Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

ComfortDelgro, Pony.ai boleh uji kenderaan tanpa pemandu di Punggol

Lampu hijau diberi jelang pelancaran khidmat kenderaan autonomi (AV) di Punggol pada 2026
Dec 11, 2025 | 4:05 PM
Apabila ujian jalan raya bermula, ComfortDelGro akan mengendalikan lima kenderaan autonomi (AV) tujuh penumpang di Punggol.
Apabila ujian jalan raya bermula, ComfortDelGro akan mengendalikan lima kenderaan autonomi (AV) tujuh penumpang di Punggol. - Foto COMFORTDELGRO

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura telah memberi lampu hijau kepada ComfortDelGro dan rakan kenderaan autonomi (AV) mereka, Pony.ai, untuk memulakan ujian shuttle AV di kawasan perumahan Punggol.

Pusat Kecemerlangan bagi Ujian dan Kajian Kenderaan Autonomi (Cetran) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) turut meluluskan kelima-lima kenderaan yang akan digunakan, menurut CDG kepada The Business Times (BT) pada Rabu, 10 Disember.

Cetran, yang ditubuhkan pada 2017 oleh NTU, LTA, dan Perbadanan Bandar Jurong (JTC), memainkan peranan penting dalam menetapkan piawaian ujian bagi pelaksanaan AV di Singapura.

Ketua pegawai eksekutif kumpulan CDG, Encik Cheng Siak Kian, menyifatkan kelulusan Milestone 1 Cetran sebagai bukti “kesungguhan syarikat terhadap pembaharuan, keselamatan dan kecemerlangan operasi”.

“Pencapaian ini memenuhi piawaian ketat bagi sistem AV, membolehkan kami memperkenalkan sistem pengangkutan pintar di Singapura dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Kelulusan ini diberikan selepas pengawal selia turut membenarkan Grab dan WeRide menguji kenderaan AV mereka di Punggol bulan lalu.

Singapura bercadang melancarkan perkhidmatan AV komersial tahun depan, bermula dengan kawasan terpilih.

Punggol di timur laut itu, akan menjadi kawasan perumahan pertama yang menikmati perkhidmatan ini.

CDG dijangka akan mengendalikan lima kenderaan autonomi tujuh penumpang apabila ujian jalan raya bermula pada suku pertama 2026.

Sementara itu, pesaingnya, Grab, memiliki 10 kenderaan lima penumpang dan sebuah Robobus lapan penumpang.

Ujian di Punggol merupakan langkah penting bagi permulaan operasi AV.

Ia akan membolehkan CDG dan Pony.ai menyempurnakan perisian mereka dengan mengumpul data seperti infrastruktur jalan raya, corak cuaca, serta tingkah laku pengguna jalan dan pejalan kaki.

Data ini amat penting kerana sistem kecerdasan buatan (AI) AV bergantung kepada maklumat tersebut untuk membuat keputusan masa nyata.

Sebelum ini, pada Mac lalu, CDG dan Pony.ai memulakan ujian terkawal di Guangzhou, China, untuk membangunkan keupayaan armada AV.

Kelulusan untuk ujian di Punggol menandakan langkah strategik dalam aspirasi AV CDG. Ia membolehkan syarikat itu mengamalkan keupayaan yang dibangunkan di Guangzhou dalam pasaran lain.

CDG juga baru-baru ini memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pemain AV China, Hello Robotaxi, untuk bekerjasama dalam pelaksanaan robotaxi berskala besar-besaran di China dan negara lain.

Syarikat itu kini mengendalikan lebih 42,200 teksi di China, United Kingdom, Australia dan Singapura, dan merupakan pengendali teksi terbesar di Australia dan Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg