Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kertas undi Pilihan Raya Presiden 2023 dimusnah 2 Mac

Feb 19, 2024 | 5:58 PM
Kotak undi semasa Pilihan Raya Presiden 2023 tiba di Mahkamah Tinggi, di mana ia disimpan dalam keadaan selamat.
Kotak undi semasa Pilihan Raya Presiden 2023 tiba di Mahkamah Tinggi, di mana ia disimpan dalam keadaan selamat. - Foto ZAOBAO

Kertas undi dan dokumen lain yang digunakan semasa Pilihan Raya Presiden 2023 akan dimusnahkan pada 2 Mac ini, kata Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam kenyataan 19 Februari.

Pada hari tersebut, semua kotak mengandungi kertas undi dan dokumen yang digunakan semasa Pilihan Raya Presiden pada 1 September 2023 akan dibawa dari Mahkamah Tinggi ke Loji Pembakaran Tuas Selatan untuk dimusnahkan.

Kotak-kotak yang ditutup itu telah disimpan dengan selamat di Mahkamah Tinggi selama tempoh enam bulan.

Ini selaras dengan Akta Pilihan Raya Presiden 1991, di mana kertas undi dan dokumen lain yang digunakan dalam pilihan raya hendaklah ditutup dan disimpan dalam jagaan selamat bagi tempoh enam bulan, selepas itu dimusnahkan melainkan diarahkan sebaliknya melalui perintah Presiden.

Ini bagi memastikan kerahsiaan undi, kata ELD.

Jabatan tersebut menambah ia akan menghubungi calon-calon atau wakil mereka jika mereka ingin menyaksikan prosiding pemusnahan pada Mac nanti.

Lebih 2.5 juta warga Singapura telah keluar mengundi pada 1 September lalu untuk memilih Presiden baru Singapura.

Presiden Tharman Shanmugaratnam menang pilihan raya tersebut dengan 70.41 peratus undi.

Calon lain, Encik Ng Kok Song dan Encik Tan Kin Lian masing-masing menerima 15.72 peratus dan 13.87 peratus undi.

Terdapat 2,480,760 undi yang dibuang, dengan 50,152 undi ditolak.

Pengundi di luar negara turut hadir di 10 pusat mengundi luar negara untuk membuang undi.

Pilihan raya tersebut juga mengetengahkan pengundian pos buat kali pertama, yang mana lebih 3,400 pengundi luar negara telah mendaftar.

Selain itu, buat kali pertama juga dalam pilihan raya di Singapura, beberapa penghuni yang terlantar di rumah penjagaan yang terpilih telah berpeluang mengundi melalui percubaan pusat mengundi bergerak yang membawa pengundian ke sisi katil.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg