Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keputusan GCE ‘O’: 86.9% lulus sekurang- kurangnya 5 subjek

Jan 14, 2026 | 3:00 PM
gce o level, seab
Prestasi pelajar kali ini setanding dengan prestasi calon peperiksaan GCE peringkat ‘O’ pada tahun-tahun sebelumnya, menurut kenyataan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).  - Foto ZAOBAO

Sekitar 86.9 peratus pelajar lulus sekurang-kurangnya lima mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’ pada 2025.

Daripada 22,468 pelajar yang menduduki peperiksaan itu, 19,522 pelajar lulus dengan sekurang-kurangnya lima mata pelajaran.

Seramai 21,740 atau 96.8 peratus pelajar pula lulus sekurang-kurangnya tiga subjek.

Bilangan pelajar yang lulus dengan sekurang-kurangnya satu subjek pula kekal pada 99.8 peratus.

Prestasi ini setanding dengan prestasi calon peperiksaan GCE peringkat ‘O’ pada tahun-tahun sebelumnya, menurut kenyataan bersama Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB).

Dalam satu catatan Facebook pada 14 Januari, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, mengingatkan kejayaan boleh dicapai melalui pelbagai laluan, sambil menggesa pelajar agar berbangga dengan setiap keputusan yang diraih.

“Walau apa pun keputusan anda, berbanggalah dengan usaha yang telah anda lakukan. Terdapat pelbagai laluan, dan setiap daripada anda akan menemukan jalan ke hadapan anda sendiri.

“Persahabatan yang telah anda bina, pengajaran yang telah anda pelajari dan pengalaman yang anda perolehi akan terus membimbing anda ketika melangkah ke peringkat seterusnya,” ujar beliau.

Pelajar yang ingin memohon masuk ke maktab rendah (JC), Institut Millennia (MI), politeknik, dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) boleh berbuat demikian melalui Pendaftaran Kemasukan Bersama (JAE), menggunakan keputusan GCE peringkat ‘O’ mereka.

Tempoh permohonan JAE berlangsung dari 14 Januari pada 4 petang hingga 19 Januari, 4.30 petang.

Borang A akan menyenaraikan keputusan peperiksaan serta kursus yang mereka layak mohon.

Calon sekolah dan persendirian yang layak akan menerima salinan digital Borang A3 melalui alamat emel yang telah didaftarkan mulai 2.45 petang pada 14 Januari.

Semua calon yang layak untuk JAE juga boleh memuat turun salinan Borang A dari Sistem Internet JAE (JAE-IS) sepanjang tempoh permohonan.

Pelajar digalakkan meneroka pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya yang tersedia bagi membuat keputusan untuk langkah seterusnya.

Mereka boleh merujuk kepada CourseFinder MOE (www.moe.gov.sg/coursefinder) atau Portal Pelajar MySkillsFuture (go.gov.sg/mysfsec) untuk maklumat lanjut.

Pelajar juga boleh bertemu dengan guru atau kaunselor Pendidikan dan Bimbingan Kerjaya (ECG) di sekolah menengah masing-masing mengenai langkah seterusnya.

Sebagai alternatif, mereka juga boleh membuat janji temu kaunseling ECG melalui Pusat ECG @ MOE di go.gov.sg/moe-ecg-centre.

Pusat ECG @ MOE menawarkan perkhidmatan kaunseling secara dalam talian atau telefon dari 7 hingga 21 Januari dari 9 pagi hingga 5 petang pada hari bekerja dan 9 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg