Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Hong Kong kerjasama kongsi maklumat, kawal selia produk tembakau, peranti vape

HSA: MOU rangkumi kerjasama teknikal, pertukaran maklumat bersama antara kededua negara
Aug 13, 2025 | 6:37 PM
vape, MOU S’pura-Hong Kong, HSA
Tong buang ‘vape’ – ‘Bin the Vape’ – dipasang di beberapa kelab masyarakat tempatan untuk menggalak orang ramai agar melupuskan peranti ‘vape’ mereka. - Foto fail

Satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang akan memudahkan perkongsian maklumat kawal selia dan pendekatan penguatkuasaan terhadap produk tembakau dan peranti rokok elektronik atau vape telah ditandatangani antara Singapura dengan Hong Kong pada 13 Ogos.

Perjanjian antara Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dengan Jabatan Kesihatan (DoH) Hong Kong akan menyaksikan dua pihak berkuasa itu bekerjasama dalam bidang pengawalseliaan penjagaan kesihatan berkaitan produk kesihatan.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan HSA pada 13 Ogos.

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Menteri Kesihatan merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung, dan Setiausaha Kesihatan Hong Kong, Profesor Lo Chung-mau.

MOU itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HSA, Profesor Adjung (Dr) Raymond Chua, dan Pengarah Kesihatan DoH Hong Kong, Dr Ronald Lam, di Bangunan Kolej Perubatan Kementerian Kesihatan pada 13 Ogos.

Mengulas mengenai kepentingan MOU itu, Dr Chua berkata perkongsian itu menandakan “langkah ke hadapan yang penting dalam kerjasama kawal selia antara Singapura dengan Hong Kong”.

“Dengan menggabungkan kepakaran kita dan berkongsi amalan terbaik, kita boleh menangani cabaran yang muncul dengan lebih baik dalam peraturan penjagaan kesihatan, memanfaatkan peluang dan mengukuhkan perlindungan kesihatan awam di kedua-dua negara,” kata Dr Chua.

Menurut HSA, MOU itu merangkumi kerjasama teknikal dan pertukaran maklumat bersama antara kedua-dua negara.

Ia turut membolehkan Singapura dan Hong Kong berkongsi amalan terbaik dan kepakaran berkaitan hal kawal selia penjagaan kesihatan merentasi spektrum luas produk kesihatan termasuk farmaseutikal, peranti perubatan, produk terapi lanjutan dan ubat tradisional.

MOU itu juga akan membolehkan pertukaran pakar dan kakitangan kawal selia, penyertaan dalam mesyuarat dan persidangan saintifik, serta kerjasama dalam kursus latihan dan projek bersama antara kedua-dua negara.

“MOU ini menandakan satu peristiwa penting dalam mengukuhkan hubungan antara dua pihak berkuasa kawal selia.

“Kerjasama ini menggariskan komitmen bersama Singapura dan Hong Kong untuk memastikan keselamatan, mutu serta keberkesanan produk kesihatan dan untuk memajukan kecemerlangan kawal selia dalam bidang kuasa kita,” kata HSA.

Menggunakan rokok elektronik atau vape dilarang di Singapura.

Pemilikan, penggunaan serta pembelian vape dan produk berkaitannya telah diharamkan di Singapura sejak Februari 2018.

Antara Januari 2024 dengan Mac 2025, hampir 18,000 individu di Singapura telah ditangkap kerana memiliki dan menggunakan vape selepas pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan.

Sejak 21 Julai, HSA telah mempertingkat saluran aduan awamnya berhubung kesalahan berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang pengiklanan, import, pengedaran, penjualan atau pemilikan vape secara terlarang boleh menghubungi HSA menerusi www.go.gov.sg/reportvape atau menerusi talian 6684-2036 atau 6684-2037 (beroperasi setiap hari dari 9 pagi hingga 9 malam).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg