Kebanyakan kerja struktur utama Koridor Utara-Selatan (NSC) yang menyebabkan bunyi bising dan habuk terbanyak akan siap menjelang akhir 2027, kata Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.

Kerja di permukaan akan diberi keutamaan supaya keadaan bertambah baik mulai 2027, kata beliau.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kemudian akan memulihkan jalan, laluan pejalan kaki dan ruang lain yang terjejas mulai 2028.

Misalnya, keadaan permukaan di Lentor Avenue dan Sembawang Road dijangka kembali seperti biasa menjelang pertengahan 2028.

Encik Siow berkata demikian ketika menjawab soalan di Parlimen pada 6 Oktober mengenai kelewatan NSC dan langkah membantu penduduk serta perniagaan terjejas.

Anggota Parlimen (AP), Cik Denise Phua (GRC Jalan Besar) dan Cik Lee Hui Ying (GRC Nee Soon), telah bertanya tentang langkah yang boleh diambil bagi penduduk dan perniagaan yang terjejas akibat kelewatan tersebut.

Menurut Encik Siow, pihak berkuasa akan memberi lebih perhatian kepada perniagaan di sepanjang laluan pembinaan itu, termasuk mengutamakan pemulihan laluan pejalan kaki selepas kerja pembinaan di permukaan jalan selesai.

Ini kerana perubahan kepada laluan pejalan kaki atau jalan masuk kenderaan menjejas kadar kunjungan pelanggan ke perniagaan di sekitar kawasan itu.

LTA juga akan menyediakan laluan pejalan kaki yang lebih mudah ke kedai dan tempat makan.

Beberapa perniagaan di kedai sewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang paling terjejas telah menerima rebat sewa berdasarkan pertimbangan setiap kes, yang akan diteruskan jika terdapat sebab yang munasabah.

Namun, secara umum, pemerintah tidak memberikan pampasan apabila projek terlewat kerana langkah itu boleh meningkatkan kos dengan ketara.

Encik Jackson Lam (GRC Nee Soon), Encik Lee Hong Chuang (GRC Jurong East-Bukit Batok) and Encik Yip Hon Weng (Yio Chu Kang) turut bertanya tentang kos akibat penangguhan selesainya projek NSC selama dua tahun.

Encik Siow berkata kelewatan itu mungkin meningkatkan kos projek, tetapi LTA masih menilai tuntutan yang dibenarkan berdasarkan kontrak dan belum dapat memberikan kos terkini.

Maklumat itu akan diberikan kelak.

Beliau berkata lebih banyak masa diperlukan kerana lebuh raya sepanjang 21.5 kilometer yang menghubungkan bandar-bandar di utara ke pusat bandar merupakan antara projek jalan raya paling rumit yang pernah dilaksanakan di Singapura.

Laluan itu merentasi kawasan yang padat dengan pembangunan serta mengelakkan kemudahan asas utama, jalan raya yang sibuk dan laluan MRT.

Di sesetengah tempat, kerja menggali terowong dilakukan kurang 1 meter dari landasan MRT Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Circle (CCL) yang sedang beroperasi.

Jejambat NSC dari Admiralty West hingga Lentor Avenue kini akan dibuka secara berperingkat mulai 2029, bukan 2027.

Bahagian terowong dari Lentor Avenue hingga East Coast Parkway pula akan dibuka secara berperingkat mulai 2031, bukan 2029.

Encik Siow berkata penyelidikan tanah sebelum kerja pembinaan terbatas kepada contoh yang diperiksa menggunakan alat pengimbasan dan penggerudian di kawasan utama.

Keupayaan mengesan keadaan bawah tanah juga terbatas, terutama apabila keadaan tanah berbeza-beza.

Ketika penggalian, keadaan di beberapa tapak didapati berbeza dan lebih sukar daripada yang didedahkan dalam siasatan tanah, tambah beliau.

Contohnya, di Gambas Avenue dan Woodlands Avenue 8, batu lebih keras ditemui pada paras lebih cetek daripada jangkaan.

Di Novena pula, terdapat batuan retak dan air bawah tanah yang meresap melalui rekahan.

Beberapa AP turut mempersoalkan sama ada siasatan tanah memberikan maklumat mencukupi tentang keadaan bawah tanah dan risiko kejuruteraan.

Encik Siow berkata LTA dan kontraktor telah mencuba pelbagai penyelesaian, termasuk menambah tenaga kerja dan peralatan serta menyesuaikan kaedah pembinaan dan susunan kerja.

Jurutera LTA meneliti semua pilihan sebelum mendapati bahawa memendekkan lagi tempoh kerja dalam keadaan tanah seperti itu akan menimbulkan risiko keselamatan yang besar.

“Ini bukan risiko yang wajar kita ambil,” kata Encik Siow.

Memandangkan kerja dilakukan berhampiran rumah, jalan raya yang digunakan dan prasarana MRT yang beroperasi, kontraktor tidak akan tergesa-gesa menyiapkan kerja jika keselamatan pekerja, penduduk atau penumpang terancam.

Mengenai sebab pihak berkepentingan tidak dimaklumkan lebih awal, Encik Siow berkata LTA membuat pengumuman “sebaik sahaja keadaan mengizinkan”.

Jurutera perlu menilai keadaan serta cara meneruskan projek dengan selamat.

Hanya selepas kerja dijalankan barulah mereka menyedari risikonya terlalu besar dan projek itu terpaksa ditangguhkan.