Kerja-kerja meluaskan depoh LRT Sengkang-Punggol (SPLRT) di Sengkang East kini mengikut jadual dan bakal siap menjelang 2027.
Apabila siap kelak, projek peluasan ini, yang bermula sejak 2022, akan meningkatkan keluasan depoh tersebut kepada 11.1 hektar – atau seluas sekitar 15 padang bola – berbanding keluasan semasa iaitu 3.5 hektar.
Dalam satu kenyataan bersama Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SBS Transit pada 15 Julai, projek peluasan ini penting untuk memudahkan operasi dan penyelenggaraan kereta api dua gerabak baru yang lebih besar.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan perasmian hari pertama operasi kereta api dua gerabak baru sedemikian di Stesen LRT Punggol pada 15 Julai.
Ia dihadiri tetamu terhormat, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol.
Turut hadir ialah AP GRC Punggol lain iaitu Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling; Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, dan Cik Yeo Wan Ling.
Menurut LTA dan SBS Transit, menjelang akhir 2028, rangkaian SPLRT akan merangkumi 33 kereta api dua gerabak.
“Penambahbaikan ini akan meningkatkan kapasiti dan kebolehpercayaan keseluruhan SPLRT, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027.
“Bagi memudahkan kerja-kerja peluasan depoh ini, perkhidmatan (LRT) perlu diubah suai di beberapa kawasan sepanjang SPLRT. Maklumat lanjut tentang penyesuaian tersebut akan diumumkan pada masa akan datang,” menurut kenyataan itu.
Demi memudahkan operasi penyelenggaraan kereta api, depoh yang diperluas itu akan mempunyai dua trek yang baru bagi mengurangkan masa melancarkan kereta api ke landasan.
Ini di samping pemasangan tiga pencawang elektrik tambahan yang dapat memenuhi keperluan tenaga kereta api dua gerabak yang baru.
Menurut LTA dalam satu kenyataan pada Februari 2022, kontrak mereka bentuk dan menjalankan peluasan depoh tersebut dianugerahkan kepada syarikat kejuruteraan pembinaan Sato Kogyo (S) Pte. Ltd. dengan nilai kontrak sekitar $157 juta.
Sementara itu, LTA dan SBS Transit menyatakan kumpulan kereta api SPLRT generasi pertama – terdiri daripada lapan kereta api dua gerabak dan 25 kereta api satu gerabak – akan henti beroperasi secara bertahap selepas digantikan dengan kereta api dua gerabak generasi ketiga yang baru.
Ia menambah kereta api generasi pertama yang sudah henti beroperasi akan diguna semula, sama ada dalam bentuk gerabak keseluruhan atau bahagian-bahagian tertentu gerabak.
LTA berkata ia sebelum ini pernah bekerjasama dengan pelbagai organisasi termasuk City Developments Limited, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur dan SG Enable, untuk mengitar semula kereta api dan alat ganti kereta api yang telah berhenti operasi.
Sebagai contoh, sekurang-kurangnya 1,500 tempat duduk kereta api SMRT yang telah berhenti operasi diguna semula sebagai tempat duduk awam di kolong blok perumahan awam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg