Seorang lelaki bersenjata dilaporkan telah melarikan diri ke dalam sebuah bangunan dan menuju ke tingkat tiga.
Sebagai tindak balas, dua pegawai Pasukan Tindak Balas Lokasi Strategik (SLR) yang baru di bawah Komand Keselamatan Perlindungan (ProCom) Pasukan Polis Singapura (SPF) telah mengerahkan sebuah dron – seorang kendalikannya, manakala seorang lagi mengawal sistem kamera rakaman langsung.
Melalui rakaman udara secara langsung bagi insiden simulasi ini, mereka dapat mengenal pasti dan menjejak dengan lebih tepat lokasi lelaki bersenjata itu dengan pantas.
Para pegawai SLR ProCom adalah yang pertama dilengkapi dron serta alat mematikan dron dalam demonstrasi tersebut yang berlangsung di Ulu Pandan Road pada 22 Jun itu.
Selain itu, mereka juga menggunakan sebuah kenderaan lasak yang baru, Land Rover Defender 110, yang telah diubah suai bagi memuatkan peralatan sedemikian serta para pegawai dalam kelengkapan taktikal.
Kereta tersebut merupakan kenderaan hibrid-elektrik yang sesuai digunakan di kedua-dua permukaan jalan raya biasa dan yang tidak rata.
Dalam meningkatkan keselamatan pemanduan, ciri-ciri keselamatan seperti sistem bantuan pemandu lanjutan (Adas), sistem kamera 360 darjah, beg udara pelbagai lapisan dan sistem pemantauan tekanan tayar turut dipasang pada kenderaan itu.
Semasa satu sesi temu media di Pangkalan ProCom di Ulu Pandan Road, Komander ProCom, Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Victor Ho, berkongsi bahawa pengenalan SLR adalah sebahagian daripada usaha lebih luas SPF untuk memperkukuh keupayaan barisan hadapannya.
“Pegawai kami akan meronda di lokasi-lokasi utama, termasuk pusat membeli-belah dan tempat pelancongan, untuk mencegah dan bertindak balas terhadap sebarang ancaman keselamatan.
“Dan menggunakan teknologi canggih seperti dron dan sistem anti dron, kami berusaha memberikan tindak balas yang lebih berkesan terhadap pelbagai ancaman keselamatan,” ujar AC Ho.
Pegawai SLR menerima latihan taktikal dan dilengkapi dengan senjata, ketika mereka meronda di lokasi strategik.
Lokasi tersebut termasuk infrastruktur penting, tarikan pelancong dan kawasan awam lain yang mempunyai aliran orang ramai yang tinggi.
Selain memakai jaket kalis peluru dan topi keledar, mereka turut membawa senapang mesin ringan.
Pegawai Bertanggungjawab (OC) Pasukan, Penolong Superintenden Polis (ASP) Jaslyn Lee, berkata:
“Kenderaan baru kami menawarkan ruang kabin yang lebih luas untuk memuatkan peralatan operasi serta pegawai dalam kelengkapan taktikal.
“Ketinggian kenderaan ini membolehkan kami melepasi halangan dan bertindak balas dengan pantas terhadap pelbagai insiden keselamatan,” ujar beliau.
SPF menyatakan pihaknya bekerjasama dengan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) untuk melengkapkan pegawai SLR dengan alat mematikan dron yang “membolehkan mereka mengganggu … operasi dron tanpa kebenaran”.
Alat mematikan dron berbentuk senapang itu mengganggu komunikasi antara dron dengan individu yang mengawalnya, sekali gus menghalang dron daripada menerima arahan.
ProCom merupakan unit pakar yang ditubuhkan SPF pada 2016 untuk melindungi lokasi sensitif keselamatan dan menyediakan perlindungan keselamatan di acara-acara penting negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg