Sekurang-kurangnya 10 kereta mengalami kerosakan kerana tergelincir ketika memasuki parkir pusat beli-belah Funan akibat cuaca hujan pada 14 Mei.
Dalam rakaman diterbit di laman Facebook, SGRoadVigilante, kelihatan kereta tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar tembok laluan itu apabila ia perlu membelok kanan untuk memasuki kawasan parkir.
Seorang pemandu, Encik Yiping Ang, berkata kepada The Straits Times, beliau antara yang terjejas apabila memasuki tempat letak kereta itu ketika hujan lebat.
Beliau memasuki laluan masuk itu dari North Bridge Road sekitar 6.10 petang apabila beliau tiba-tiba tidak berupaya mengawal kenderaannya semasa membelok masuk ke parkir.
Menurutnya, beberapa pemandu di dalam kawasan parkir itu turut mengalami masalah yang sama.
Beliau kemudian memerhatikan sekitar 10 hingga 15 kereta lain terlanggar tembok semasa memasuki kawasan parkir.
Encik Ang berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa calar pada kenderaannya serta bahagian depan keretanya kemik.
Lampu suluh di sebelah kiri juga kelihatan retak, katanya, dan beliau merancang membuat tuntutan insurans.
Menjawab pertanyaan ST, seorang jurucakap Funan berkata pihak pengurusan menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada lewat petang 14 Mei.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kawasan terjejas dan laluan masuk dari North Bridge Road itu dikepung serta merta. Tiada kecederaan dilaporkan, katanya.
Jurucakap itu berkata: “Keselamatan dan kemaslahatan pengunjung kami adalah satu keutamaannya. Kami sedang menyiasat punca kejadian itu dan akan menawarkan bantuan kepada pemandu terjejas.
Laluan masuk parkir itu di North Bridge Road akan ditutup buat sementara dan pengunjung dinasihatkan memasuki parkir pusat beli-belah itu menerusi Hill Street, kata jurucakap itu lagi.
“Kami memohon maaf atas segala kekurangan,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg