KERUGIAN pelaburan dalam firma mata wang kripto FTX yang ditanggung firma pelaburan pemerintah Singapura, Temasek, tidak akan menjejas aliran pendapatan daripada simpanan sedia ada bagi bajet pemerintah, atau Sumbangan Pulangan Pelaburan Bersih (NIRC), kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Parlimen semalam.

Ini kerana NIRC terikat dengan pulangan jangka panjang entiti pelaburan Singapura yang dijangkakan secara keseluruhan dan bukan pelaburan individu, tambah beliau.

Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, turut berkata Temasek telah memulakan semakan dalaman menyusuli pengumumannya akan menghapus kira pelaburannya sebanyak AS$275 juta ($377 juta) dalam firma mata wang kripto FTX.

Semakan itu akan dilakukan sebuah kumpulan bebas untuk mengkaji dan memperbaiki prosesnya, dan mengambil pengajaran untuk masa depan.

"Saya yakin Lembaga Temasek dan pasukan pengurusan akan belajar dan menambah baik daripada pengalaman ini. Pada masa yang sama, kita harus melihat kerugian FTX ini dalam konteks yang lebih luas prestasi Temasek dalam pelaburan peringkat awal," kata beliau.

Encik Wong berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan beberapa Anggota Parlimen (AP) berhubung kesan keruntuhan FTX.

Baru-baru ini, Temasek berkata ia akan menghapus kira pelaburannya dalam firma mata wang kripto FTX, "tidak kira apa jua hasil perlindungan kebankrapan yang difailkan FTX".

Dalam kenyataannya, Temasek berkata kos penuh pelaburannya dalam FTX membentuk 0.09 peratus daripada nilai portfolio bersihnya yang sebanyak $403 bilion hingga akhir Mac lalu.

Ia melabur AS$210 juta bagi saham minoriti sekitar 1 peratus dalam FTX International, dan lagi AS$65 juta bagi saham minoriti sekitar 1.5 peratus dalam FTX US, anak syarikat firma Amerika itu.

Meskipun kerugian FTX adalah mengecewakan dan dipandang serius, Encik Wong berkata kejadian kerugian pelaburan tidak dengan sendirinya membayangkan bahawa sistem tadbir urus tidak berfungsi.

"Sebaliknya, ini adalah sifat pelaburan dan pengambilan risiko. Apa yang penting ialah entiti pelaburan kita mengambil pengajaran daripada setiap kegagalan dan kejayaan, dan terus mengambil risiko yang dinilai dengan baik untuk mencapai pulangan keseluruhan jangka panjang yang baik.

"Dengan cara ini, kita boleh terus menambah simpanan negara kita, dan menyediakan aliran pendapatan yang stabil untuk membiayai program pemerintah untuk masa yang lama akan datang," kata beliau.

Encik Wong berkata portfolio peringkat awal Temasek sehingga Mac lalu telah menjana kadar pulangan dalaman pada pertengahan belasan sepanjang dekad lalu, yang lebih baik daripada purata industri, sejak menghapus kira pelaburan FTX.

Namun begitu, kejadian yang berlaku dengan FTX itu bukan hanya telah menyebabkan kerugian kewangan kepada Temasek, namun juga kerosakan reputasi.

Encik Wong berkata Temasek dan Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) mempunyai beberapa pelaburan dalam ruang aset digital, namun ia tidak mempunyai pendedahan langsung kepada mata wang kripto.

Beliau menambah pemerintah tidak menetapkan garis panduan mengenai peruntukan aset tertentu atau kelas aset, sama ada bagi mata wang kripto atau aset lain.

Ini dikenakan kepada lembaga berkanun dan juga tiga entiti pelaburan yang menguruskan aset seluruh pemerintah - Temasek, GIC dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS).

"Bagi entiti pelaburan kami, pemerintah menetapkan had toleransi risikonya; memantau kepelbagaian yang sesuai dalam kelas aset, sektor, dan geografi; dan memastikan risiko penurunan tidak berlebihan," kata beliau.

Pemerintah juga tidak menetapkan senarai pengecualian bagi aset tertentu, namun menjangkakan entiti untuk menggabungkan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus ke dalam proses pelaburan mereka.

"Pada dasarnya, pemerintah memegang lembaga dan pasukan pengurusan bertanggungjawab bagi merangka strategi pelaburan selaras dengan toleransi risiko keseluruhan pemerintah," tambah Encik Wong.