Pihak berkuasa telah menggantung program ketahanan makanan Pertahanan Mutlak hingga siasatan mengenai 20 kes keracunan makanan di Sekolah Seni Singapura (Sota) selesai.
Agensi Makanan Singapura (SFA), Kementerian Pendidikan (MOE), Agensi bagi Penjagaan Terpadu, dan penyedia penyelesaian makanan Sats, menyatakan dalam satu kenyataan bersama di Facebook pada 20 Februari bahawa siasatan mengenai punca kes gastroenteritis di Sota sedang dijalankan.
Pelajar Sota memakan makanan sedia dimakan itu semasa sesi persediaan ketahanan makanan, yang merupakan sebahagian daripada usaha menandakan Hari Pertahanan Mutlak di sekolah, lapor The Straits Times.
Menurut kenyataan itu, hingga 19 Februari, 20 pelajar Sota dilaporkan mengalami gejala gastroenteritis.
“Tiada yang dimasukkan ke hospital, dan guru telah dan akan terus memeriksa keadaan pelajar. Sebagai langkah berjaga-jaga, Sota sedang mengumpul semula makanan yang telah diedar tetapi belum dimakan.”
Kenyataan itu menambah bahawa SFA dan MOE sedang bekerjasama untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan di “tempat terlibat”, termasuk menggantikan makanan sedia dimakan yang dihasilkan dalam kumpulan yang sama dengan makanan itu.
Siasatan awal menunjukkan ia adalah insiden terpencil, kata pihak berkuasa.
Pada 19 Februari, Sota mendapat tahu bahawa beberapa pelajarnya yang memakan makanan sedia dimasak itu jatuh sakit dengan simptom keracunan makanan.
Sekitar 20 pelajar dilaporkan mengalami simptom itu.
Mereka membentuk sekitar 1 peratus daripada jumlah pelajar Sota yang memakan makanan tersebut, kata pihak berkuasa.
Pelajar yang mempunyai makanan sedia dimakan itu tetapi belum memakannya telah diminta memulangkannya, kata Naib Pengetua Sota, Cik Ann Tan, dalam satu e-mel kepada ibu bapa.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg