Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja sukarelawan bulatkan tekad jadi doktor 

Aug 14, 2025 | 3:47 PM
Singapura, doktor, Aufal Aufiya Indra Gunawan, NTU
Penuntut Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Aufal Aufiya Indra Gunawan, tertarik dengan tanggungjawab seorang doktor dalam memimpin pelan rawatan yang menyeluruh dan membuat keputusan penting demi kebaikan pesakit. - Foto BH oleh KHALID BABA

Sebelum memulakan pengajian di sekolah perubatan, Encik Aufal Aufiya Indra Gunawan, 19 tahun, sudah pun menabur bakti kepada masyarakat melalui pelbagai cara.

Beliau membantu dalam persiapan makanan di dapur amal Willing Hearts untuk golongan memerlukan, menjadi sukarelawan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan membimbing murid sekolah rendah di Touch Community Services dalam kemahiran membaca dan mengira.

Bagi Encik Aufal, setiap peluang ini membentuk sudut pandangannya terhadap penjagaan kesihatan.

Beliau percaya menjadi doktor bukan sekadar merawat penyakit, tetapi juga membimbing dan memperkasa pesakit dalam perjalanan rawatan mereka.

“Ia tentang membina hubungan berasaskan kepercayaan dan kefahaman, mendengar kisah mereka, memahami cabaran yang mereka hadapi dan meyakinkan mereka bahawa saya adalah seseorang yang boleh mereka harapkan untuk mendapatkan sokongan,” katanya.

Encik Aufal ditemui Berita Harian semasa Majlis Kot Putih Sekolah Perubatan Lee Kong Chian (LKCMedicine) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 13 Ogos.

Majlis itu menandakan detik permulaan pengajian penuntut perubatan baru di universiti tersebut.

Beliau merupakan salah seorang daripada 190 penuntut baru dalam jurusan perubatan di NTU untuk kohort kali ini.

Menurut Encik Aufal, rasa empati itu terserlah dalam pengalamannya di KKH, ketika beliau menjaga seorang kanak-kanak yang terpaksa tinggal di hospital lebih lama daripada dijangka dan jarang menerima kunjungan.

Pesakit muda itu penuh bertenaga tetapi kurang bercakap, sering berlari di wad mencari hiburan.

“Jururawat sangat sibuk, jadi kadang-kadang beliau hanya bermain sendirian. Saya cuba luangkan masa dengannya, walaupun sekejap. Dari situ, saya sedar bahawa perhatian ikhlas, walau sesaat, boleh memberi makna besar kepada seseorang,” kata Encik Aufal, sambil menambah bahawa pengalaman itu mengajarnya nilai kesabaran, empati yang mendalam dan pentingnya memahami keperluan emosi pesakit.

Pengalaman inilah yang mengukuhkan prinsipnya bahawa sentuhan kemanusiaan adalah sama pentingnya dengan rawatan perubatan.

Ia juga diperkukuh melalui job shadowing, atau pengamatan kerja, yang mana beliau mengikuti kerja doktor, jururawat, ahli fisioterapi dan ahli terapi pertuturan.

Walaupun semua peranan ini bermakna, Encik Aufal paling tertarik dengan tanggungjawab doktor dalam memimpin pelan rawatan yang menyeluruh dan membuat keputusan penting demi kebaikan pesakit.

Beliau tertarik kepada pendekatan pembelajaran berasaskan pasukan yang menekankan pembelajaran kolaboratif, selaras dengan gaya belajar yang beliau gemari.

Sekolah itu turut menekankan aspek seni kemanusiaan perubatan yang benar-benar meninggalkan kesan mendalam pada dirinya.

“Bagi saya, falsafah penting yang saya pegang dalam hidup adalah kita bukan sekadar merawat penyakit, tetapi merawat insan di sebaliknya,” katanya.


Encik Aufal Aufiya Indra Gunawan, 19 tahun, bersama ibunya, Cik Yudith Fabiola, 47 tahun, di Majlis Kot Putih LKCMedicine, menandakan permulaan perjalanan anak muda itu sebagai doktor masa depan.
Encik Aufal Aufiya Indra Gunawan, 19 tahun, bersama ibunya, Cik Yudith Fabiola, 47 tahun, di Majlis Kot Putih LKCMedicine, menandakan permulaan perjalanan anak muda itu sebagai doktor masa depan. - Foto BH oleh KHALID BABA

Anak bongsu dalam keluarga dua beradik ini menjadikan bapanya yang bekerja di luar negara demi keselesaan keluarga sebagai sumber inspirasi.

Walaupun belum menetapkan bidang khusus, beliau berminat dalam bidang onkologi kerana hubungan jangka panjang yang terjalin antara doktor dan pesakit.

“Matlamat saya mudah,” katanya.

“Saya mahu menemani pesakit dalam perjalanan rawatan mereka dengan empati, rasa hormat dan keikhlasan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg