Sekolah-sekolah akan menerima suntikan tambahan untuk menangani masalah buli secara lebih menyeluruh sekali gus mengimbangi beban tugas guru, kata Kementerian Pendidikan (MOE) pada 15 April.

Langkah itu merangkumi peruntukan dana bagi membolehkan pihak sekolah menggajikan tenaga kerja sokongan tambahan – seperti pekerja sokongan belia, pegawai penjagaan pastoral, dan pegawai perhubungan ibu bapa – bagi membantu kakitangan sekolah dalam pengurusan pelajar.

Pihak sekolah juga akan dibekalkan dengan peralatan teknologi untuk menambah baik proses pengurusan kes dan melancarkan komunikasi yang tepat pada masanya.

Pada masa sama, para pendidik akan menerima latihan tambahan dalam kemahiran penting, termasuk penyiasatan, penyelesaian konflik dan penglibatan ibu bapa.

Memperkukuh keupayaan sekolah dan memberikan sokongan kepada pendidik adalah antara empat bidang utama yang diteliti MOE melalui semakan menyeluruh mengenai isu buli pada 2025.

Sebelum ini, kes buli biasanya dikendalikan secara dalaman oleh kakitangan sekolah seperti guru kelas, kaunselor dan guru dalam jawatankuasa pengurusan pelajar atau disiplin.

Tiga bidang lain yang turut menjadi tumpuan semakan MOE adalah menerapkan nilai murni dalam pendidikan, memperkukuh budaya sekolah, serta menambah baik kerjasama antara sekolah dengan ibu bapa.

Isu buli mula menjadi tumpuan nasional pada 2025.

Ia tercetus susulan beberapa kejadian yang tular di media sosial, termasuk kes ugutan bunuh yang dihantar oleh tiga murid Darjah 3 kepada ibu rakan sekelas mereka.

Ketiga-tiga murid tersebut telah digantung sekolah, dan seorang daripada mereka dikenakan hukuman rotan.

Rentetan kejadian tersebut, ibu bapa dan orang ramai lantang mendesak agar ketelusan dalam cara sekolah mengendalikan kes buli dipertingkatkan, termasuk butiran tindakan disiplin yang diambil.

Susulan semakan melibatkan lebih 2,000 pendidik, ibu bapa, pelajar, dan karyawan, MOE merangka sembilan cadangan untuk memperkukuh usaha sedia ada dalam membasmi masalah buli di sekolah.

Saranan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2026.

Selain memperkukuh keupayaan sekolah mengendalikan kes, kementerian juga akan melaksanakan kerangka disiplin yang lebih ketat.

Ia bertujuan menjamin ketekalan yang lebih tinggi dalam kalangan sekolah ketika menangani salah laku serius pelajar.

Satu sistem pelaporan kejadian buli secara dalam talian yang baru dijadual mula beroperasi menjelang 2027.

Dalam lawatan ke Sekolah Rendah Teck Ghee (TGPS) pada 15 April, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, menjelaskan bahawa biarpun langkah itu melibatkan disiplin lebih tegas serta sokongan tambahan kepada guru dan sekolah, pemupukan nilai dan pembinaan karakter kekal menjadi asas utama.

“Selepas berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan, saya dapati langkah pencegahan awal adalah sama penting, malah mungkin lebih penting (berbanding sokongan baru ini),” ujar Encik Lee.

Justeru, beliau menambah, pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) yang diperbaharui akan menyertakan kegiatan main peranan (role-play) dan senario buli sebenar untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Melalui sesi itu, pelajar akan mempraktikkan kemahiran memahami pandangan orang lain, pengurusan serta penyelesaian konflik, di samping belajar untuk berani bertindak bagi menghalang perbuatan buli.

Langkah pencegahan termasuk melatih ketua rakan sebaya mengikut usia, bagi membantu membentuk budaya sekolah serta menangani isu tingkah laku yang menyakitkan hati dan buli.

Matlamatnya adalah untuk memperkasakan pelajar supaya lebih bertanggungjawab, menyedari peranan mereka dalam mewujudkan persekitaran sekolah yang saling menghormati dan penyayang, tambah Encik Lee.