Pesta tahunan Raikan Ilmu@Heartlands oleh Yayasan Mendsaki kini kembali dengan lebih daripada 100 aktiviti. Anjuran bersama lebih daripada 60 rakan kongsi nasional, masyarakat dan korporat, pesta tahunan ini akan mendekati masyarakat, khususnya keluarga yang mempunyai kanak-kanak kecil, belia, pekerja, dan penerima bantuan daripada badan-badan bantu diri.
Diadakan di beberapa lokasi utama seperti Our Tampines Hub (OTH), Safra Choa Chu Kang, dan Northpoint City, pesta ini akan menampilkan pelbagai aktiviti, bengkel dan demonstrasi menarik di lima astaka baru – Kerjaya dan Pembangunan Diri, Seni Kreatif dan Budaya, Masa Depan Pembelajaran, Kesihatan dan Kesejahteraan, dan Kemapanan dan Alam Sekitar.
Aktiviti-aktiviti ini bertujuan untuk meraikan ilmu dan memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam masyarakat kita.
Raikan Ilmu@Heartlands kali ini tidak lengkap tanpa sokongan daripada salah satu rakan kongsi, SpedGrow, yang menjayakan program ini dengan inisiatif luar biasa untuk kanak-kanak istimewa.
Pengasas SpedGrow, Cik Zoe Poh Yu Yah, dan syarikat tersebut telah membangunkan alat pembelajaran kanak-kanak yang praktikal dan menarik untuk mengajar literasi kewangan serta meningkatkan kemahiran hidup mereka. Ini termasuk mereka yang memerlukan keperluan khas.
Pelbagai sumber dibangunkan oleh SpedGrow dalam menyokong perkembangan dan kemahiran harian kanak-kanak seperti menguruskan kewangan, keupayaan melakukan keputusan dan kebolehan hidup berdikari.
Kehadiran SpedGrow di Raikan Ilmu@Heartlands membuktikan bahawa pembelajaran dunia realiti lebih mudah diakses, inklusif dan bermanfaat untuk kanak-kanak.
“Kami percaya pembelajaran adalah untuk semua dan ia sepatutnya menyeronokkan! Misi kami adalah untuk menjadikan pendidikan lebih interaktif, inklusif dan bermakna. Ini selari dengan sambutan Raikan Ilmu@Heartlands yang mengutamakan pendidikan berasaskan masyarakat.
“Kami ingin menunjukkan bagaimana aspek kehidupan seharian dapat menjadi suatu asas pembelajaran yang berkesan untuk kanak-kanak, lebih-lebih lagi buat mereka yang berkeperluan khas.
“Buat julung kalinya, SpedGrow akan menyertai Raikan Ilmu@Heartlands dan kami sangat teruja dapat menjadi sebahagian daripada usaha masyarakat hebat ini! Kami gembira dapat berjumpa dengan keluarga, pendidik dan para pemimpin di acara tersebut nanti,” jelas Cik Zoe Poh.
Pengunjung juga berpeluang untuk mencuba beberapa alat ciptaan SpedGrow yang direka khas untuk menyokong pelbagai gaya pembelajaran seperti permainan interaktif, gambaran visual dan aktiviti lakonan.
Seorang lagi pengasas bersama SpedGrow, Cik Yvette Tan Yan Ning, menerangkan bahawa para pengunjung dapat mencuba beberapa alat pembelajaran utama seperti Purchase Kit dan Saving Tower, yang mengubah rutin harian kanak-kanak kepada permainan yang lebih menyeronokkan.
“Kanak-kanak berpeluang menjadi tukang roti atau pembeli, sambil mempelajari cara-cara melakukan pilihan, menabung dan merancangkan situasi yang tidak dijangka. Selain itu, kami turut menyediakan cabaran interaktif yang mudah, serta hadiah menarik untuk seisi keluarga.
“Umumnya, kami cuba memudahkan konsep kehidupan yang kompleks. Contohnya, kami menjadikan aspek pengurusan wang, kecekapan menabung atau perjalanan kehidupan seharian, kepada pengalaman yang lebih ringkas dan mudah difahami.
“Kami berharap setiap keluarga yang hadir dapat melihat kepentingan saat-saat kecil dalam rutin harian yang mampu membawa kepada perubahan besar. Pembelajaran inklusif seperti ini dapat memberi banyak manfaat kepada seluruh masyarakat,” kata Cik Yvette Tan.
Singapore Repertory Theatre akan turut bekerjasama dengan Mendaki bagi memupuk budaya teater dalam masyarakat secara progresif.
Pengarah Urusan Singapore Repertory Theatre, Cik Charlotte Nors, menganggap penyertaan kali pertama mereka dalam Raikan Ilmu@Heartlands sebagai satu penghormatan yang mampu membawa impak besar kepada masyarakat kita.
“Kami berkongsi objektif yang sama seperti Mendaki dalam memperkasakan pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat agar mudah diakses, tanpa mengira latar belakang individu.
“Justeru, kami menyediakan platform teater yang berkualiti dan menarik untuk setiap lapisan usia agar mereka dapat menikmati seni persembahan ini sambil memajukan pembelajaran sepanjang hayat.
“Malah, Singapore Repertory Theatre juga sedang berusaha untuk mendekati masyarakat melalui Tabung Pendidikan Pelajar bagi menggalakkan penyertaan pelajar yang kurang bernasib baik dalam seni persembahan teater dan kreatif,” jelas beliau.
Tambah Cik Charlotte Nors, memandangkan pemupukan pembelajaran sepanjang hayat adalah teras utama Singapore Repertory Theatre, organisasi tersebut juga teruja dapat melibatkan orang ramai dalam aktiviti berasaskan drama, khususnya bagi menyokong perkembangan awal kanak-kanak serta kemahiran sosial dan emosi mereka.
“Dengan sokongan dan penyertaan dalam Raikan Ilmu@Heartlands, kami percaya kerjasama ini dapat meningkatkan lagi usaha murni Mendaki dalam kalangan masyarakat kita.
“Oleh itu, kami melengkapkan acara di Raikan Ilmu@Heartlands dengan sesi penceritaan interaktif, sekaligus membantu ibu bapa menjana idea untuk menjadikan pendidikan di rumah lebih menarik dan seronok!
“Kami berharap masyarakat akan gembira dengan aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan. Buat ibu bapa, kami turut berharap mereka dapat mempelajari cara-cara baharu untuk memupuk minat anak-anak terhadap pembelajaran dengan penuh kreatif,” tambah Cik Nors.
Raikan Ilmu@Heartlands akan diadakan di:
- Our Tampines Hub pada 12 dan 13 Julai 2025 dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam;
- SAFRA Choa Chu Kang pada 19 dan 20 Julai 2025 dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam; dan
- Northpoint City pada 26 dan 27 Julai 2025 dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam.
- Bonus! Sertai juga Pameran Peningkatan Kerjaya dan Kebolehkerjaan di Raikan Ilmu@Heartlands di:
- Our Tampines Hub dari 9 hingga 11 Julai 2025 dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam; dan
- Northpoint City dari 23 hingga 25 Julai 2025 dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam.
Layari https://www.mendaki.org.sg/my/raikanilmu/ untuk mendapatkan maklumat selanjutnya tentang Raikan Ilmu@Heartlands.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg