Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerja utama Koridor Utara-Selatan siap akhir 2027, jalan dan laluan pejalan kaki dipulihkan mulai 2028
Kerja utama Koridor Utara-Selatan siap akhir 2027, jalan dan laluan pejalan kaki dipulihkan mulai 2028
Kerja utama Koridor Utara-Selatan siap akhir 2027, jalan dan laluan pejalan kaki dipulihkan mulai 2028
Kebanyakan kerja struktur utama Jejambat Koridor Utara-Selatan (NSC) yang menghasilkan bunyi bising dan habuk akan siap menjelang akhir 2027, kata Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
Kerja di permukaan akan diberi keutamaan supaya keadaan bertambah baik mulai 2027.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kemudian akan memulihkan jalan, laluan pejalan kaki dan ruang terjejas mulai 2028. Keadaan di Lentor Avenue dan Sembawang Road dijangka kembali seperti biasa menjelang pertengahan 2028.
Encik Siow berkata demikian ketika menjawab soalan di Parlimen pada 6 Oktober mengenai kelewatan NSC dan langkah membantu penduduk serta perniagaan terjejas.
Beliau berkata pihak berkuasa akan memberi lebih perhatian kepada perniagaan di sepanjang laluan pembinaan, termasuk mengutamakan pemulihan laluan pejalan kaki selepas kerja pembinaan di jalan selesai.
Ini kerana perubahan laluan pejalan kaki atau jalan masuk menjejaskan kadar kunjungan pelanggan ke perniagaan setempat.
LTA juga akan menyediakan laluan pejalan kaki yang lebih mudah ke kedai dan tempat makan.
Beberapa perniagaan di kedai sewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang paling terjejas telah menerima rebat sewa berdasarkan pertimbangan setiap kes, yang akan diteruskan jika terdapat sebab yang munasabah.
Namun, secara umum, pemerintah tidak memberikan pampasan apabila projek terlewat kerana langkah itu boleh meningkatkan kos dengan ketara.
Beberapa Anggota Parlimen (AP) turut bertanya tentang kos akibat penyiapan NSC tertangguh dua tahun.
Encik Siow berkata kelewatan itu mungkin meningkatkan kos projek, tetapi LTA masih menilai tuntutan yang dibenarkan berdasarkan kontrak dan belum dapat memberikan kos terkini. Maklumat itu akan diberikan kelak.
Beliau berkata lebih banyak masa diperlukan kerana lebuh raya sepanjang 21.5 kilometer (km) yang menghubungkan bandar di utara ke pusat bandar merupakan antara projek jalan raya paling rumit di Singapura.
Laluan itu merentasi kawasan yang padat dengan pembangunan serta mengelakkan kemudahan asas utama, jalan raya yang sibuk dan laluan MRT.
Di sesetengah tempat, kerja terowong dilakukan kurang satu meter (m) dari Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Circle (CCL) yang sedang beroperasi.
Jejambat NSC dari Admiralty West hingga Lentor Avenue kini akan dibuka secara berperingkat mulai 2029, bukan 2027.
Bahagian terowong dari Lentor Avenue hingga East Coast Parkway pula akan dibuka secara berperingkat mulai 2031, bukan 2029.
Encik Siow berkata siasatan tanah sebelum pembinaan terbatas kepada sampel yang diperiksa menggunakan alat pengimbasan dan penggerudian di kawasan utama.
Keupayaan mengesan keadaan bawah tanah juga terbatas, terutama apabila keadaan tanah berbeza-beza.
Ketika penggalian berlangsung, keadaan di beberapa tapak didapati berbeza dan lebih sukar daripada yang didedahkan dalam siasatan tanah.
Di Gambas Avenue dan Woodlands Avenue 8, batu lebih keras ditemui pada paras lebih cetek daripada jangkaan. Di Novena pula, terdapat batuan retak dan air bawah tanah yang meresap melalui rekahan.
Beberapa AP turut mempersoalkan sama ada siasatan tanah memberikan maklumat mencukupi tentang keadaan bawah tanah dan risiko kejuruteraan.
Encik Siow berkata LTA dan kontraktor mencuba pelbagai penyelesaian, termasuk menambah tenaga kerja dan peralatan serta menyesuaikan kaedah dan susunan kerja.
Jurutera LTA meneliti semua pilihan sebelum mendapati bahawa memendekkan lagi tempoh kerja dalam keadaan tanah tersebut akan menimbulkan risiko keselamatan yang besar.
“Ini bukan risiko yang wajar kita ambil,” kata Encik Siow.
Memandangkan kerja dilakukan berhampiran rumah, jalan yang digunakan dan prasarana MRT yang beroperasi, kontraktor tidak akan tergesa-gesa menyiapkan kerja jika keselamatan pekerja, penduduk atau penumpang terancam.
Mengenai sebab pihak berkepentingan tidak dimaklumkan lebih awal, Encik Siow berkata LTA membuat pengumuman “sebaik sahaja keadaan mengizinkan”.
Jurutera perlu menilai keadaan serta cara meneruskan projek dengan selamat. Hanya selepas kerja dijalankan barulah mereka menyedari risikonya terlalu besar dan projek itu terpaksa ditangguhkan.