Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 15 Januari telah menganugerahkan kontrak bernilai $326 juta bagi projek lanjutan kedua Laluan Downtown (DTL), dengan pembinaan dijangka bermula pada suku kedua 2026.
Perkhidmatan penumpang untuk laluan dilanjutkan ini, yang merangkumi tiga stesen di bahagian utara selepas stesen MRT Bukit Panjang, dijangka bermula pada 2035.
Kontrak yang dianugerahkan oleh LTA ini merangkumi kerja reka bentuk dan pembinaan dua terowong utama, sambungan terowong ke Depoh Gali Batu, serta kerja-kerja lain di depoh tersebut.
Terowong sepanjang sekitar 1 kilometer itu akan dibina di bawah Sungei Kadut Avenue, Sungei Kadut Way dan Woodlands Road, dengan kedalaman sehingga 21 meter.
Menurut LTA, terowong ini akan dibina berhampiran Laluan Utara-Selatan (NSL) dan lanjutan DTL ini akan bersambung dengan NSL.
Apabila projek lanjutan ini siap, ia dijangka meningkatkan keterhubungan rel di kawasan barat laut pulau ini.
Ia sekali gus akan memendekkan masa perjalanan bagi penumpang yang membuat perjalanan antara bahagian utara dengan barat laut Singapura, tambah LTA.
Stesen pertama bagi lanjutan baru ini akan terletak selepas stesen Bukit Panjang, di sepanjang Sungei Kadut Avenue.
Stesen seterusnya akan menjadi stesen penghabisan baru bagi DTL yang dibina di bawah tanah.
Stesen ini akan dihubungkan dengan stesen ketiga yang dibina atas tanah, terletak di antara Yew Tee dengan Kranji bagi perkhidmatan NSL.
“Stesen ini akan memberi akses lebih baik kepada kawasan sedia ada dan kawasan pembangunan baru seperti Yew Tee dan Sungei Kadut Eco-District akan datang, serta kemudahan seperti Koridor Kereta Api dan Penghubung Taman Pang Sua,” kata LTA.
Kontrak tersebut dianugerahkan kepada sebuah syarikat usaha sama antara Woh Hup Engineering dengan Underground Technology Engineering Construction.
Woh Hup Engineering kini terlibat dalam projek reka bentuk dan pembinaan Pusat Tukaran Punggol serta stesen Loyang.
Syarikat ini juga terlibat dalam kerja pembinaan terowong fasa pertama Laluan Rentas Pulau (CRL) dan lanjutannya dengan Punggol.
Sementara itu, Underground Technology Engineering Construction sedang menjalankan kerja pembinaan terowong antara stesen Aviation Park dengan Depoh Changi East bagi CRL.
Menurut LTA, pihaknya akan bekerjasama dengan kontraktor untuk mengehadkan kesan kerja pembinaan terhadap pihak berkepentingan dan prasarana berhampiran.
Pihak berkuasa itu juga telah menjalankan Penilaian Kesan Alam Sekitar dan akan melaksanakan “semua langkah mitigasi” yang diusulkan dalam Pelan Pemantauan dan Pengurusan Alam Sekitar.
LTA juga akan meneruskan penglibatan dengan pelbagai pihak berkepentingan sepanjang proses pembinaan, termasuk kumpulan alam sekitar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg