Berbekal pena dan kamera dalam genggaman, Ahmad Karbani, dengan bersungguh-sungguh akan menjelajah dari satu ke satu tempat di Singapura.
Namun, lebih daripada setakat bersuka-suka sahaja, pelukis yang waktu itu berusia 20-an tahun, akan merakam perubahan landskap, baik deretan rumah kedai lama di Geylang mahupun bangunan pencakar langit yang mencorak Kota Singa moden ini dalam buku lakarannya.
Kini pada usia 78 tahun, pesara itu tidak lagi mampu melangkah sejauh dahulu.
Bagaimanapun, bapa tiga anak dan datuk 12 cucu itu tidak membenarkan semangat seninya dimamah usia, sebaliknya, aktif merakam perkembangan kawasan kejiranannya sendiri, Bukit Gombak, yang telah menjadi kediamannya selama 15 tahun.
Berkat usaha gigihnya terus berseni, karya beliau kini bakal dipamerkan di Pameran Seni Masyarakat SG60, yang berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60), pada acara Colours of Home @ Little Guilin, antara 9.30 pagi dengan 11 pagi di tasik ikonik Bukit Gombak, Little Guilin.
Pameran itu awalnya dilancarkan pada 6 Ogos di kolong Blok 377A, Bukit Batok Street 31.
Ahmad merupakan antara enam penduduk Bukit Gombak, yang kerja seninya dipaparkan dalam pameran itu.
Sebagaimana jelasnya: “Dulu saya suka jalan-jalan sekeliling Singapura untuk cari ilham. Sekarang, saya tak perlu pergi jauh. Di kawasan ini pun banyak keindahan.”
Dengan deria seni yang masih tajam, beliau terus merakam kehidupan penduduk Bukit Gombak menerusi lukisannya, daripada menggambarkan ketenangan tasik Little Guilin pada waktu pagi hingga hiruk-pikuk pasar kejiranan di situ, yang menjadi tumpuan ramai termasuk dalam kalangan penduduk di kejiranan lain seperti Choa Chu Kang.
Sebagai peserta tertua dalam pameran tersebut, Ahmad membawa takrifan unik, bukan sahaja sebagai pelukis, bahkan juga sebagai saksi kepada sejarah negara sejak zaman prakemerdekaan.
Beliau mula berkarya sejak berusia lapan tahun dan pernah menjadi pelukis jalanan ketika muda, sambil bekerja sebagai guru bahasa dan kemudian pemandu.
Setelah bersara pada 2008, Ahmad mula memberi tumpuan sepenuhnya kepada seni, pernah menjadi guru seni peribadi untuk kanak-kanak, sebelum akhirnya membuka balai seni peribadinya, AK Gallery, di Toh Guan Road East, yang kini berusia 12 tahun.
Beliau lazimnya mengambil gambar pemandangan, sebelum membawanya pulang ke rumah untuk melukisnya semula dengan teliti.
“Allah dah beri saya kelebihan dan kudrat ini, maka saya anggap ia amanah untuk saya teruskan. Selagi boleh, saya akan terus melukis.
“Seni ini membantu saya mengingati. Walau Singapura banyak berubah, saya harap kita tak lupa hargai perkara kecil – tempat dan wajah-wajah yang membentuk kehidupan harian kita,” katanya lagi.
Pameran itu adalah sebahagian daripada sambutan SG60 Bukit Gombak yang lebih meluas.
Antara yang diketengahkan dalam sambutan itu adalah ciptaan lagu patriotik oleh penduduk, paparan bendera kebangsaan di kawasan perumahan, permainan kad bertemakan Singapura serta pelbagai persembahan berunsur kemasyarakatan.
Ia menonjolkan suara rakyat biasa – daripada warga emas hingga belia – dalam melahirkan rasa cinta terhadap Singapura melalui luahan rasa kreatif.
Daya usaha itu turut mendapat sokongan dan perhatian Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling.
Cik Low, yang juga Anggota Parlimen (AP) Bukit Gombak, menyifatkan karya-karya itu sebagai ungkapan kasih yang menyatukan masyarakat dan mencerminkan ikatan mendalam penduduk sebagai sebuah keluarga besar Bukit Gombak.
Kerja seni Ahmad pula bukan sekadar visual yang indah.
Ia mencerminkan perjalanan peribadi dan kolektif bagi menghidupkan kenangan, mencetus rasa syukur dan merakam semangat kebersamaan.
Ketika Singapura menelusuri usia 60 tahun, karya seperti itu menjadi peringatan bahawa keindahan Singapura bukan hanya terletak pada bangunan ikonik atau projek mega, bahkan juga pada detik-detik harian yang tenang dan bermakna.
“
Allah dah beri saya kelebihan dan kudrat ini, maka saya anggap ia amanah untuk saya teruskan. Selagi boleh, saya akan terus melukis. Seni ini membantu saya mengingati. Walau Singapura banyak berubah, saya harap kita tak lupa hargai perkara kecil – tempat dan wajah-wajah yang membentuk kehidupan harian kita.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg