Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kereta pandu sendiri ComfortDelGro langgar pembahagi jalan di Punggol; tiada kecederaan dilapor

Jan 18, 2026 | 12:26 PM
Sebuah kereta pandu sendiri kendalian ComfortDelGro (CDG) yang sedang menjalani proses pemetaan rutin dan pengenalan laluan telah terlibat dalam satu insiden di Edgedale Plains, Punggol, pada sekitar 3.10 petang pada 17 Januari.
Sebuah kereta pandu sendiri kendalian ComfortDelGro (CDG) yang sedang menjalani proses pemetaan rutin dan pengenalan laluan telah terlibat dalam satu insiden di Edgedale Plains, Punggol, pada sekitar 3.10 petang pada 17 Januari. - Foto ZAOBAO

Sebuah kenderaan pandu sendiri (AV) yang dikendalikan ComfortDelGro (CDG) terlibat telah melanggar pembahagi jalan semasa menjalani ujian jalan raya di Punggol pada 17 Januari.

Dalam satu kenyataan, CDG berkata salah satu AV miliknya yang sedang menjalani proses pemetaan rutin dan pengenalan laluan telah terlibat dalam satu insiden di Edgedale Plains pada sekitar 3.10 petang pada 17 Januari.

Kenderaan berkenaan mengesan satu objek kecil di atas jalan dan membuat tindakan sewajarnya, sebelum pengendali keselamatan yang berada di dalam kenderaan mengambil alih kawalan stereng secara manual, kata pengendali pengangkutan itu.

“Malangnya, kenderaan itu terlanggar pembahagi jalan semasa kawalan diambil alih secara manual,” kata CDG. 

Semasa kejadian tersebut, tiada penumpang berada di dalam kenderaan dan tiada kecederaan dilaporkan.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata pihaknya telah dimaklumkan oleh CDG mengenai kejadian berkenaan.

LTA turut menambah bahawa kenderaan itu telah mula menjalani ujian jalan raya pada 15 Disember 2025, dengan kehadiran seorang pengendali keselamatan dan tanpa penumpang.

Ujian itu bertujuan menyelaraskan sensor kenderaan mengikut keadaan operasi tempatan.

“Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, CDG akan melaksanakan tempoh rehat keselamatan,” kata LTA, sambil menambah bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan CDG untuk meneliti kejadian itu secara menyeluruh.

CDG memaklumkan bahawa kenderaannya akan menjalani tempoh rehat keselamatan sementara pihaknya meneliti perkara tersebut.

Langkah ini selaras dengan protokol piawai dan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.

CDG mengendalikan salah satu daripada tiga laluan AV yang sedang dibangunkan di Punggol dengan kerjasama syarikat pemanduan sendiri asal China, Pony.ai.

Dua lagi laluan dikendalikan oleh Grab dengan kerjasama syarikat kenderaan pandu sendiri China, WeRide.

Sejak 12 Januari, sebilangan penduduk di Punggol dijemput untuk mencuba salah satu laluan yang dikendalikan Grab, sebelum perkhidmatan itu dilancarkan bagi perkhidmatan penumpang dalam dua hingga tiga bulan akan datang.

Perkhidmatan percuma pada hari bekerja ini menghubungkan bahagian barat dan timur kawasan kejiranan itu sepanjang laluan sejauh 10 kilometer.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg