Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjasama S’pura, Saudi untuk saling iktiraf produk halal

Oct 20, 2023 | 9:30 PM
KERJASAMA HALAL: Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad menggariskan antara kerjasama antara Saudi dengan Singapura termasuk dalam pensijilan halal dan haji.
KERJASAMA HALAL: Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad menggariskan antara kerjasama antara Saudi dengan Singapura termasuk dalam pensijilan halal dan haji. - Foto ST

Produk makanan dengan sijil halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang dihasilkan di Singapura kini boleh dieksport ke Arab Saudi tanpa perlu mendapatkan pengiktirafan tambahan dari negara itu lagi.

Begitu juga produk domestik yang dihasilkan di Arab Saudi dan disahkan halal oleh Pusat Halal Saudi kini diiktiraf Muis untuk digunakan di kedai yang mempunyai sijil halal Muis.

Mengumumkan demikian, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata ini hasil pemeteraian memorandum persefahaman antara Muis dengan Pihak Berkuasa Makanan dan Ubatan Arab Saudi (SFDA).

SFDA, menerusi pusat halal mereka, merupakan pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pensijilan halal di Saudi.

Ini merupakan kali pertama Muis menandatangani perjanjian halal dengan negara lain.

Menurut Muis, mereka juga akan meneroka peluang bagi perjanjian serupa dengan pihak berkuasa halal di negara lain untuk saling mengiktiraf sijil dan tanda halal masing-masing.

PERJANJIAN HALAL: Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (kiri), dan Presiden SFDA, Profesor Hisham Aljadhey, telah menandatangani MOU itu di Riyadh pada Khamis.
PERJANJIAN HALAL: Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (kiri), dan Presiden SFDA, Profesor Hisham Aljadhey, telah menandatangani MOU itu di Riyadh pada Khamis. - Foto MUIS

MOU tersebut ditandatangani Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen, dan Presiden SFDA, Profesor Hisham Aljadhey, di Riyadh pada Khamis.

Menurut Muis, tempoh perjanjian itu adalah sah bagi dua tahun.

Selepas itu, ia akan diperbaharui secara automatik bagi tempoh dua tahun lagi kecuali jika salah satu pihak memutuskan untuk membatalkan atau menyemak MOU tersebut.

“MOU halal yang ditandatangani buat julung-julung kali dengan negara lain ini menunjukkan hubungan kukuh antara Singapura dengan Saudi,” ujar Muis menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Selain perjanjian yang bertujuan memudahkan perdagangan produk domestik bersijil halal antara kedua-dua negara itu, Encik Masagos, yang merupakan sebahagian delegasi Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, yang telah mengadakan lawatan rasmi ke Saudi itu, melahirkan rasa gembira apabila Encik Lee sangat prihatin tentang perlunya menambah kuota haji kerana sekarang ini, jemaah Singapura mungkin harus menunggu hingga 35 tahun sebelum dapat menunaikan haji.

HUBUNGAN DUA HALA: Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kiri) merupakan sebahagian delegasi Encik Lee Hsien Loong yang telah bertemu dan dijamu oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman Al Saud (kanan), dalam satu lawatan rasmi ke negara Teluk itu.
HUBUNGAN DUA HALA: Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kiri) merupakan sebahagian delegasi Encik Lee Hsien Loong yang telah bertemu dan dijamu oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman Al Saud (kanan), dalam satu lawatan rasmi ke negara Teluk itu. - Foto FACEBOOK MASAGOS ZULKIFLI

Semasa bertemu Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman Al Saud, dalam rangka lawatannya itu, Encik Lee telah merakamkan penghargaan buat Putera Mahkota Mohammed atas pengaturan haji bagi jemaah Singapura semasa pandemik Covid-19.

Encik Lee juga telah mengulangi permintaan Singapura untuk menambah kuota rasmi haji.

Sebanyak 900 kuota rasmi telah diperuntuk oleh kerajaan Saudi bagi jemaah Singapura bagi 2023.

“Putera Mahkota Mohammed tahu bahawa inilah hasrat Singapura dan beliau juga faham, dan insya-Allah akan memikirkan bagaimana beliau dapat memenuhi hasrat jemaah kita untuk menunaikan haji secepat mungkin,” kata Encik Masagos. – ERVINA MOHD JAMIL

“MOU halal yang ditandatangani buat julung-julung kali dengan negara lain ini menunjukkan hubungan kukuh antara Singapura dengan Saudi.”
Kenyataan Muis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg