Sebelum membina rumah tangga keduanya, Encik Ismail Didih Ibrahim, yang pada 2022 dikenakan hukuman penjara kerana melontar molotov ke rumah bekas isterinya, memutuskan untuk mendapatkan bantuan kaunseling sebagai langkah untuk lebih memahami diri serta bakal isterinya dengan lebih mendalam.
Menurut usahawan berusia 39 tahun itu, beliau terpaksa membuang egonya kerana bertekad membina hubungan yang saling memahami dan mesra bersama bakal isteri berbangsa Thai itu.
Namun ini juga kerana beliau sedar dirinya yang mudah baran tetapi berazam elak daripada mengulangi kesilapan lamanya.
“Saya telah terjatuh ke tahap yang sangat rendah,” kata anak sulung dari keluarga yang mengendalikan jenama nasi padang popular di sini, Hajah Maimunah.
“Jadi saya tak lagi berasa diri saya rugi atau pun malu sebab bantuan itu sudah tersedia buat kami, dan saya juga perlu berani mengaku bahawa saya perlukan bantuan.”
Kini, Encik Ismail bergelar seorang suami, seorang ayah dan seorang yang telah berubah.
Selepas dibebaskan dari penjara, Encik Ismail juga membangunkan perniagaannya tersendiri dipanggil People’s Nasi Padang yang terletak di 61 Tai Seng Ave.
Antara matlamat perniagaannya ialah sebagai wadah kepada bekas pesalah meraih kemahiran mengendalikan cawangan makanan dan minuman (F&B) serta pengalaman menguruskan perniagaan sendiri.
“Ketika saya berada dalam penjara, saya didedahkan kepada kisah dan cabaran para banduan yang lebih buruk daripada saya.”
“Ramai daripada mereka dibesarkan dalam lingkungan kurang baik, malah ada yang sendiri mangsa penderaan, mempunyai orang tua yang telah dipenjara atau menjadi anggota kongsi gelap hingga ia menjadi satu isu turun-temurun.
“Jadi saya mahu menawarkan peluang kedua selepas mereka keluar dari penjara agar dapat pelajari kemahiran baru dan mendapatkan gaji secara sah dari sisi undang-undang dan secara halal.”
Antara bekas pesalah yang beliau gajikan untuk menguruskan gerainya itu juga datang daripada program Brotherhood kendalian Thye Hua Kwan Moral Charities (THKMC) yang bermatlamat menjadi kumpulan sokongan bagi lelaki yang telah melakukan perbuatan ganas ke atas orang tersayang.
Encik Ismail diberi saranan menyertai program itu sejak 2021 bagi mendapat sokongan atas masalah emosinya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai perasaannya terhadap rumah tangga lamanya, Encik Ismail berkata walaupun beliau kerap bertengkar dengan bekas isterinya, beliau tidak pernah “menyentuhnya”.
“Namun saat-saat kami hendak berpisah, kemarahan saya semakin teruk dan tidak dirawat hingga pada satu hari itu, saya naik angin sewaktu kemuncak Covid-19 dan memutuskan untuk mencampak molotov itu.
“Saya seorang yang sering dapat kawal kemarahan saya tapi ketika itu saya seolah-olah meledak,” jelas beliau.
Menurutnya, tiada sesiapa tercedera ekoran perbuatannya itu selain kerosakan kepada rumah keluarga bekas isterinya.
Beliau kesal insiden itu mencemarkan nama baik keluarganya dan juga keluarga bekas isterinya.
Kini beliau bertekad membina namanya tersendiri menerusi People’s Nasi Padang, dan berharap ia dapat menjadi wadah dan peluang kedua yang berkekalan bagi bekas pesalah pulang ke pangkuan masyarakat.
Penyertaannya dalam program Brotherhood juga satu platform bagi beliau mendidik dirinya dan pelajari daripada peserta-peserta lain bagaimana beliau dapat mempertingkatkan dirinya sebagai seorang suami dan ayah yang lebih baik.
“Saya rasa kaum lelaki usah rasa malu jika mahu mendapatkan bantuan bagi isu kekeluargaan,” kata Encik Ismail.
“Ia juga membuat anda rasa bahawa ada orang di luar sana yang sudi berada di sisi anda untuk membantu anda... anda tidak keseorangan,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg