Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tujuh tahun perolehi subsidi pendidikan, ringankan beban keluarga

Dec 12, 2024 | 6:11 PM
Cik Nur Umairah Abdul Rahim (tengah) bersama bapanya, Encik Abdul Rahim Setok, dan ibunya, Cik Mariam Ibrahim, dalam Majlis Konvokesyen yang berlangsung di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada Oktober 2024. Cik Nur Umairah berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial daripada universiti tersebut dengan bantuan Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) secara penuh.
Cik Nur Umairah Abdul Rahim (tengah) bersama bapanya, Encik Abdul Rahim Setok, dan ibunya, Cik Mariam Ibrahim, dalam Majlis Konvokesyen yang berlangsung di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada Oktober 2024. Cik Nur Umairah berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial daripada universiti tersebut dengan bantuan Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) secara penuh. - Foto YAYASAN MENDAKI

Subsidi pendidikan yang diperkenalkan oleh Mendaki memainkan peranan penting dalam mengurangkan beban kewangan banyak keluarga, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Rata-rata pelajar memperoleh manfaat Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) dan menganggap suntikan kewangan tersebut sangat membantu mereka yang ingin meneruskan pendidikan ke institusi pengajian tinggi.

Ikuti temu bual bersama dua penerima subsidi pendidikan TTFS, yang berkongsi pengalaman dan bagaimana bantuan tersebut dapat mengurangkan tekanan kewangan keluarga mereka.

HILANGKAN KERISAUAN BAPA

Menurut Cik Nur Umairah Abdul Rahim, 24 tahun, subsidi pendidikan TTFS berperanan meringankan beban bapanya, Encik Abdul Rahim Setok, yang perlu membiayai perbelanjaan seluruh keluarganya.

“Bapa saya pekerja kolar biru yang bergaji kecil. Sebagai pencari nafkah tunggal, beliaulah yang menampung semua ahli keluarga kami. Semasa pandemik Covid-19, keluarga saya amat terkesan kerana bapa saya sukar mencari kerja pada ketika itu.

“Waktu berada di politeknik pula, saya sedar bahawa jumlah besar perlu dikeluarkan untuk melunaskan pembayaran yuran sekolah. Walaupun bapa saya bekerja pada waktu itu, saya tidak mahu merisaukannya. Justeru, saya memohon subsidi TTFS bagi meringankan bebannya, yang sentiasa bertungkus lumus mencari rezeki buat keluarga kami,” kata anak bongsu tiga beradik itu.

Dengan subsidi pendidikan penuh selama tiga tahun berturut-turut, Cik Umairah memulakan pengajian Diploma dalam Pengajian Pengurusan Gerontologi di Politeknik Temasek dari tahun 2017 hingga 2020.

Cik Umairah terus meraih manfaat daripada subsidi TTFS apabila melanjutkan pengajian bagi Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) selama empat tahun, menjadikan jumlah tempoh penerimaan subsidi tersebut selama tujuh tahun secara keseluruhan.

SOKONGAN MASYARAKAT BERI AKSES PENDIDIKAN

Ketika berada di sekolah menengah, Cik Umairah menyertai Program Tuisyen Mendaki (MTP), sebelum mendapat tahu tentang subsidi TTFS untuk kemasukan ke politeknik dan universiti di laman rasmi Mendaki.

Beliau tidak mensia-siakan peluang tersebut dan berasa bertuah apabila menerima bantuan TTFS kerana tidak semua pelajar berjaya mendapatkan subsidi penuh.

Malah, ada segelintir rakannya yang terpaksa bekerja sambilan untuk menampung yuran pengajian mereka.

“Saya sangat bersyukur kerana berupaya memberi seratus peratus tumpuan dan tenaga kepada pelajaran dan perkembangan kemahiran di pusat pengajian tinggi dengan sokongan TTFS.

“Penting bagi masyarakat kita teruskan usaha saling membantu seperti TTFS telah membantu memberi akses pendidikan kepada pelajar kita. Jika kita mempunyai masalah kewangan, kita boleh merujuk kepada badan-badan masyarakat bagi dapatkan bantuan kerana mereka sedia membantu,” jelas Cik Umairah.

Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS)

TTFS bertujuan membiayai yuran pengajian pelajar Melayu di institut pengajian tinggi setempat. TTFS adalah perlembagaan pemerintah untuk melindungi dan memupuk kepentingan pendidikan masyarakat Melayu Singapura.

Pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang daripada $2,000 per kapita (PCI) layak menerima bantuan TTFS.

Untuk maklumat lanjut mengenai TTFS, lungsuri https://www.mendaki.org.sg/.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg