Seramai 3,000 belia dan dewasa Melayu/Islam, termasuk suri rumah yang berminat kembali bekerja, berpeluang mengikuti lebih banyak latihan berkaitan pekerjaan, pendedahan kepada industri serta sokongan pembangunan kemahiran menerusi satu inisiatif baharu.

Ini menyusuli satu memorandum persefahaman (MOU) baharu yang dimeterai antara Yayasan Mendaki dengan Politeknik Ngee Ann (NP) pada 18 November.

Kerjasama itu bertujuan menyediakan peluang bimbingan, latihan kemahiran dan kerjaya kepada golongan belia dan dewasa sepanjang tiga tahun akan datang.

Perjanjian itu ditandatangani Pengetua dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NP, Encik Lim Kok Kiang, dan CEO Mendaki, Encik Feroz Akber, serta disaksikan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.

Di bawah MOU itu, Mendaki dan NP akan bekerjasama dalam beberapa bidang termasuk bimbingan dan perkongsian ilmu; pembelajaran berasaskan pengalaman dan pembangunan bakat; pembangunan profesional dan peningkatan kemahiran; serta sokongan pembangunan keupayaan dalam bidang seperti kesihatan dan kesejahteraan mental.

Kerjasama antara NP dengan Mendaki itu dijangka memanfaatkan 3,000 belia dan dewasa Melayu/Islam menerusi program bimbingan, pembelajaran dan peluang kerjaya sehingga 2029.

Setiap tahun, sekurang-kurangnya 500 belia akan berpeluang mendapatkan bimbingan, mengenali individu yang boleh dijadikan contoh teladan serta mempelajari pelbagai laluan pendidikan.

“Kami mahu mereka mempunyai individu yang boleh dirujuk apabila mereka mempunyai soalan, termasuk soalan yang mereka sendiri mungkin tidak tahu bagaimana untuk mengajukannya,” kata Encik Feroz dalam ucapannya di majlis menandatangani MOU itu.

Selain itu, kerjasama tersebut bertujuan memberikan sekitar 100 belia setiap tahun pendedahan kepada industri menerusi latihan amali, lawatan pembelajaran, pendedahan kepada suasana kerja serta kegiatan keusahawanan.

Mengulas lanjut, Encik Feroz berkata:

“Di Mendaki, kami percaya bahawa pembelajaran merupakan satu perjalanan berterusan sepanjang hayat. Bagi seorang belia yang sedang menentukan bidang pengajian, perbincangan dengan seorang mentor atau lawatan ke tempat kerja boleh membantu menjelaskan pilihan yang ada.

“Bagi seseorang yang ingin kembali bekerja selepas berehat daripada kerjaya pula, akses kepada latihan dapat membantu mereka mengambil langkah pertama dengan lebih yakin.”

Sekurang-kurangnya 100 pencari kerja dan golongan dewasa yang mengikuti latihan setiap tahun juga akan berpeluang menjalani latihan berkaitan pekerjaan, khususnya wanita yang ingin kembali ke alam pekerjaan serta individu yang sedang melalui peralihan kerjaya, tambah Encik Feroz.

Selain itu, sekurang-kurangnya 300 belia dan keluarga akan mendapat manfaat daripada program pembangunan keupayaan yang memberi tumpuan kepada penglibatan ibu bapa dan masyarakat, kesihatan serta kesejahteraan mental.

Program itu turut merangkumi latihan bagi kakitangan dan sukarelawan Mendaki.

Majlis menandatangani MOU itu turut disaksikan sekitar 40 pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) yang sedang mengikuti lawatan pembelajaran ke NP. Sebagai sebahagian acara tersebut, mereka turut menyertai kegiatan menghasilkan prototaip di Makers’ Academy NP.

Kerjasama antara NP dengan Mendaki itu bertujuan memberikan sokongan kepada individu pada pelbagai peringkat perjalanan pendidikan dan kerjaya mereka, menerusi lebih banyak peluang bimbingan, pembelajaran berasaskan pengalaman, pembangunan kemahiran dan kemajuan kerjaya.

Sebelum MOU itu dimeterai, kedua-dua pihak telah bekerjasama sepanjang 2026 menerusi pelbagai inisiatif pembelajaran, pembangunan kemahiran dan penglibatan belia.

Antara inisiatif tersebut termasuk Raikan Ilmu, sesi dialog belia, bengkel kecerdasan buatan generatif (Gen AI) yang disertai 170 peserta serta bengkel dron yang melibatkan 73 penduduk.

Berkongsi bersama media semasa sesi temu bual ringkas, Encik Zaqy berkata:

“Kerjasama ini amat bermakna kerana kami melihat bagaimana MOU ini dapat diterjemahkan kepada program yang bermanfaat buat anak kita, sekali gus membina asas lebih kukuh.

“Bagi golongan belia, mereka akan melihat lebih banyak peluang untuk mengembangkan potensi diri serta menyertai kegiatan pengayaan dan lawatan pembelajaran.

“Bagi golongan dewasa yang mengikuti pembelajaran pula, perkara ini penting memandangkan mereka berdepan perubahan dan peralihan kerjaya, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar.”