akhirnya, keputusan peperiksaan dan proses menentukan hala tuju selepasnya bukanlah penamat, malah bukan penentu segala-galanya.
Ia hanyalah satu halaman dalam perjalanan pembesaran anak.
Dalam perjalanan panjang kehidupan, kejayaan bergantung kepada pertolongan Allah swt, kegagalan memerlukan bimbingan-Nya dan setiap saat keraguan tersandar pada rahmat-Nya.
Bagi ibu bapa, ingat nilai anak bukan sahaja diukur melalui markah dan pencapaian akademik – walaupun ia penting dan relevan – malah melalui akhlak, keimanan, kesungguhan, bakat yang melangkaui angka di atas kertas, serta kemampuan mereka bangkit selepas diuji.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg