Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seni luahan rasa belia keperluan khas

Aug 7, 2025 | 7:10 PM
muhammad ridhwan masli, sg60, bukit gombak, lukisan, pameran
Muhammad Ridhwan Masli, bersama salah satu hasil lukisannya yang akan dipamerkan di Pameran Seni Masyarakat SG60 di Tasik Guilin, Bukit Gombak pada 10 Ogos, sempena ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura. - Foto PEJABAT KEJIRANAN BUKIT GOMBAK

Dilahirkan dengan Sindrom Pfeiffer, satu keadaan melibatkan baka yang jarang berlaku dan menjejas bentuk kepala dan muka seseorang individu, Muhammad Ridhwan Masli, 19 tahun, turut membesar dengan pertuturan yang terbatas.

Namun, kekurangan itu langsung tidak menghalangnya daripada menyuarakan isi hatinya yang paling dalam melalui kerja seni.

Pelajar lulusan agensi khidmat sosial buat golongan kurang upaya, Pusat Rainbow, yang juga penduduk kejiranan Bukit Gombak itu telah lama menjadikan seni sebagai saluran meluah rasa.

Lukisannya sering menggambarkan haiwan, bentuk abstrak dan pemandangan yang lahir daripada imaginasinya.

Semuanya tercetus daripada minat dan emosi yang mendalam.

Setiap palitan warna mencerminkan dunia batin yang sukar diluahkan dengan kata-kata.

“Ridhwan mungkin tak banyak bercakap, tapi seninya berkata-kata,” ujar ibunya, Cik Juliana Mohamad, 45 tahun, yang bangga dengan pencapaian anaknya itu.

Karya Ridhwan, anak sulung tiga beradik itu, turut ditempah dari masa ke masa oleh pencinta seni di sini.

Namun, 2025 sangat istimewa kerana salah satu lukisannya terpilih untuk dipamerkan dalam Pameran Seni Masyarakat SG60 di Tasik Guilin, Bukit Gombak pada 10 Ogos, seiringan dengan karya penduduk lain daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelukis mapan.

Perkara yang paling menyentuh hati ialah apabila Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, turut melawat kediaman keluarga Ridhwan dan meninjau sendiri hasil seninya.

Beliau bahkan memuji semangat dan kreativiti Ridhwan dan menyifatkan karya penduduk Bukit Gombak itu sebagai “ungkapan kasih yang menyatukan masyarakat”.

Pameran ini bukan sekadar ruang seni. Ia menjadi wadah untuk menonjolkan suara warga berkeperluan khas seperti Encik Ridhwan, dengan pesanan bahawa meskipun berbeza caranya, setiap insan mampu menyumbang dan memberi inspirasi kepada masyarakat sekeliling.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg