Beliau hanya diberi pelepasan sejam dari penjara untuk menatap jenazah ibunya di rumah buat kali terakhir.
Saat melihat tubuh kaku ibunya di ruang tamu, Encik Muhammad Nizam Dardiri tidak mampu menahan tangisan.
“Tak kira sekuat mana pun seseorang, bila lihat jenazah ibu sendiri, pasti akan menangis,” ujar Encik Nizam ketika mengenang peristiwa sedih itu yang sentiasa terpahat dalam ingatannya.
Tidak ingin lagi membuang masa dalam kancah dadah dan mengulangi kesilapan silam, Encik Nizam, 46 tahun, bertekad untuk berubah dan berada di sisi ayahnya yang kini sakit.
Anak sulung dua beradik itu diberi pulang kedua untuk memperbaiki hidupnya apabila beliau dapat pekerjaan sebagai tukang masak di The People’s Nasi Padang, kedai nasi padang di Tai Seng.
Kerja keras dan dedikasi Encik Nizam membuahkan hasil apabila beliau dipilih pengasas The People’s Nasi Padang, Encik Ismail Didih Ibrahim, untuk menyertai program baru syarikat itu.
Sebagai sebahagian daripada program itu, Encik Nizam kini menguruskan kedai The People’s Nasi Padang kedua yang baru dibuka di Pusat Makan Old Airport Road pada Januari 2025.
Menurut Encik Didih, kedai itu akan menjadi milik Encik Nizam jika beliau berjaya menguruskannya selama tiga tahun dan meningkatkan jualan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat peluang ini. Didih banyak membimbing saya, beliau juga mengajar saya bagaimana untuk mengetepikan ego saya dan rendahkan hati,” kata Encik Nizam, seorang duda yang baru-baru ini bercerai dengan isterinya.
Berkongsi bagaimana beliau mengenali Encik Didih selepas dibebas dari penjara, Encik Nizam berkata rakannya memperkenalkannya kepada program kendalian Thye Hua Kwan Moral Charities (THKMC) yang dipanggil Brotherhood.
Dari situ, Encik Nizam mengenali Encik Didih, yang juga seorang anggota Brotherhood.
Program Brotherhood bermatlamat menjadi kumpulan sokongan bagi kaum Adam dan menawarkan bimbingan kepada mereka yang pernah melakukan keganasan dalam keluarga.
Pada masa itu, Encik Nizam bertugas di syarikat penghantaran tetapi Encik Didih menyedari potensinya dan menawarkannya pekerjaan tukang masak di The People’s Nasi Padang.
Walaupun Encik Nizam tidak mempunyai rumah sendiri dan kini menumpang sementara di stor kedai The People’s Nasi Padang di Tai Seng, beliau tidak merungut.
Baginya, pekerjaannya itu permulaan kepada kehidupan baru yang lebih bermakna.
“Dengan pekerjaan ini, saya rasa seolah-olah dilahirkan semula dalam dunia. Ini peluang kedua saya untuk membina kehidupan yang baik, saya tidak akan mensia-siakannya,” kongsi Encik Nizam.
Walaupun adik perempuan Encik Nizam, yang tinggal bersama ayah mereka, mahunya tinggal bersama, beliau enggan kerana tidak mahu menjadi beban kepada keluarganya.
“Saya bersyukur mereka mahu bantu saya tetapi saya ingin berdikari. Ayah dan adik saya gembira melihat saya berusaha untuk berubah, dan itu dah cukup bagi saya,” tambahnya.
Memberi butiran lanjut tentang program yang disertai Encik Nizam, Encik Didih berkata ia bertujuan membantu bekas banduan memiliki perniagaan sendiri.
Encik Didih menjangka untuk menawarkan peluang sama kepada pekerja-pekerja lain pada masa depan.
“Pada tahun pertama, peserta dilatih untuk menguruskan kedai The People’s Nasi Padang.
“Pada tahun kedua dan ketiga, sebahagian daripada keuntungan diketepikan untuk membolehkan mereka membeli kedai itu,” jelasnya.
Walaupun pada mulanya beliau gementar untuk menguruskan kedai di Old Airport Road itu, Encik Nizam menjadi biasa dengan tugasnya, yang memerlukannya masak antara 22 dengan 24 hidangan dalam satu hari.
Encik Nizam tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri kerana beliau berpengalaman bertugas sebagai tukang masak di sebuah restoran Italy, dan juga pernah menolong mengendali kedai nasi padang milik arwah ibunya di Ang Mo Kio sedikit masa dahulu.
“Arwah ibu dan saya ibarat kuku dengan isi… saya kesal kerana tidak dapat tunjukkan kepada arwah ibu apa yang telah saya capai sekarang.
“Semasa saya masih bekerja di syarikat penghantaran sebelum ini, saya selalu memandu van syarikat untuk ziarahi kubur arwah ibu.
“Saya rasa tenang apabila bercakap dengannya... saya berkongsi dengannya masalah dan kisah hidup saya,” singkap Encik Nizam dalam nada sedih.
Kini, impian Encik Nizam ialah untuk mempunyai perniagaan sendiri, membeli rumah, dan mempunyai kenderaan bagi memudahkannya menziarahi kubur arwah ibunya.
“Apa yang saya buat sekarang, semuanya untuk arwah ibu dan ayah saya. Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini,” katanya dengan penuh tekad.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg