Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerjasama sekolah, ibu bapa dan pelajar kunci atasi isu buli, salah laku pelajar
Kerjasama sekolah, ibu bapa dan pelajar kunci atasi isu buli, salah laku pelajar
Desmond: Seluruh masyarakat pikul tanggungjawab penting tangani tingkah laku buruk dan isu buli di sekolah
Kerjasama sekolah, ibu bapa dan pelajar kunci atasi isu buli, salah laku pelajar
Pengetua Sekolah Rendah Teck Ghee, Cik Rezia Rahumathullah, berkongsi bahawa cabaran utama dalam menangani salah laku pelajar adalah dengan melibatkan ibu bapa mereka meskipun tuduhan sebegitu mungkin sukar untuk ditelan.
Usaha menjalin ikatan erat antara anak dengan ibu bapa mereka merupakan nadi utama dalam membantu si kecil belajar daripada kesilapan dan memperbaiki semula hubungan dengan rakan sebaya.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) semasa lawatan Kementerian Pendidikan (MOE) ke sekolah itu pada 15 April, Cik Rezia, 48 tahun, menekankan peri pentingnya komitmen pihak sekolah untuk menyokong pembaikan dan perkembangan murid, melalui tutur kata yang terang dan jelas.
“Kami sedar ibu bapa mungkin kurang selesa apabila diberitahu tentang salah laku anak, justeru tugas kami ialah merapatkan dan menggembleng tenaga semua pihak demi memastikan kesejahteraan anak-anak.
“Kami berusaha sedaya upaya untuk mengadakan pertemuan bersemuka bagi mewujudkan komunikasi yang lebih telus,” ujar Cik Rezia.
“Kadangkala, proses ini menguji kesabaran, namun kami meraih sokongan padu apabila ibu bapa memahami niat suci kami untuk membimbing anak mereka mengurus tingkah laku serta menjalin semula hubungan mesra dengan rakan sebaya,” luah Cik Rezia.
Menyusuli tinjauan mendalam melibatkan lebih 2,000 pihak berkepentingan, Kementerian Pendidikan (MOE) telah merangka sembilan cadangan menyeluruh.
Ia termasuk tindakan disiplin yang lebih tegas dan seragam, memperkukuh pendidikan berteraskan nilai, menawarkan sokongan tambahan kepada pendidik, serta mengukuhkan kerjasama antara pihak sekolah, keluarga, dan masyarakat.
Cik Rezia menyambut baik saranan itu kerana ia memperteguh usaha yang telah lama dijalankan di Sekolah Rendah Teck Ghee.
Antaranya ialah sesi bimbingan guru kelas untuk membentuk keperibadian murid, kerjasama dengan kumpulan sokongan ibu bapa, serta melatih Pemimpin Sokongan Rakan Sebaya dan Duta Kesejahteraan.
Semasa lawatan tersebut, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, menegaskan bahawa seluruh masyarakat memikul tanggungjawab penting dalam menangani tingkah laku buruk dan isu buli.
Antara langkah yang diketengahkan, Encik Lee menonjolkan usaha melatih murid menjadi pemimpin sokongan rakan sebaya.
Ini bertujuan menyokong pendidik dalam membina budaya sekolah yang mampu menangani isu buli dan salah laku secara berkesan.
Matlamatnya adalah untuk memperkasa pelajar agar mereka memikul tanggungjawab dan menyedari peranan penting mereka dalam membentuk persekitaran sekolah berasaskan rasa hormat dan belas ihsan, kata Encik Lee.
“Ia akan mewujudkan ikatan yang lebih erat antara guru dengan pelajar, menggalakkan lebih banyak tindakan terpuji, dan membolehkan guru mengesan isu awal sebelum ia menjadi lebih buruk,” tambah Encik Lee.
Usaha menyeluruh ini melibatkan pelajar Sekolah Menengah Zhenghua, Maya Aalya Nazhan, yang berkhidmat sebagai Juara Sokongan Rakan Sebaya sejak 2024.
Pelajar berusia 16 tahun itu terlatih dalam mengendalikan konflik antara rakan sekolah serta menjadi sumber sokongan bagi mereka yang terkesan.
Selain memimpin sekitar 60 pemimpin sokongan rakan sebaya yang lain, Maya juga menguruskan kegiatan berunsur permainan dan kegiatan di peringkat sekolah – seperti Hari Keharmonian Kaum dan Hari Persahabatan Antarabangsa.
Ini membantu mengasah kemahiran menjalin hubungan, memupuk empati dan membolehkan mereka memahami keperluan rakan sebaya serta memberikan sokongan yang tepat, jelasnya kepada BH.
“Pengalaman saya amat positif. Saya teruja melihat ramai rakan sekolah kini lebih sensitif dan mengambil berat tentang tingkah laku mereka.
“Pemimpin sokongan rakan sebaya juga dapat memberi sokongan dan bekerjasama dengan guru dengan lebih baik, demi membantu murid-murid yang memerlukan,” ujar Maya.
Nota: Artikel ini telah dikemas kini untuk menambah ketepatannya.
